Persaingan calon MB Johor, BN lebih menonjol

DENGAN keseluruhan 56 DUN menjadi perebutan, 239 calon daripada 10 parti berdaftar untuk menang, pertembungan di PRN Johor dilihat lebih unik kerana melibatkan persaingan sehingga tujuh penjuru, termasuk beberapa calon bebas.

Tambah menarik, pelaksanaan Undi18 dan daftar pemilih baharu secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang julung kali diadakan pada PRN kali ini juga, menyaksikan limpahan hampir 750,000 pengundi baharu bakal menjadi kuasa penentu kemenangan parti-parti berkenaan.

Menyedari sejumlah 29 kerusi DUN diperlukan oleh mana-mana parti bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, kesemua calon bertanding kini giat melaksanakan pecutan terakhir bagi menyelesaikan sisa-sisa kempen pilihan raya masing-masing.

Menyentuh mengenai manifesto atau janji pilihan raya, sememangnya parti-parti seperti Barisan Nasional (BN); Pakatan Harapan (PH); Perikatan Nasional (PN); Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra); Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda); Parti Warisan (Warisan); Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) tampil mengemukakan pelbagai bentuk tawaran dan aku janji kepada rakyat Johor demi meraih sokongan mereka.

Namun, satu perkara menarik berlaku pada PRN Johor adalah majoriti parti dominan termasuk PH-Muda, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PN tidak mengulangi strategi menamakan calon Menteri Besar masing-masing lebih awal, tidak seperti PRN Melaka.

Bahkan sehingga kini, hanya BN sahaja yang masih mengekalkan nama Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad yang juga bekas Menteri Besar Johor, sebagai calon tunggal jawatan utama kerajaan negeri itu.

Meskipun langkah itu dianggap penting dan berstrategik dalam memberi jaminan kepada pengundi bangsa Johor bahawa segala tawaran, ikrar atau janji pilihan raya dikemukakan parti-parti politik ini akan ditunaikan calon ‘jeneral perang’ negeri dipilih.

Namun, Sinar Premium menyedari dinamik persaingan politik pada PRN Johor adalah berbeza berbanding PRN Melaka di mana sebahagian besar parti politik termasuk PN menganggap pelaksanaannya seolah-olah satu ‘paksaan’ dalam keadaan mereka kurang bersedia.

Memandangkan PRN Johor dianggap sangat kritikal dan digembar-gembur sebagai ‘ujian kertas litmus’ sebenar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Oleh itu, Sinar Premium cuba mengenal pasti calon-calon Menteri Besar atau ‘Captain Marvel’ daripada parti-parti yang dianggap berpotensi menang atau berupaya mencipta kejutan pada PRN Johor.

 

HASNI ‘JENERAL PERANG’ BARISAN NASIONAL

Selaku pemimpin berpengalaman yang sudah mempertahankan kerusi DUN Benut selama tiga penggal, Hasni, 62, yang juga Pengerusi UMNO Johor dijangka tidak berdepan kesulitan untuk mengekalkan kerusi berkenaan pada PRN Johor.

Bakal berdepan persaingan empat penjuru, imej Hasni yang lebih awal diumum sebagai ‘poster boy’ UMNO dan BN, juga difahamkan diterima positif oleh segenap lapisan masyarakat negeri Johor.

Kelebihan dinamakan sebagai calon Menteri Besar lebih awal juga pastinya memberi tonik tambahan kepada majoriti pengundi DUN Benut untuk mengekalkan kedudukan beliau sebagai wakil rakyat kawasan itu, sekali gus dipilih mengemudi negeri Johor sekali lagi.

Hasni sewaktu diwawancara Sinar Premium mengakui beliau tidak mahu mengembalikan sengsara dirasai rakyat Johor sewaktu ditadbir oleh kerajaan PH dalam tempoh 22 bulan selepas kerajaan BN tumbang pada PRU14.

Lebih menarik, beliau turut menunjukkan komitmen jitu dengan mengemukakan manifesto pilihan raya lebih awal yang menampilkan lima ikhtiar utama yang perlu dicapai dalam tempoh 100 hari, jangka masa sederhana dan panjang.

Jelas Hasni, kelima-lima ikhtiar itu adalah untuk mencapai dan menyokong matlamat utama BN dalam menjadikan Johor sebuah negeri makmur didukung naratif politik baharu yang matang serta stabil.

Bahkan, Hasni turut berjanji untuk mengembalikan Skim Kuota Menegak Kerajaan (KMK) – satu skim kuota pemberian rumah murah kepada kelompok B40 – yang dimansuhkan kerajaan PH sebelum ini, sekiranya UMNO-BN diberi mandat oleh bangsa Johor.

Hasni (kiri) dan Onn Hafiz
Hasni (kiri) dan Onn Hafiz

 

Bagi agenda Ikhtiar Reformasi Politik pula, Hasni berjanji kerajaan BN sekiranya diberikan mandat, bakal meneruskan peruntukan tahunan RM200,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bagi memastikan rakyat di kawasan mereka turut dibela dan tidak dipinggirkan.

“Setiap ADUN di Johor juga akan diwajibkan untuk mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pada masa sama, BN Johor bakal menggubal Enakmen Anti Lompat Parti bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara,” katanya.

Meskipun Hasni sudah diumumkan sebagai calon tunggal UMNO-BN bagi jawatan Menteri Besar, namun terdapat spekulasi mengatakan seorang lagi pemimpin muda koalisi itu turut disebut-sebut sebagai calon ‘alternatif’.

Pemimpin itu ialah bekas Exco Belia, Sukan dan Pelancongan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, 43, yang kini bertanding di kerusi berbeza iaitu DUN Machap setelah menang kerusi DUN Layang-Layang dengan majoriti tipis pada PRU14.

Merupakan cicit kepada pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan anak saudara Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn, Onn Hafiz dianggap sebagai pemimpin muda UMNO yang agak menyerlah di Johor ketika ini.

Namun begitu, beberapa pemerhati politik menjangkakan laluan beliau untuk menang DUN Machap masih berliku.

RATING PELUANG JADI MB:

HASNI – 8/10

ONN HAFIZ – 2/10

SAHRUDDIN HARAPAN BESAR PN

Berbeza dengan PRN Melaka, strategi PN yang masih meletakkan persoalan siapa calon Menteri Besar daripada koalisi itu sebagai teka-teki, sedikit sebanyak menggusarkan beberapa pemimpin parti lawan termasuk BN.

Hal itu dapat dibuktikan apabila isu calon MB daripada koalisi itu dan PH cuba dimainkan beberapa pemimpin UMNO Johor termasuk bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad sebagai ‘bahan’ untuk menghentam mereka.

Namun, PN Johor yang lebih bersatu di bawah kepimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding sewaktu PRN Melaka, tampak tenang mengalih perhatian mengenai isu berkenaan.

Hakikatnya, PN Johor sudah memiliki seorang calon ‘ready mate’ yang berpengalaman selama 10 bulan menggalas jawatan Menteri Besar Johor sebelum ini iaitu Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Bakal mempertahankan kerusi DUN Bukit Kepong yang pernah menjadi kubu kuat Muhyiddin sewaktu beliau dilantik Menteri Besar Johor, Sahruddin dianggap berpeluang cerah untuk mengekalkan DUN berkenaan.

Sahruddin sewaktu diwawancara Sinar Premium menegaskan perkara pertama yang akan dilakukan kerajaan PN sekiranya diberi mandat oleh rakyat Johor adalah membuka sempadan di antara negeri itu dan Singapura dengan serta-merta.

Meskipun desakan itu turut dikemukakan parti-parti lain yang bertanding, Sahruddin berikrar perkara itu akan menjadi fokus utama kerajaan PN bagi memastikan aktiviti ekonomi melibatkan Johor dan Singapura kembali rancak dengan rakyat Johor boleh kembali bekerja di negara jiran itu.

Lebih menarik, Sahruddin turut menyambut baik idea pelantikan Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Johor sekiranya PN menang PRN Johor.

Meskipun idea ini dianggap skeptikal oleh parti-parti lawan yang berpandangan langkah itu menjadikan calon Menteri Besar PN sebagai ‘boneka’ Muhyiddin, Sahruddin bingkas menafikannya dan menegaskan pengalaman Muhyiddin amat penting dalam memacu kemajuan negeri Johor setaraf Singapura.

“Lebih baik beliau (Muhyiddin) menjadi Penasihat Ekonomi berbanding orang sebelah sana penasihat ekonominya adalah Kluster Mahkamah. Jadi apabila UMNO cakap Menteri Besar Johor akan menjadi boneka kepada Muhyiddin, mereka silap dan belum terbukti,” luahnya.

Mohd Solihan (kiri) dan Dr Sahruddin
Mohd Solihan (kiri) dan Dr Sahruddin

 

Pada masa sama, terdapat nama besar lain yang turut dipertimbangkan menjadi calon Menteri Besar Johor daripada PN selain Sahruddin iaitu Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri.

Diberi kepercayaan untuk mempertahankan kerusi DUN Gambir dimenangi Muhyiddin pada PRU14, Mohd Solihan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang bagaimanapun berdepan tugas berat untuk mengenepikan cabaran calon UMNO yang mengambil alih kerusi berkenaan daripada MIC.

RATING PELUANG JADI MB:

SAHRUDDIN – 7/10

SOLIHAN – 3/10

AMINOLHUDA, SALAHUDDIN SANDARAN PH

Pada kali ini, Sinar Premium memutuskan untuk meletakkan senarai calon-calon Menteri Besar yang berpotensi dikemukakan PH-Muda dan PKR dalam kategori berbeza.

Hal ini kerana koalisi pembangkang berkenaan tidak mengulangi langkah mengumumkan calon ‘jeneral negeri’ lebih awal sebagaimana PRN Melaka, sekali gus membawa kemungkinan lebih ramai pemimpin PH-Muda dan PKR yang layak untuk dipertimbangkan mereka.

Di peringkat PH-Muda, nama besar yang dianggap paling berpotensi untuk diangkat sebagai Menteri Besar Johor baharu sekiranya koalisi itu menang pastinya Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menang di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada PRU14, nama Salahuddin sebenarnya sudah tidak asing lagi dikaitkan dengan jawatan nombor satu kerajaan negeri Johor itu.

Salahuddin (kiri) dan Aminolhuda
Salahuddin (kiri) dan Aminolhuda

 

Selain Salahuddin, seorang lagi pemimpin Amanah yang tidak wajar diketepikan peluang menjadi calon Menteri Besar Johor semestinya Pengerusi Amanah dan PH Johor sendiri iaitu Aminolhuda Hassan.

Menjadi Ketua Pembangkang DUN Johor yang dihormati lawan dan memiliki latar belakang pendidikan agama Islam tinggi, calon bekas penyandang kerusi DUN Parit Yaani itu juga dianggap memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda kerjasama politik PH-Muda.

Dalam wawancara bersama Sinar Premium, Aminolhuda berkongsi aspirasi tawaran pilihan raya dijanjikan PH seperti mengembalikan semula kad peduli sihat rakyat Johor, meneruskan penggantungan polisi skim Kuota Menegak Kerajaan (KMK) yang dilihat lebih menguntungkan kroni politik berbanding rakyat B40.

Selain calon MB daripada Amanah, pasukan PKR juga mempunyai calon sendiri yang disebut-sebut untuk memikul tanggungjawab besar itu jika gabungan PH-Muda menang di Johor.

RATING PELUANG JADI MB:

AMINOLHUDA – 6/10

SALAHUDDIN – 4/10

CALON MB ‘KEJUTAN’

Dalam konteks pencalonan Menteri Besar Johor daripada parti-parti selain koalisi parti dominan, Sinar Premium enggan menolak kemungkinan ada pemimpin daripada Pejuang dan parti-parti bersendirian lain berupaya mencipta kejutan.

Meskipun peluang parti-parti ini untuk menang diunjurkan sukar kerana memilih bertanding secara bersendirian, Sinar Premium menyenaraikan sekurang-kurangnya dua pemimpin ‘underdog’ berpotensi.

Salah seorangnya sudah pasti Pengerusi Pejuang Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang bakal bertanding di DUN Machap.

Faktor utama Shahruddin dianggap sebagai calon luar yang berupaya mencipta kejutan adalah disebabkan Pejuang bertanding sebanyak 42 kerusi DUN pada PRN Johor.

Pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya sewaktu pentadbiran kerajaan PH, Shahruddin yang juga Ahli Parlimen Sri Gading dianggap sebagai tokoh pemimpin veteran yang tidak asing lagi dengan rakyat Johor.

Dr Shahruddin (kiri) dan Sheikh Umar Baghrab Ali
Dr Shahruddin (kiri) dan Sheikh Umar Baghrab Ali

 

Calon ‘kejutan’ kedua yang mampu dipilih sebagai Menteri Besar Johor sekiranya koalisi parti PH menang ialah bekas Exco Kerajaan Negeri daripada DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali.

Berketurunan Melayu, anak jati Kluang dan dianggap pemimpin muda Islamik yang progresif, Sheikh Umar tidak mustahil mampu mencipta sensasi.

Namun peluang Sheikh Umar agak tipis disebabkan sejarah politik negara membuktikan agak sukar bagi mana-mana pemimpin Melayu DAP direstui pihak Istana untuk dipilih sebagai Menteri Besar bagi sesebuah negeri kecuali Pulau Pinang.

RATING PELUANG JADI MB:

SHAHRUDDIN – 2/10

SHEIKH UMAR – 1/10

 

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

Johor kurang kesedaran politik Islam, Muhyiddin pertahan kenyataan Hadi

Tangmo Nida Dipaksa Layan Nafsu Lelaki VVIP Sebelum Jatuh Bot? [VIDEO]

PRN Johor: PKR melenting, MUDA balas balik

Pedas!! Mas Idayu Kesian Dengan Netizen, Beli Top-up Untuk Benda Bodoh [VIDEO]

 

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker