PETALING JAYA: Sebanyak 42,166 pencari kerja berjaya ditempatkan di pelbagai sektor selain 1,200 pekerjaan baharu berjaya diwujudkan sepanjang Januari tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu membuktikan inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan pada tahun ini.
Selain itu katanya, ia sekali gus menunjukkan ekonomi negara kini semakin pulih dengan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi dan sosial.
“Pada tahun ini, kerajaan dengan kerjasama bersepadu pelbagai kementerian, agensi pelaksana dan sektor swasta berjaya menempatkan 558,633 pekerjaan. Pencapaian ini adalah 112 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan dan kerajaan yakin kejayaan ini boleh diulangi dengan sasaran yang lebih tinggi bagi tahun 2022.
“Di samping itu, Majlis Pekerjaan Negara (NEC) juga meneliti dan membincangkan strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Sistem kuota dan Multi-tier Levy (MTL) merupakan langkah yang boleh diambil dalam menangani isu ini dan sokongan daripada pihak majikan juga perlu bagi mengimbangi impak kekurangan tenaga kerja pasca pandemik,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Terdahulu Majlis Pekerjaan Negara mengadakan mesyuarat bagi membincangkan program dan inisiatif yang telah dan akan dijalankan oleh agensi pelaksana untuk mencipta peluang pekerjaan bagi Keluarga Malaysia.
Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia mempunyai tiga komponen utama iaitu insentif Penggajian Jamin Kerja, Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran serta Malaysia Short Term Employment Programme (MySTEP).
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Majlis Pekerjaan Negara bersetuju dengan penetapan sasaran sejumlah 300,000 penempatan pekerjaan di bawah Insentif Penggajian Jamin Kerja, 220,000 di bawah Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran, dan 80,000 di bawah MySTEP.
Menurutnya, pencapaian sasaran itu akan disokong oleh lima Pasukan Petugas Khas (STF) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian masing-masing.
“Kementerian Sumber Manusia telah diarahkan merangka strategi yang khusus bertujuan meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi golongan belia.
“Langkah ini penting kerana kadar pengangguran dalam golongan berkenaan berada pada tahap 80.3 peratus,” katanya.
Ismail Sabri dalam masa yang sama berkata, kerajaan turut mengulangi pendirian mengenai usaha pendedahan awal pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada pelajar Tingkatan 1, untuk membantu pelajar membuat pilihan berdasarkan kecenderungan minat mereka.
“Bagi tujuan ini, kempen promosi dan penjenamaan semula TVET akan dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua.
“Sebaliknya, TVET akan diperkasakan agar ia menjadi kerjaya pilihan seperti negara maju,” jelasnya.
Dalam pada itu, kerajaan juga akan menambah baik dan memperkasa ekosistem pekerjaan melalui pewujudan Pusat Penempatan Pekerjaan sehenti yang akan memantau kejayaan setiap permohonan pekerjaan.
“Ia merupakan pelengkap bagi platform MYFutureJobs yang memudahkan majikan menawarkan pekerjaan dan pada masa yang sama membantu pencari kerja untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan tarikh temu duga.
“Kerajaan yakin strategi NEC dapat meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran. Selain itu, Kerajaan memandang serius isu-isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan,” katanya.
You must be logged in to post a comment.