Perikatan Nasional akan tersingkir selepas PRN Johor

PETALING JAYA: Gelanggang yang sesak pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, terutamanya dengan penampilan parti yang lebih kecil buat kali pertama, akan menguntungkan Barisan Nasional (BN), dengan Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan kehilangan kedudukan dalam kerajaan negeri selepas 12 Mac ini, menurut penganalisis.

Mereka berkata, walaupun penilaian itu adalah berdasarkan perkembangan politik semasa dan kecenderungan gaya undian rakyat, sebarang perbezaan akan datang daripada pengundi muda, iaitu jika mereka keluar mengundi.

Trend ke arah BN tidak dapat dielakkan, kata felo kanan Akademi Nusantara Azmi Hassan, kerana kebanyakan calon baharu meletakkan diri mereka sebagai pembangkang tanpa cuba bergabung tenaga dan mengatur strategi untuk menentang BN.

“Dengan PN juga berkelakuan seperti pakatan pembangkang, walaupun ia sebahagian daripada gabungan pemerintah di peringkat persekutuan dan banyak negeri, BN masuk ke gelanggang dengan kelebihan yang besar,” katanya.

Dua parti baharu – MUDA dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) – bersama Warisan dari Sabah bertembung sesama sendiri, selain menentang Pakatan Harapan (PH) di beberapa kerusi.

Azmi menjangkakan PN akan paling rugi seperti yang berlaku pada PRN Melaka pada November lepas.

“Ada kemungkinan Bersatu tewas di Johor atau mungkin menang paling banyak hanya satu atau dua kerusi.

“Kemungkinan besar, PN tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan Johor akan datang,” katanya.

Bersatu mempunyai 12 ahli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, manakala PAS mempunyai satu kerusi.

“PAS mungkin kalah di Bukit Pasir kerana tidak mendapat sokongan yang diharapkannya daripada Bersatu jika dibandingkan dengan Umno yang mempunyai jentera pilihan raya jauh lebih baik,” katanya sambil menambah bahawa ADUN penyandangnya, Najib Lep akan bertanding sebagai calon Bebas menentang calon PAS dan empat yang lain kali ini.

Parti itu juga mengisytiharkan ia akan bersama PN di Johor, yang menurut Azmi, akan menyukarkan parti itu memberi sebarang impak.

Dalam keadaan ini, Azmi tertanya-tanya bagaimana segelintir pemimpin Bersatu boleh meramalkan bahawa PN akan membentuk kerajaan Johor seterusnya.

“Ia hanya angan-angan,” katanya.

Berhubung pengundi Undi 18 yang terdiri daripada lebih 750,000 orang, Azmi berkata, beliau menjangkakan mereka yang keluar mengundi akan memilih pembangkang disebabkan kecenderungan terhadap sentimen antikerajaan pada masa ini.

“Namun persoalannya adalah sama ada mereka akan keluar mengundi,” katanya.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia bersetuju bahawa BN akan mendapat paling banyak manfaat jika ia berjaya mengekalkan pengundi setianya manakala mereka yang tidak memilih gabungan itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kembali ke pangkuannya.

“PN benar-benar berada dalam kedudukan yang sukar dengan gelanggang yang sesak dalam PRN. Bersatu juga berasa tekanannya kerana presidennya, yang juga bekas Perdana Menteri, berasal dari Johor.

“BN mahu menewaskan PN di Johor dan melainkan corak pengundian berubah, ia mungkin berjaya. Bagi Bersatu, berada dalam PH pada PRU14 sama sekali berbeza dengan berada dalam PN sekarang. Ini akan menjadi ujian penilaian kepada Muhyiddin dan partinya,” katanya.

Bagi pengundi Undi 18, Sivamurugan berkata, ibu bapa berkemungkinan akan menjadi pengaruh jika mereka keluar mengundi sebagai satu keluarga.

“Namun dengan jangkaan peratusan keluar mengundi yang rendah, sukar untuk meramalkan sejauh mana Undi 18 akan memberi kesan kepada pilihan raya,” tambahnya.

Perikatan Nasional akan tersingkir selepas PRN Johor

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Empat Sekeluarga Maut, Nahas 2 Kenderaan Kemalangan Di Lebuhraya Sultan Iskandar [VIDEO]

Fitnah keji, Zahid telah hantar surat saman pada Mahathir dan Muhyiddin

Zul Yahya bodohkan KJ (Video)

PRN Johor: Pengundi Cina Mula Tinggalkan DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker