Krisis Rusia-Ukraine: Siapa Di Sebalik Nama Vladimir Dan Volodymyr?

Krisis Rusia-Ukraine: Siapa Di Sebalik Nama Vladimir Dan Volodymyr?

EJAAN sahaja mungkin berbeza, namun cara sebutan nama pangkal dua sosok ini, yang sekarang disebut-sebut di seluruh dunia, sebenarnya hampir serupa.

Vladimir Putin dan Volodymyr Zelensky masing-masing merupakan Presiden bagi negara Rusia dan Ukraine, kini terpalit dalam sebuah drama pertembungan kuasa, pelanggaran sempadan dan percaturan politik.



Berikut adalah latar belakang ringkas bagi kedua-dua pemimpin:

VLADIMIR PUTIN

Presiden Rusia ini mula menimba pengalaman sebagai ahli politik sejak tahun 1990 dan merupakan bekas pegawai perisikan. Kerja politiknya bermula dengan tugas pentadbiran di Saint Petersburg pada tahun 1990 sebagai pegawai penasihat hubungan antarabangsa, sebelum berpindah ke Moscow tujuh tahun kemudian.

Dari situ, beliau mengasah kemahiran, ilmu, dan mencipta jaringan dalam pelbagai jabatan pentadbiran.

Bermula sebagai Pengarah Keselamatan Persekutuan, Setiausaha Majlis Keselamatan, Perdana Menteri hingga dilayakkan menyandang jawatan nombor satu Rusia.



Lebih awal dari itu, pada tahun 1975, Putin menyertai KGB dan pernah dilatih di sekolah KGB ke-4-1 di Okhta, Leningrad.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Ketua Direktorat (counter-intelligence) yang memerlukannya memantau pegawai dan konsulat negara asing di Leningrad.

Pada September 1984, Putin dihantar ke Moscow untuk melanjutkan latihan di Yuri Andropov Red Banner Institute. Dari tahun 1985 to 1990, beliau berkhidmat di Dresden, Jerman Timur, dengan membawa identiti sebagai jurubahasa.

Nama penuh: Vladimir Vladimirovich Putin



Tarikh lahir: 7 Oktober 1952 (Umur 69 tahun)

Tempat lahir: Leningrad (kini Saint Petersburg), Rusia

Pendidikan: Saint Petersburg State University (1970-1975), Academy of Foreign Intelligence (1984-1985), Saint Petersburg Mining University (1997)

Tempoh kepresidenan: 1999 hingga 2008, 2012 hingga kini



Ibu bapa: Bapanya, Vladimir Spiridonovich Putin berkhidmat dalam Tentera Laut Soviet, manakala ibunya, Maria Ivanovna Putina, ialah pekerja industri.

Trivia: Datuknya, Spiridon Putin, merupakan tukang masak khas kepada pencetus revolusi, Vladimir Lenin dan Joseph Stalin. Putin merupakan penggemar dunia outdoor, dan sinonim dengan sifat ‘kejantanan’.

Beliau sering menunjukkan kekuatan fizikal dengan melakukan aksi berbahaya seperti sukan ekstrem dan melibatkan haiwan liar. Pesona ‘macho’ itu adalah untuk menonjolkan sifat maskulin dan kepahlawanan.



VOLODYMYR ZELENSKYY

Portfolio Presiden Ukraine ini sangat unik iaitu ahli politik, pelakon dan ahli komedi.

Semuanya bermula pada usia 17 tahun, beliau menubuhkan kumpulan komedi untuk menyertai program televisyen, KVN, dan kemudian lolos ke liga utama lantas menjuarainya pada tahun 1997.

Zelenskyy kemudian menubuhkan kumpulan Kvartal 95 dan membuat siri jelajah ke seluruh negara-negara bekas Soviet.

Bermula tahun 2003, Zelenskyy banyak menerbitkan rancangan untuk stesen televisyen Ukraine selain membintangi filem seperti Love in the Big City (2008) Our Time (2011), Rzhevsky Versus Napoleon ( 2012), 8 First Dates (2012), dan Love in the Big City 3 (2014).



Paling menonjol adalah siri komedi satira politik, Servant of the People, (2015-2019) yang melonjakkan namanya.

Laluannya ke arena politik dan pentadbiran negara adalah berdasarkan populariti yang memuncak dalam dunia hiburan, selain sokongan individu berpengaruh dan pasukan penasihat.

Zelenskyy berkata, beliau menceburi politik adalah untuk meletakkan semula keyakinan dalam figura ahli politik dengan ‘mengetengahkan individu profesional yang sopan ke tampuk kuasa’.

Pada tahun 2019, Zelenskyy telah mencabar Presiden Ukraine ketika itu, Petro Poroshenko dalam pilihan raya dan tanpa disangka telah menang dengan undian majoriti besar meskipun hanya berkempen dalam media sosial.

Zelenskyy malah menggunakan nama siri program popular lakonannya, Servant of the People, sebagai nama parti politiknya.

Nama penuh: Volodymyr Oleksandrovych Zelenskyy

Tarikh lahir: 25 Januari 1978 (Umur 44 tahun)

Tempat lahir: Kryvyi Rih, Ukraine (dahulu Kesatuan Soviet)

Pendidikan: Sarjana Undang-Undang dari Kryvyi Rih Institute of Economics (kini Kryvyi Rih National University)

Tempoh kepresidenan: 2019 hingga kini

Ibu bapa: Bapanya, Oleksandr Zelenskyy, merupakan seorang profesor dan ketua Jabatan Sibernetik dan Perkakasan Perkomputeran; manakala ibunya, Rymma Zelenska, pernah berkhidmat sebagai jurutera.

Trivia: Selepas lulus sarjana, Zelenskyy tidak meneruskan kerjaya dalam bidang perundangan, sebaliknya lebih cenderung menceburi bidang seni persembahan penerbitan program dan penyiaran.

Penyokong kempen pengedaran percuma ganja perubatan, kempen pengguguran percuma, legalisasi pelacuran dan perjudian, namun menentang legalisasi senjata api.-AA

Krisis Rusia-Ukraine: Siapa Di Sebalik Nama Vladimir Dan Volodymyr?

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cecair Hitam, Busuk Keluar Daripada Paru-Paru Kanak-Kanak Positif COVID19

Dakwaan petunjuk baharu MH370

Encik Sajat kini wanita sah di Australia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker