Kuasa netizen temukan semula Cinta, bapa kandung



Kuasa netizen temukan semula Cinta, bapa kandung

Bermula sekadar niat ‘mencuba nasib’, usaha seorang wanita menjejaki bapa kandungnya yang lebih 20 tahun terpisah menggunakan media sosial membuahkan hasil.

Kelmarin, wanita menggunakan nama ‘Cinta’ memuat naik dua keping foto lama bapa kandungnya semasa muda dalam satu hantaran di Twitter.

Bersama hantaran itu, beliau menyatakan mahu mencuba nasib mencari bapa kandungnya yang sudah lama terpisah dan meminta pertolongan warga Twitter yang mungkin mengenali lelaki itu.

Katanya lagi, bapa kandungnya dikatakan kali terakhir menetap di Taman Kosas, Ampang dan dikenali sebagai Junior Liew.




Usahanya ternyata tidak sia-sia apabila melalui kuasa netizen, tidak sampai 24 jam Cinta menerima berita gembira dan berjaya menemui bapanya yang kini dikatakan tinggal di sebuah kawasan pedalaman di Sabah.

Ternyata ciapannya di Twitter mendapat perhatian netizen yang prihatin dan sama-sama membantu menjejaki bapanya.

Ciapannya itu turut diulang ciap di laman Twitter sebanyak 6,706 kali serta mendapat 8,639 tanda suka.

Selepas sekian lama, mereka akhirnya dapat berkomunikasi dan bersua muka buat kali pertama walaupun hanya menerusi satu panggilan video, semalam.

Cinta melalui satu hantaran berasingan di Twitter semalam, berkongsi detik gembira itu dengan warga Twitter serta memuat tiga gambar tangkap layar semasa berbual bersama bapa kandung serta neneknya di Sabah.




Beliau turut meluahkan rasa terima kasih kepada warga Twitter dan netizen yang membantu menemukan semula beliau dengan bapa kandungnya.

Sementara itu, Cinta yang dihubungi BH, memaklumkan beliau terpisah dengan bapa kandungnya sejak berusia antara dua atau tiga tahun, selepas kedua orang tuanya berpisah.

Katanya, bapa kandungnya kini tinggal di sebuah kawasan pendalaman di Beaufort, Sabah dan tidak mempunyai telefon bimbit.

“Abang kepada bapa (bapa saudara) mengetahui perkara itu selepas seorang pengguna Twitter yang rupa-rupanya abang sepupu saya yang berasal dari Sabah, membaca ciapan di Twitter.

“Dia (bapa saudara) kemudian bersama nenek pergi bertemu ayah sebelum membuat panggilan video, semalam,” katanya.




Cinta yang berusia 24 tahun dan kini menetap di Petaling Jaya, dekat sini, bersama seorang anak perempuan berusia empat tahun, memaklumkan ibunya berasal dari Kota Marudu, Sabah dan merancang pulang ke negeri asalnya dalam masa terdekat.

“Saya rancang mahu pulang ke sana secepat mungkin atau selewat-lewatnya semasa sambutan Hari Raya.

“Saya sedang mengumpul duit untuk membeli tiket penerbangan dan perbelanjaan pulang ke Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perasaannya berbaur antara gembira, teruja dan pada masa sama berasa janggal sebaik dapat bertemu dan berhubung semula dengan bapa kandungnya itu. BH

Kuasa netizen temukan semula Cinta, bapa kandung





Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rasyad dan Peter ‘trending’ di Twitter

Wanita Ini Menyesal Tak Sudah Dapat ‘Date Dari Neraka’ [VIDEO]

Bercerai selepas sehari berkahwin



Leave a Reply

Your email address will not be published.