Ismail Sabri serius perkasa hubungan etnik

Ismail Sabri serius perkasa hubungan etnik

oleh Prof Datuk Dr Jayum Jawan

WALAUPUN ada orang mengatakan ianya bukan benda baharu tetapi saya melihat inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui pengenalan konsep Keluarga Malaysia adalah satu jalan membina masyarakat Malaysia yang bersatu-padu dan maju ke hadapan.



Memang ianya bukan benda baru kerana kita sudah dengar mungkin dalam konsep yang berbeza sebelum ini, ada konsep integrasi perpaduan, konsep bangsa Malaysia, selepasnya konsep Satu Malaysia dan sekarang ini kita ada pula konsep Keluarga Malaysia.

Ini tidak menjadi satu masalah kerana setiap Perdana Menteri kita mempunyai kerangka yang berbeza dalam minda masing-masing, jadi bagi saya ia sesuatu yang bagus tetapi kita menunggu bagaimana ia difahami oleh jentera kerajaan yang akan melaksanakannya.

Keluarga Malaysia ini merupakan satu kerangka yang cukup bagus dan saya rasa rakyat sedang menunggu-nunggu pengisiannya, dan jentera pentadbiran awam perlu faham apa yang Ismail Sabri mahukan, apa sifatnya, apa nilainya dan bagaimana mahu memperkukuhkannya.

Saya melihat ada keseriusan Ismail Sabri dalam memperkasakan hubungan etnik yang sering kita bangkitkan yang tidak begitu baik selama 40-50 tahun yang sudah di mana kita telah berada pada tahap yang sederhana, yang begitu-begitu saja, dalam tempoh sebelum ini.



Sebab itulah kita mahukan perpaduan yang lebih tinggi serta persahabatan yang lebih kuat antara agama, antara budaya dan antara etnik yang berbeza sehingga pada akhirnya kita akan menjadi sebuah negara maju yang boleh bersatu-padu untuk bersaing dengan negara lain.

Komitmen Ismail Sabri untuk memperkasakan hubungan etnik ini jelas terpancar di dalam pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 pada 28 November 2021 yang saya sendiri turut terlibat.

Dua pelan yang dilaksanakan melalui Kementerian Perpaduan Negara yang diterajui oleh menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, ini bakal memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop lebih luas serta inklusif berteraskan Rukun Negara.

Saya juga terlibat di dalam usaha untuk meningkatkan proses perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan dalam kalangan rakyat, di mana kita sudah ada konsep-konsep yang hebat-hebat yang memerlukan pentakrifan oleh pelaksananya bagi memastikan matlamat tercapai.



Semua konsep ini perlu dioperasi secara nasional supaya senang untuk kita mengukur berjaya atau tidak berjaya, sejauh mana berjaya atau sejauh mana tidak berjaya, pelan yang dirancang kerana kita sudah ada ukuran yang disediakan bagi memantau kemajuan dasar yang diperkenalkan.

Peranan penting seorang pemimpin utama negara juga ialah untuk mengembalikan kestabilan politik di dalam negara, jadi peranan penting ini memerlukan Ismail Sabri, mahu tidak mahu, perlu memperkukuhkan kedudukan beliau sebagai seorang Perdana Menteri.

Kita mengamalkan sistem Westminster dan dalam sistem Westminster ini seorang Perdana Menteri semestinya juga merupakan seorang ketua parti, kerana bila seorang Perdana Menteri adalah seorang ketua parti barulah beliau boleh bergerak dengan lebih berkesan.

Dalam keadaan sekarang kita melihat bahawa Ismail Sabri bukan seorang ketua parti ataupun ketua kepada mana-mana gabungan dalam peringkat politik nasional itu tadi, jadi ini secara tidak langsung merupakan satu hambatan terhadap keberkesanan kepimpinan beliau.



Dalam keadaan UMNO tercari-cari siapa yang akan mengembalikan keagungan UMNO dan kebetulan pada zaman Ismail Sabri UMNO menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka maka saya rasa ini merupakan satu petunjuk yang baik terhadap diri beliau.

Mungkin beliau adalah pemimpin yang dicari-cari untuk mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO dan menyatupadukan semua golongan di dalam UMNO kerana kalau mengikut pengundi di Melaka memang UMNO-lah yang menjadi pilihan utama.

Jadi ini satu daripada tanggungjawab besar Ismail Sabri selaku seorang Perdana Menteri iaitu bagaimana beliau mahu mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO kerana mahu tidak mahu politik orang Melayu Semenanjung itu adalah tulang belakang politik Malaysia.

Struktur politik Malaysia yang tertulis adalah kestabilan politik Malaysia bergantung kepada kestabilan politik orang Melayu dan ini tanggungjawab besar yang Ismail Sabri perlu laksanakan bukan sahaja untuk UMNO tetapi juga untuk orang Melayu dan untuk Malaysia.



Saya yakin dengan pelancaran konsep Keluarga Malaysia, perkara-perkara yang menjadi masalah kepada negara akan ditangani secara bertahap oleh Ismail Sabri dan kerajaan beliau yang bagi saya menunjukkan keinginan untuk melakukan tadbir urus yang lebih inklusif.

Untuk menjadi lebih inklusif, telinga perlu sentiasa kena pasang dan kena mendengar dengan lebih kuatlah, kalau panas apa yang didengari pun tidak mengapalah, dengar sahaja dulu kerana itu yang diperlukan untuk kita membina Malaysia menjadi sebuah negara yang kukuh.

Kita perlu hidup bersama, sama ada kita orang Melayu, orang Dayak, orang Kadazan, orang Dusun, orang Cina atau orang India kerana kita hanya ada satu negara, iaitu Malaysia, dan untuk memeliharanya kita perlu mendengar dan memahami antara satu sama lain.

Kita mungkin tidak bersetuju setiap masa tetapi itu bukan alasan untuk kita bertikai, ada masanya kita akur dengan pandangan pihak lain tapi ada masanya pula pihak lain yang akur dengan pandangan kita, dan inilah konsep menang-menang yang kita mahukan.



Lebih bagus lagi adalah kerana dalam melaksanakan konsep Keluarga Malaysia ini, Ismail Sabri adalah seorang Perdana Menteri yang tidak ada baggage atau rekod tidak baik, bila beliau tidak ada ‘baggage’ maknanya beliau juga tidak ada ada ramai musuh.

Jadi, bila Ismail Sabri tidak ada ada ramai musuh maka lebih mudahlah untuk beliau bergerak ke kiri, ke kanan dan ke mana-mana sahaja untuk mencari kerjasama bagi membantu beliau mengemudi negara ke satu tahap yang lebih baik di peringkat rantau dan antarabangsa. MG

Penulis adalah penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu (TSEJRC) di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

Ismail Sabri serius perkasa hubungan etnik


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ibu Puteri Balqis hisap dadah, ini penjelasannya

Saman Ali Puteh terhadap balu Arwah Abam, keputusan Jumaat ini

BERSATU Memang Berhasrat Bunuh UMNO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker