Politik katak: UMNO pertikai prinsip Muda

KUALA LUMPUR: UMNO mempersoal tindakan Parti Ikatan Muda Demokratik (Muda) yang sebelum ini menjanjikan politik bersih dan menolak politik katak dalam parti itu.

Ia berikutan lantikan ahli Jawatankuasa Pusat Muda, Nurainiee Haziqah Shafii yang sebelum ini adalah calon Exco Wanita Pusat PKR 2018 dan Ahli jawatankuasa Srikandi Bersatu pada 2021.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, sudah pasti imej parti yang baharu setahun jagung itu akan diuji dalam dunia politik sebenar.

“Pelantikan AJK Pusat Muda ialah hal dalaman parti itu. Tetapi sudah nampak bibit-bibit realiti politik yang mereka akan terpaksa terbabit. Kadangkala realiti politik ini berbeza daripada imej yang cuba dipaparkan.

Misalnya melantik dalam AJK Pusatnya seorang yang pegang jawatan tiga parti dalam masa empat tahun.

“Saya yakin mereka ada justifikasi untuk setiap pelantikan itu tetapi semakin lama saya rasa semakin banyak keputusan yang akan terpaksa dibuat bercanggah dengan imej ‘bersih’ atau ‘baharu’ mereka, kerana realiti politik sering lebih rumit daripada idealisme mutlak,” katanya semalam.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini, pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat keputusan untuk mengambil pendirian berkecuali kerana Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan menyenaraikan calon yang menyebabkan jatuhnya kerajaan negeri Melaka semasa musim pandemik.

Tegasnya, Muda menolak politik ‘katak’, tidak bermaruah dan tidak berprinsip yang akhirnya menyebabkan rakyat susah dan membazirkan lebih RM42 juta untuk tujuan perbelanjaan pilihan raya khususnya di tengah-tengah pandemik.

Sehubungan itu, Shahril meminta rakyat menilai kenyataan Syed Saddiq yang bercanggah dengan prinsip Muda menolak parti katak.

“Cabaran ini benar untuk semua parti politik dan anak muda yang menganggotainya. Di situ rakyat akan boleh menilai antara jenama dan realiti, akhirnya parti yang paling berwibawa tetap akan dipilih,” ujarnya.

Nurainie merupakan seorang peguam, meninggalkan PKR pada Mei 2020 dengan alasan hilang keyakinan terhadap hala tuju dan kepimpinan parti itu.

Beliau kemudian menyertai Pemuda Negara sebagai ketua sayap wanita pada 2020 selain pertubuhan yang pernah menyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – UTUSAN


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Mee Sup Pedas Cina, Bikin Terliur

Juri program ‘najis’, tak hadap kau sekolah tak? – Diva AA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker