Parti Mahathir dijangka bungkus dalam PRN Johor

PETALING JAYA: Dua penganalisis meramalkan parti Pejuang pimpinan Dr Mahathir Mohamad akan tewas pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, terutamanya jika parti itu bertanding sendiri di 42 kerusi.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Pejuang bertuah jika memenangi hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun Mahathir, Pengerusi Pejuang, kekal menjadi tokoh yang menarik bagi ramai pengundi, parti itu kekurangan jentera akar umbi, kata Oh.

“Akhirnya, Umno, dengan penggemblengan besar akar umbinya, hampir pasti akan menang begitu saja di kebanyakan kawasan majoriti Melayu, diikuti jauh oleh PAS.

“Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu akan berasa diri mereka bertuah jika dapat memenangi paling banyak separuh daripada apa yang dimenanginya pada 2018,” tambahnya.

Seorang lagi penganalisis, felo kanan penyelidikan strategik Akademi Nusantara, Azmi Hassan berkata, Pejuang akan bergelut untuk memenangi hati pengundi kerana parti itu tidak “sinonim” dengan Johor, tidak seperti Umno, Bersatu dan MUDA.

“Malah, PAS mempunyai sokongan akar umbi di Johor yang jauh lebih baik berbanding Pejuang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Pejuang akan tewas jika ia berkeras untuk bertanding di 42 kerusi.

“Mereka harus memberi tumpuan kepada satu atau dua kerusi di mana mereka ada pengaruh dan boleh menarik beberapa undi daripada Umno dan Bersatu,” katanya.

Azmi berkata, Mahathir ada sedikit tarikan di peringkat kebangsaan tetapi tidak popular dalam kalangan rakyat Johor, dan kurang berpengaruh pada PRN.

PRN Johor dijangka akan diadakan menjelang 23 Mac, dengan 56 kerusi DUN dipertandingkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada Rabu untuk menetapkan tarikh hari penamaan dan mengundi.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Keluarga Pelakon Ezzaty Abdullah Ada Dalam Kereta Api Terbakar Di Kelantan, Dukung Nenek Sekali

Lelaki cedera dibelasah kekasih gelap isteri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker