Khai Bahar jatuh cinta diam-diam

Khai Bahar jatuh cinta diam-diam

SIAPA yang tidak ingin hidup berpasangan dan membina keluarga?

Namun, kadangkala dalam kesibukan merencana kerjaya atau mahu memberikan perhatian terhadap ibu bapa yang semakin berusia membuatkan ada antara kita terlepas pandang soal jodoh.



Penyanyi Khai Bahar yang bakal menginjak 28 tahun pada 28 Februari juga mengakui sesekali turut berasa sunyi.

Dia ingin berteman apatah lagi selepas melihat ramai rakan sebaya sudah memasuki alam rumah tangga.

Begitupun, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin itu enggan tergesa-gesa atau sekadar mengikut orang, ia meletakkan sasaran dua tahun lagi untuk berkahwin.

Baginya, tanggungjawab sebagai suami bukan sekadar menyediakan cukup makan pakai untuk suri hati, tetapi perlu mempunyai kehidupan lebih stabil sama ada dari segi kerjaya mahu pun kehidupan peribadi.



“Sejujurnya siapa yang tak ingin bahagia? Tengok kawan-kawan sudah ada kekasih atau isteri memang terbit rasa cemburu. Namun, saya ada perkara lain yang perlu didahulukan.

“Boleh dikatakan saya juga belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami buat masa ini.

“Mungkin lagi dua tahun ketika saya sudah berumur 30 tahun atau lebih?

“Keluarga terutama ibu bapa pun tak pernah buka topik jodoh sebab mereka faham situasi saya. Tiada tekanan,” katanya ketika ditemui ketika pelancaran Konsert Nafas Cinta Khai Bahar, baru-baru ini.



Ada ‘crush’

Sedikit malu-malu saat diminta mengulas lanjut mengenai gadis pilihan, katanya status sama ada artis atau tidak bukan perkara pokok.

Baginya, perkara tersebut subjektif mengikut pandangan setiap individu.

Pada masa sama, Khai secara terbuka mengakui pernah meminati seseorang secara diam-diam dengan hanya mengikuti perkembangan ‘si dia’ menerusi laman sosial tanpa berterus terang.



Enggan mendedahkan identiti si pencuri hati, kata Khai, wanita tersebut bagaimanapun sudah mendirikan rumah tangga tanpa mengetahui mempunyai pemuja rahsia.

“Sepanjang enam tahun ini saya memang ada ‘crush’ (sukakan) seseorang. Tapi sekadar tengok laman sosialnya, tak luahkan pun. Rasanya dia pun tak tahu yang saya meminatinya.

“Sekarang dia sudah berkahwin. Saya yang terlambat, tak mengapalah.

“Cuma siapa si dia, biarlah saya simpan sendiri dan tak perlu didedahkan identitinya,” luah penyanyi Rahsia Kita itu.



Sebelum ini, selebriti yang digelar King of Smule itu pernah dikaitkan intim dengan teman seperjuangan duet dengannya, termasuk Siti Nordiana atau Nana dan Aina Abdul.

Isu dengan Nana?

Ditanya lagi mengenai desas-desus persahabatan dengan Nana, teman duet bagi lagu Satukan Rasa sebelum digandingkan dalam drama berjudul sama, Khai menegaskan mereka tetap berkawan seperti dahulu.

Tiada sebarang isu membabitkan mereka, malah perkara yang dibangkitkan kononnya bergaduh dengan Nana disebabkan peminat hanyalah tanggapan segelintir pihak.



“Kami okey saja. Sepanjang fasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) masing-masing sibuk dengan kerja. Begitu juga dengan rakan artis lain, susah nak jumpa kalau tiada projek bersama,” ulas anak jati Perlis itu.

Tumpuan utamanya kini adalah Konsert Nafas Cinta Khai Bahar yang dijadualkan berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac) pada 12 Februari ini.

Fokus konsert

“Masih ada untuk buat persiapan. Sekarang kami sudah ada pilihan lagu yang bakal didendangkan dan pada masa sama saya turut meminta peminat menyenaraikan seleksi pilihan masing-masing untuk dipertimbangkan.

“Hakikatnya, memang rasa teruja dan gementar bercampur baur apatah lagi sebelum ini peminat yang ternantikan perkembangan perancangan konsert terawal dahulu kecewa selepas terpaksa dibatalkan.

“Apabila rezeki ini datang, saya anggap sebagai pembuka tirai 2022 yang manis. Seperti mereka, saya juga tidak sabar beraksi secara langsung di hadapan penonton selepas sekian lama ‘berehat’ berikutan fasa PKP.

“Konsert yang dipancarkan secara virtual ini juga diharap dapat memenuhi kepuasan ramai yang sudah tertunggu-tunggu sekian lama. Acara menjadi lebih bermakna dengan penyertaan penyanyi jemputan seperti Aina Abdul dan Adira Suhaimi,” katanya lagi.

Terdahulu, selepas perancangan tampil menerusi konsert pertama bawah penganjur lain dibatalkan tahun lalu.
Lantas, lamaran Nova Music dianggap pengubat rasa kecewa peminat tegar yang ternantikan persembahan berskala besar daripada Khai.

Bikin album

Dalam perkembangan lain, Khai sedang dalam proses pembikinan album terbaharu yang bakal memuatkan enam lagu dengan tiga daripadanya penerbitan baharu, selain bakinya adalah dendangan terdahulu.

Kata Khai, lapangan nyanyian tetap menjadi fokus utama berbanding cabang seni lain, malah dalam kesibukan membilang hari menuju konsert, dia mengambil peluang mengasah kembali vokal dengan bimbingan guru vokal. K Online

Khai Bahar jatuh cinta diam-diam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Norjuma Habib bakal dikeluarkan waran tangkap

Bila kita tekan butang, dia marah

‘Kalau kena dengan TMJ senyap pula…’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker