PRN Johor: Siapa sanggup jadi pengkhianat?

DALAM suasana hangat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, terdapat ura-ura Parlimen juga akan dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Spekulasi itu bertiup kerana tiga faktor. Pertama, dari segi sejarah, UMNO melalui mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai 2021 menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri pada waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedua, Muzakarah Pas-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 28 dan 29 Januari lalu mengeluarkan resolusi yang ‘mempertegaskan sokongan Pas dan Bersatu’ dalam kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi.



Ketiga, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengumumkan pada 15 Januari lalu bahawa pihaknya akan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika PRN Johor dilangsungkan.

Kita semak satu-satu setiap faktor ini. Kemungkinan untuk UMNO menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri hampir tiada kerana penarikan balik sokongan kepada Muhyiddin adalah diasaskan kepada kegagalan kerajaan beliau memenuhi syarat pemberian sokongan oleh MKT pada 11 Mac 2020.

Jika dilihat kepada apa yang berlaku sekarang, Ismail Sabri sukar diganggu oleh UMNO kerana kerajaan beliau tidak dianggap sebagai gagal seperti yang dilabelkan kepada kerajaan Muhyiddin, malah beliau sering akur kepada kehendak MKT.

Selepas Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, MKT pada 27 Ogos 2021 menyatakan bahawa ia mendukung penuh pelantikan tersebut sambil menggariskan beberapa panduan utama kepada beliau dalam menerajui kerajaan.



Kemungkinan untuk Pas-Bersatu menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri juga tidak tinggi kerana kerajaan beliau masih memenuhi syarat pemberian sokongan oleh Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) di dalam kenyataan media pada 19 Ogos 2021.

Hanya dua syarat yang Muhyiddin berikan iaitu Ismail Sabri hendaklah memastikan Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah; serta kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri mesti meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

Begitu juga dengan kemungkinan untuk Pakatan Harapan (PH) menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri yang rendah kerana kerajaan beliau masih menjunjung tinggi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai dengan pada 13 September 2021.

Tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad menasihatkan Sultan Johor untuk membubarkan DUN Johor pada 22 Januari lalu tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan Ismail Sabri kerana pembubaran DUN bukan berada di bawah bidang kuasa beliau.



Ismail Sabri hanya Naib Presiden UMNO, jadi amat tidak munasabah untuk mana-mana pihak meletakkan beban ke atas perasaan tidak puas hati terhadap perkara yang parti lakukan di bahu beliau, apa lagi bila ia hanya melibatkan UMNO negeri.

Bila kita masih berhadapan dengan situasi krisis, kestabilan politik amat diperlukan bagi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan dalam memerangi Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya serta memulihkan ekonomi negara.

Siapakah yang sanggup menjadi pengkhianat semata-mata untuk melunaskan dendam politik mereka? Setelah diberi peluang kedua untuk memerintah, masih adakah yang mahu melepaskan kuasa di genggaman semata-mata untuk membolot lebih banyak kuasa?

* Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor ialah Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) yang juga Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM).




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Norjuma Habib bakal dikeluarkan waran tangkap



Bila kita tekan butang, dia marah

‘Kalau kena dengan TMJ senyap pula…’



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker