58% pengundi kini mereka yang berusia 40 tahun dan ke bawah

SUKA atau tidak, mana-mana parti politik atau gabungan parti politik yang berhasrat membentuk kerajaan pada masa akan datang perlu memenangi hati mereka yang berusia 40 tahun dan ke bawah.

Kegagalan berbuat demikian adalah sama seperti menempa ‘maut’.

Ini kerana, berdasarkan statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan angka yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, 58 peratus pengundi berdaftar negara ini sama ada yang sedia ada atau secara automatik ekoran terlaksananya Undi 18 adalah terdiri daripada golongan ini.

Dan barang diingat, jumlah 58 peratus ini mewakili 12.2 juta orang pengundi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jumlah ini cuma mewakili 41 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Bayangkan perubahan mendadak ini. Semuanya kerana gara-gara pewartaan undang-undang Undi18 − sekali gus menjadikan golongan muda kini sebagai ‘kingmaker’ yang bakal menentukan hala tuju masa depan politik Malaysia.

Dan menurut data SPR lagi, apa juga pilihan raya yang akan diadakan selepas 16 Januari tahun ini, siapa sahaja warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas boleh masuk ke pusat mengundi di kawasan Parlimen di mana alamat pada kad pengenalan mereka tertera dan mengundi.

Mereka boleh melakukannya tanpa perlu mendaftar dengan SPR sepertimana yang perlu dilakukan oleh pengundi-pengundi sebelum ini.

Cara dahulu sangat rumit. Mereka yang belum pernah mengundi harus terlebih dahulu mendaftar dengan SPR.

Selepas itu nama mereka bukan automatik disahkan sebagai pengundi. Mereka perlu terlebih dahulu menunggu sehingga enam bulan sehingga daftar pemilih yang baharu dipamerkan selama beberapa minggu di tempat-tempat awam untuk proses bantahan dan pemerhatian.

Hanya selepas tiada bantahan atau isu berbangkit mengenai nama-nama yang dipamerkan itu, barulah senarai daftar pemilih yang baharu itu diterima pakai sebagai senarai yang sah.

Tetapi kini dalam era baharu ini semua itu tidak perlu lagi. Mereka yang berusia 18 tahun dan mereka yang belum pernah mengundi akan diterima sebagai pengundi di kawasan di mana alamat mereka didaftarkan dalam kad pengenalan.

Perkembangan terbaharu ini juga menyaksikan sejumlah 5.8 juta pengundi baharu muncul dalam senarai daftar pemilih yang telah pun berjumlah 15.3 juta orang.

Ini bermakna, jumlah baharu keseluruhan daftar pemilih Malaysia berjumlah 21.1 juta orang.

Menurut SPR, daripada jumlah ini, 1.2 juta adalah terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 hingga 21 tahun, manakala selebihnya adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas yang sebelum ini tidak pernah mendaftar dengan SPR.

Ini semua menjadikan kerja parti-parti politik lebih rumit dan susah lebih-lebih lagi untuk capai dan meyakinkan sejumlah pengundi muda yang menjadi kumpulan yang dominan dalam senarai pengundi.

Memahami aspirasi dan kehendak mereka adalah salah satu cara untuk menarik perhatian serta sokongan.

Dan misalnya siapa yang dapat memberi jaminan sejumlah peluang pekerjaan, pinjaman pendidikan dan peluang untuk memiliki rumah kediaman mampu milik jika diberikan mandat untuk membentuk kerajaan mungkin ada peluang yang cerah untuk menang.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Netizen Tells Mahadi: “Next Time You Can Record Heliza Helping You With Your Undies”

Bumbung pakir Pasaraya Giant diterbangkan ribut [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker