Penghuni rumah pangsa di Tanjung Aru terima notis pengusiran



Penghuni rumah pangsa di Tanjung Aru terima notis pengusiran

KOTA KINABALU: Penduduk flat kos rendah di Tanjung Aru di sini sangat gembira selepas bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melawat mereka sebagai sebahagian daripada jadual lawatan beliau yang sibu pada Mac tahun lepas.

Muhyiddin singgah dan beramah mesra dengan warga emas dan penduduk kurang upaya di rumah pangsa kerajaan yang lebih dikenali sebagai Rumah Pangsa Tanjung Aru dan kemudiannya menyerahkan bantuan kewangan kepada mereka.

Tetapi dua bulan kemudian, penduduk amat terkejut selepas didatangi Lembaga Perumahan dan Kemajuan Bandar Sabah (LPPB), agensi negeri yang bertanggungjawab ke atas rumah mampu milik, menyampaikan notis pengusiran kepada 315 keluarga, terdiri daripada lebih 1,000 penduduk, yang tinggal di 11 blok di sana.

Notis itu memaklumkan bahawa mereka perlu mencari sendiri rumah baharu dan mengosongkan unit mereka menjelang akhir Dis lepas, dengan menyebut keselamatan struktur flat itu sebagai kebimbangan kerana bangunan itu telah digunakan sejak 1970.




“Jadi anda boleh bayangkan bagaimana perasaan kami mengenai Rumah Pangsa Tanjung Aru yang menjadi berita selepas lawatan Muhyiddin, diberi notis pengusiran dua bulan kemudian,” kata seorang penduduk kediaman ini, Dewi Awang.

Pada 24 Jan lalu, penduduk menyuarakan kemarahan dan kekecewaan mereka ke jalanan apabila mereka mengadakan demonstrasi secara aman di tempat letak kereta terbuka flat, di mana pegawai LPPB turut hadir bagi memerhati proses pengusiran.

Pengerusi LPPB Masiung Banah memberitahu penduduk agensi itu berpegang pada keputusannya dan menguatkuasakan notis pengusiran, mengatakan bangunan itu tidak lagi selamat untuk diduduki.

Beliau berkata penduduk boleh memilih untuk tinggal sementara jika mereka tidak menemui tempat untuk berpindah, tetapi akan tiba masanya pihak lembaga akan menghentikan kutipan sewaan dan penyelenggaraan bangunan.

“Dalam erti kata lain, jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini, kami tidak akan bertanggungjawab,” katanya dalam satu laporan berita.




Dewi, yang mengetuai biro tindakan yang ditubuhkan selepas notis pengusiran disampaikan, berkata penduduk terkejut dengan kenyataan Masiung.

“Kami tidak tahu sama ada untuk menganggap itu sebagai ugutan atau amaran. Dan sejujurnya, LPPB tidak menyediakan sebarang perkhidmatan penyelenggaraan untuk flat ini selama lebih 10 tahun, jika tidak bangunan itu akan berada dalam keadaan yang lebih baik.

“Penyewa berasa kecewa walaupun telah menjelaskan sewa bulanan RM170 seunit,” katanya.

Dewi berkata penduduk telah mengemukakan petisyen memohon dialog dengan lembaga itu tahun lepas, tetapi tidak diendahkan.

Beliau berkata, penduduk yang berada dalam kumpulan B40 telah meminta tempat tinggal alternatif yang lebih dekat dengan lokasi mereka sekarang atau di Putatan atau Penampang.




“Mereka hanya menawarkan 39 penyewa rumah baharu di Sepanggar (pinggir Kota Kinabalu) tetapi hanya lima yang telah menerimanya selepas diyakinkan.

“Ke mana yang lain sepatutnya pergi? Akibatnya, mereka dituduh terlalu memilih dan tidak bersyukur,” katanya.

Dewi berkata penyewa akan kekal di flat tersebut sehingga LPPB memenuhi tuntutan mereka.

“Kami meminta mereka membenarkan kami tinggal sementara mereka mengenal pasti penempatan atau tapak baharu untuk membina rumah kos rendah untuk menempatkan kami semula.

“Pada masa yang sama, mereka harus menyediakan penyelenggaraan untuk rumah pangsa walaupun ini mengambil masa bertahun-tahun kerana ia adalah tanggungjawab mereka,” katanya. FMT




Penghuni rumah pangsa di Tanjung Aru terima notis pengusiran


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Netizen Tells Mahadi: “Next Time You Can Record Heliza Helping You With Your Undies”

Ini pendedahan sebenar Lee Jii Zia

PRN Johor: Muhyiddin takut tewas pada UMNO di Bukit Gambir



Leave a Reply

Your email address will not be published.