PRN Johor: Muhyiddin takut tewas pada UMNO di Bukit Gambir
PADA saat gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin kuat dipalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) membuat pengumuman ‘besar’ mengejutkan pada Selasa.
Pada saat seluruh negara ingin melihat sama ada Bersatu dan PN mampu membendung kemaraan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam mengejar kemenangan majoriti dua pertiga sebagaimana dicapai pada PRN Melaka, tahun lalu.
‘Jeneral’ PN dan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa diduga mengumumkan keputusan tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir – yang terletak di Parlimen Ledang – pada pilihan raya negeri kali ini.
Meskipun bekas Perdana Menteri itu memberi alasan keputusan sedemikian dibuat bagi membolehkan lebih ramai calon muka baharu ditampilkan parti itu, masih terdapat 1001 persoalan yang belum terjawab.
Hal ini kerana PRN Johor seharusnya menjadi pentas Muhyiddin untuk menunjukkan kekuatan pengaruh beliau dalam membantu kemenangan Bersatu dan PN.
Lebih-lebih lagi beliau merupakan salah seorang tokoh anak bangsa Johor yang begitu lama menabur bakti dan berjasa kepada negeri itu, termasuk pernah menjadi Menteri Besar bagi tempoh 11 tahun.
Ditambah pula slogan ‘Abah Sayang Melaka’ yang digunakan secara agresif pada PRN Melaka sedikit sebanyak membantu kempen PN di negeri itu sehingga membolehkan Bersatu mengekalkan dua kerusi DUN.
STRATEGI DI KAMPUNG HALAMAN
Seharusnya kempen dan strategi sama wajar diperhebatkan di kampung halaman Muhyiddin atau lebih dikenali ‘Abah’ sendiri di Johor bagi memaksimumkan peluang kemenangan PN dan Bersatu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menang di DUN Gambir selepas memperoleh majoriti 3,088 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan serta calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
Justeru, apakah faktor sebenar Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu mengambil keputusan ‘besar’ berkenaan pada saat Bersatu dan PN Johor mendahagakan karisma dan pengalaman beliau untuk dijadikan sebagai salah seorang calon ‘heavyweight’ PRN?
Beberapa pemerhati politik berpandangan keputusan Muhyiddin itu adalah refleksi kepada ketidaksediaan jentera PN dan Bersatu untuk menghadapi PRN Johor, lebih-lebih lagi pada saat mereka masih ‘trauma’ dengan kekalahan pada PRN Melaka tempoh hari.
Selain itu, pucuk kepimpinan Bersatu juga menyedari sekiranya Muhyiddin dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi DUN Gambir pada PRN Johor, kekalahan beliau kelak akan memberi isyarat tidak baik kepada masa hadapan parti itu dan PN menjelang PRU15.
“PN dan Bersatu menyedari UMNO dan BN bukan sahaja mahu menang besar pada PRN Johor, bahkan mereka mahu menjadikannya platform untuk memalukan Muhyiddin dan menghapuskan PN dan Bersatu sebelum PRU15.
“Dengan Bersatu menyedari mereka tidak cukup kekuatan dan calon berkualiti untuk menghadapi PRN, strategi terakhir boleh dilakukan adalah meminimumkan impak kekalahan dengan tidak memperjudikan nasib Presiden parti mereka sendiri,” kata pemimpin kanan Bersatu yang enggan dikenali kepada Sinar Premium pada Rabu.
PRN Johor: Muhyiddin umum enggan pertahan kerusi N.9 Bukit Gambir
FAKTOR MIC
Bagaimanapun, faktor lebih spesifik didakwa menyebabkan Muhyiddin mengubah fikiran daripada mempertahankan kerusi DUN Gambir adalah disebabkan UMNO berkemungkinan besar akan mengadakan pertukaran kerusi DUN dengan MIC demi bertanding di kerusi berkenaan.
Perkara itu turut diakui oleh sumber pemimpin muda UMNO Johor yang mendakwa satu rundingan sudah dijalankan di antara UMNO dan MIC bagi membolehkan pertukaran kerusi DUN Gambir milik MIC sebelum ini diserahkan kepada calon UMNO, manakala DUN Tangkak milik UMNO diberikan kepada calon MIC.
“Proses rundingan itu difahamkan sudah dimuktamadkan. Memandangkan perkara itu berkemungkinan sudah diketahui Bersatu, Muhyiddin sudah berbelah bahagi untuk bertanding mempertahankan kerusi berkenaan.
“Saya fikir Muhyiddin dan Bersatu percaya sekiranya DUN Gambir masih menampilkan calon MIC, beliau masih mampu menang. Tetapi jika lawan beliau adalah calon UMNO, peluang itu menjadi lebih sukar kerana sokongan pengundi Melayu kepada UMNO kini semakin utuh,” ujar sumber pemimpin muda UMNO Johor berkenaan.
Spekulasi pertukaran kerusi DUN Gambir di antara UMNO dan MIC seolah-olah tidak dinafikan Ketua UMNO bahagian Ledang, Datuk Ir Hamim Samuri meskipun beliau kemudiannya beranggapan perkara itu hanyalah ‘khabar angin’.
Bercakap dengan Sinar Premium, Ir Hamim mengakui pihaknya amat berharap kerusi DUN Gambir akan diserahkan MIC kepada UMNO demi mengukuhkan peluang kemenangan BN.
Jelas beliau, pada saat ini, perkara itu adalah tertakluk kepada perbincangan di antara pucuk kepimpinan UMNO dan MIC di peringkat negeri dan Pusat.
“Kalau jadi realiti pun, kami berharap tiada kerusi lain di Parlimen Ledang yang akan dijadikan platform pertukaran kerusi DUN dengan MIC.
“Hal ini kerana sekiranya DUN Gambir diberikan kembali kepada UMNO, saya yakin UMNO bahagian Ledang mampu menyapu bersih ketiga-tiga kerusi DUN di Parlimen Ledang termasuk DUN Serom dan Tangkak.
“Paling penting, sekiranya perkara itu dibincangkan, ‘no swapping’ (kerusi DUN di Parlimen Ledang),” tegas beliau kepada Sinar Premium.
Sementara itu, Setiausaha UMNO Johor, Samsulbari Jamali sewaktu dihubungi hanya memaklumkan sebarang perbincangan mengenai cadangan pertukaran kerusi DUN Gambir di antara MIC dan UMNO masih belum diputuskan lagi.
Baca Artikel Menarik:
- Erra sedia terima bukan Melayu sebagai jodoh
- Zuhdi gesa segerakan PRU
- Pas usahlah berdolak-dalik, berterus teranglah…MN atau PN!
- Mokhtar Senik kembali dengan kecaman bertalu-talu kepada UMNO
- Lebih baik BN tanding PRN Johor secara solo – penganalisis
- Tak marahlah, Atu cuma bergurau jadi klon saya – Anuar Zain
- Afdlin bakal bertanding di Dun Johor?
- PRNJohor: PAS sedia bekerja dengan PH tapi bersyarat – Idris
- PRN Johor: Tewas 39 kerusi kepada Umno, apa logik PAS mahu tuntut lebih?
- PRNJohor: PAS tolak tawaran UMNO, mahu bersama PN
- Tanah mendap: 17 premis diarah henti sementara operasi [VIDEO]
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.