Tiada sebab untuk tergesa-gesa dalam rayuan akhir SRC Najib – Shafee



Tiada sebab untuk tergesa-gesa dalam rayuan akhir SRC Najib – Shafee

Rayuan akhir Najib Razak untuk membatalkan sabitan terhadap kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd tidak harus dibuat tergesa-gesa kerana dokumen kritikal dalam bahasa Malaysia perlu diterjemahkan untuk memberi taklimat kepada Queen’s Counsel (QC) dari London, kata peguam Muhammad Shafee Abdullah. .

Peguam bekas Perdana Menteri itu berkata, rayuan itu melibatkan isu undang-undang yang kompleks.

“Perayu (Najib) memerlukan nasihat dan kepakaran daripada QC yang berpengalaman,” katanya dalam surat yang ditujukan kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang dilihat FMT.

Beliau berkata Najib memerlukan masa selepas menerima rekod rayuan, untuk membekalkannya kepada QC di London.




“Kecuali penghakiman penuh yang dibuat di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, lain-lain dokumen adalah dalam Bahasa Malaysia dan semua dokumen ini perlu diterjemahkan sebelum sesalinannya diserahkan kepada QC untuk diteliti dan bagi memudahkan pihak kami untuk menjelaskan kepada QC,” katanya

Shafee berkata penetapan tarikh awal untuk mendengar rayuan itu, sangat prejudis terhadap Najib, memandangkan ini merupakan rayuan terakhirnya.

“Perayu merasakan rayuannya seolah-olah dipercepatkan tanpa alasan munasabah. Persepsi (masyarakat) adalah amat penting bagi imej kehakiman,” kata Shafee.

Semasa pengurusan kes menetapkan tarikh pendengaran rayuan untuk mengemukakan bukti tambahan dan rayuan untuk membatalkan sabitan semalam, Shafee memaklumkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa bahawa anak guamnya berhasrat mendapatkan perkhidmatan QC.

Shafee berkata beliau akan menulis secara rasmi hari ini untuk menyatakan mengapa Najib memerlukan kepakaran undang-undang asing.




QC, dikatakan pakar dalam bidang undang-undang tertentu, hanya boleh hadir di mahkamah Malaysia secara ad hoc selepas dibenarkan masuk.

Badan Peguam dan Jabatan Peguam Negara boleh menyokong atau membantah sekiranya Najib membuat permohonan sedemikian.

Tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan yang sewajarnya berikutan cadangan untuk membawa peguam asing itu.

Satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada hari Jumaat untuk menentukan langkah seterusnya untuk rayuan.

Bagaimanapun, Siti Hajar menetapkan 15 dan 16 Mac untuk mendengar rayuan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan SRC.




Pada 7 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan keterangan baharu dengan menyatakan bahawa beliau tidak memenuhi empat elemen ketat yang diperlukan bawah undang-undang.

Keesokannya, mahkamah sama mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyelewengkan RM42 juta dana SRC itu.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Karim berkata, hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak terkhilaf sehingga memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan. FMT

Tiada sebab untuk tergesa-gesa dalam rayuan akhir SRC Najib – Shafee





Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Nabila Huda dituntut bayar ganti rugi RM900,000 dan mohon maaf dalam 7 hari

Kata dua Aaron Aziz kepada Aliff Aziz

Pendayung solo rentas Atlantik maut di tengah laut [VIDEO]



Leave a Reply

Your email address will not be published.