PRNJohor: Pertimbang kerjasama PH dengan PN – Mazlan



PRNJohor: Pertimbang kerjasama PH dengan PN – Mazlan

Kerjasama blok pembangkang perlu diperluaskan kepada parti dalam Perikatan Nasional, jika Pakatan Harapan (PH) mahu menundukkan Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata bekas Ahli Jawatankuasa Amanah, Mazlan Aliman.

Beliau berkata, PH perlu memikirkan kerjasama lebih luas berbanding hanya melihat kepada parti pembangkang seperti Pejuang, Warisan dan MUDA.

Katanya, jika PH yang dianggotai PKR, Amanah, DAP dan UPKO dalam status quo ketika PRN Johor seperti PRN Melaka dan Sarawak, ia ibarat “serah tengkuk” kepada BN.

“PH dan parti pembangkang mesti berjiwa besar dan melupakan persengketaan demi kepentingan rakyat yang terasa dikhianati dengan mandat diberikan.




“Memang tidak mudah bila diingati ‘Langkah Sheraton’ yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH di persekutuan dan negeri-negeri. Ia amat pahit dan tragis,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Majlis Presiden PH menyuarakan hasrat untuk bergabung dengan parti pembangkang lain yang mahu bertanding dalam PRN Johor untuk bersama di bawah satu khemah besar.

Mazlan berkata, khemah besar itu juga bagi menidakkan hasrat Umno meraih kemenangan besar dalam PRN Johor, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15.

“Umno sendiri telah membuat kenyataan angkuh dengan yakin untuk menang besar meskipun bersendirian dalam PRN Johor. Ia akan membuka laluan untuk PRU15 dan dengan andaian menang majoriti 2/3 demi melaksanakan agenda mereka.

“Adakah PH dan rakyat pada keseluruhannya ingin kembali ke episod kleptokrasi seperti dahulu?” soalnya.




“Bayangkan, bukan sahaja PH boleh bekerjasama dengan Warisan, Pejuang, MUDA; tetapi juga dengan Bersatu dan PAS, membentuk pakatan terbesar. Ia gambaran sebenar Keluarga Malaysia,” katanya merujuk slogan dilaungkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keangkuhan Umno dapat dilihat selepas tindakan parti itu meminggirkan PAS dan Bersatu yang turut berada dalam kerajaan Johor ketika rundingan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baru-baru ini.

“Seolah-olah keberadaan mereka tidak dirai dan dihargai Umno,”

Hati-hati pilih strategi

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim beranggapan strategi khemah besar yang mula dilaungkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin DAP hanya akan memudaratkan PKR serta PH.




Pemimpin PKR itu memberi amaran kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim supaya lebih berhati-hati memilih strategi dalam menghadapi PRN Johor.

“Saya tidak mengkritik, tetapi hanya menasihati sahaja supaya Anwar berhati-hati kali ini. Saya amat ngeri membayangkan PKR dan PH kalah dalam PRN Johor kerana strategi yang salah.

“Pertanyaan saya sebagai seorang anggota PKR yang minta Anwar fikirkan ialah adakah PH dengan strategi ‘khemah besar’ itu akan menguntungkan PKR?” soalnya dalam kenyataan bertajuk “Menjelang PRN Johor, Warkah untuk Anwar Ibrahim”.

Di sebalik kegusaran itu, bekas Pengerusi PKR Johor itu yakin Umno dan BN mampu ditumbangkan, sekiranya PKR menjadi tulang belakang kepada PH untuk memenangi PRN Johor.

“Saya percaya Umno dan BN boleh dikalahkan dalam PRN Johor ini. Dengan PKR yang memimpin PH dan menjadi tulang belakang, disertakan strategi yang betul, kita boleh mengulangi kejayaan kita pada PRU14 lalu, iaitu menewaskan Umno/BN di Johor dan mengambil alih kerajaan pusat di Putrajaya.” FMT




PRNJohor: Pertimbang kerjasama PH dengan PN – Mazlan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Nabila Huda dituntut bayar ganti rugi RM900,000 dan mohon maaf dalam 7 hari

Kata dua Aaron Aziz kepada Aliff Aziz

Pendayung solo rentas Atlantik maut di tengah laut [VIDEO]



Leave a Reply

Your email address will not be published.