Guru aktif berpolitik akan cetus suasana tegang



Guru aktif berpolitik akan cetus suasana tegang

Langkah membenarkan guru bergiat aktif dalam politik mungkin menjadi “resipi” bencana kerana ia berkemungkinan menimbulkan suasana tegang di sekolah, menurut pemerhati.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan guru-guru bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dibenarkan terlibat dalam politik, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau turut menggesa KPM agar mengeluarkan pekeliling berhubung perkara itu secepat mungkin.

Penganalisis Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Azmi Hassan berkata, membenarkan guru mengambil bahagian dalam politik secara aktif akan memberi kesan kepada pilihan politik guru kerana mereka membentuk 30% daripada kakitangan kerajaan.




“Secara kolektif, guru adalah kumpulan pengundi kritikal yang boleh mempengaruhi pendapat politik penjawat awam semasa pilihan raya, kerana mereka membentuk blok besar,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau bimbang jika mereka dibenarkan menyertai politik, hubungan akan menjadi tegang sesama mereka ekoran perbezaan ideologi.

Beliau berkata, guru yang aktif berpolitik akan membincangkan pandangan mereka secara terbuka dengan murid, secara sengaja atau sebaliknya. Ini kemudiannya akan mempengaruhi murid, seterusnya mencetuskan situasi “tidak sihat”.

“(Senario) ini membuatkan saya berat hati memberi ‘cek kosong’ kepada guru-guru untuk secara terbuka menyertai politik,” kata Azmi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut mempersoalkan langkah itu, menuntut Ismail dan Menteri Pendidikan Radzi Jidin memberi penjelasan.




Bercakap kepada FMT, Ahli Parlimen PKR itu tertanya-tanya sama ada langkah itu dibuat demi kepentingan beberapa parti politik, dengan mengorbankan parti lain.

Beliau yang bersetuju dengan pandangan Azmi berkata, ini mungkin mengakibatkan limpahan sentimen politik dalam kalangan guru dan pelajar.

Beliau turut mengemukakan beberapa persoalan, berdasarkan senario hipotetikal yang perlu dipertimbangkan secara serius.

“Bagaimanakah dinamik di sekolah apabila anda mempunyai kerajaan persekutuan yang dibentuk oleh Pakatan Harapan (PH) dan guru-guru yang menganggotai Umno?

“Jika guru besar adalah ketua cawangan parti pemerintah, adakah itu akan menimbulkan tekanan dalam kalangan guru untuk menyelaraskan diri mereka secara politik dengan guru besar?”




Fahmi juga mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen pembangkang, yang pada masa ini dilarang melawat sekolah di kawasan mereka, akan dibenarkan berbuat demikian sekarang kerana guru juga boleh menyertai parti pembangkang.

Katanya, Perdana Menteri membuat keputusan ini secara unilateral tanpa berunding dengan pemimpin pembangkang.

Beliau menyeru jawatankuasa pandu bagi memorandum persefahaman (MoU) mengenai kestabilan politik agar membincangkan keputusan ini kerana langkah membenarkan guru terlibat dalam politik tidak pernah dicadangkan kepada parti pembangkang.

Sementara itu, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) membidas keputusan itu kerana berpendapat, ia tidak menyumbang kepada kebaikan kanak-kanak dan sistem pendidikan.

“Guru yang terlibat dalam politik tidak akan menjadikan anak-anak kita sebagai keutamaan. Masa mereka untuk mengajar dan memberi perhatian kepada kelas akan tambah berkurangan.




“Kanak-kanak di sekolah perlu lebih banyak perhatian dan campur tangan,” kata PAGE kepada FMT, dengan menegaskan bahawa politik tiada tempat di sekolah. FMT

Guru aktif berpolitik akan cetus suasana tegang


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Kronologi Kes Perceraian Shila Amzah & Suami Yang Mengejutkan Orang Ramai

Nora Danish dituduh lakukan syirik

Rakan taja majlis resepsi Heliza dan Mahadi



Leave a Reply

Your email address will not be published.