Nasi Lemak Janda Norfarah Ain, bakal membuka beberapa cawangan



Nasi Lemak Janda Norfarah Ain, bakal membuka beberapa cawangan

PERNIAGAAN dan pemasaran adalah dua bidang yang boleh dikatakan berkait rapat antara satu sama lain. Jika dibuat dengan betul, ia pasti mendatangkan hasil luar jangkaan bagi seorang peniaga.

Berbekalkan pengalaman yang dimiliki dalam kedua-dua bidang tersebut, Norfarah Ain Abd. Hamid memilih untuk memulakan perniagaan yang dinamakan Nasi Lemak Janda.

Menurut wanita berusia 33 tahun itu, bergelar peniaga nasi lemak tidak pernah terlintas di fikirannya, namun baginya ia tidak mengejutkan.

Jelasnya, dia sendiri biasa dalam dunia perniagaan kerana pernah terlibat dalam bidang tersebut seawal 2009 sehingga 2019.




“Ketika itu saya berniaga pakaian, jadi dalam tempoh kira-kira 10 tahun itu, banyak yang dipelajari, termasuk teknik-teknik berniaga serta pemasaran ataupun pengiklanan.

“Jadi, berbekal pengalaman yang ada itu, saya memulakan Nasi Lemak Janda di Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur pada 2019,” katanya kepada Aura baru- baru ini.
arah Ain berkata, dia memilih berniaga nasi lemak kerana ia mudah untuk disediakan serta merupakan makanan kegemaran rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak memandang ringan penyediaan nasi lemak kerana menjadi identiti perniagaannya.

“Sebelum memulakan perniagaan, saya belajar daripada emak, Norizan Mohd. Yusoff, 58, kerana dia mempunyai pengalaman dalam bidang masakan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu membebankan pelanggan dengan harga mahal kerana nasi lemak baginya adalah makanan yang sepatutnya boleh diperoleh dengan murah.





NORFARAH AIN (kiri) bersyukur kerana perniagaan nasi lemak yang diusahakannya mendapat sambutan daripada pelanggan.

Disebabkan itu, katanya, harga bagi sebungkus nasi lemak yang dijualnya adalah RM2.

“Bagaimanapun, kami turut menawarkan lebih daripada 10 lauk sebagai sampingan untuk pilihan pelanggan, antaranya sambal sotong, kerang, paru dan daging rendang,” katanya.

Menurutnya, ada pelanggan sanggup menghabiskan hampir RM20 bagi sebungkus nasi lemak yang ditambah dengan lauk itu.

Berkenaan tagline perniagaannya iaitu Lain Janda Lain Rasa, dia berkata, tiada apa yang perlu dimalukan kerana ia dapat meraih perhatian orang ramai.




Katanya, ia terbukti benar kerana perniagaannya pernah tular pada Oktober tahun lalu, sekali gus menyebabkan jenama itu mula dikenali.

“Pada mulanya memang susah nak dapatkan pelanggan. Dalam sehari, saya hanya menjual sekitar 2 kilogram (kg) nasi lemak dan untung bersih diperoleh RM20 sahaja.

“Namun, setelah tular, jumlah pelanggan meningkat mendadak. Daripada 2kg sehari, kini dapat jual sekitar 40 hingga 50kg nasi lemak. Lebih 300 bungkus dijual sehari,” katanya.

Pada masa sama ujarnya, lokasi perniagaannya turut memberi cabaran kepadanya memandangkan terletak di kawasan berbukit.

“Pernah satu ketika, seperiuk sambal nasi lemak terjatuh ke tanah sebelum sempat memulakan perniagaan. Saya bersyukur kerana pelanggan tetap memberikan sokongan dan membeli nasi lemak,” katanya.




Mengakui nama nasi lemak itu dikaitkan dengan dirinya, wanita itu mahu wanita senasib dengannya untuk terus mempunyai keyakinan diri.

“Ya, Nasi Lemak Janda itu bermaksud saya sendiri yang merupakan seorang ibu tunggal.

“Saya mahu wanita di luar sana yang senasib agar yakin terhadap diri untuk meneruskan perjalanan hidup.

“Jangan ada rasa putus asa. Tidak kisah atas sebab apa sekalipun sama ada bergelar ibu tunggal, bercerai atau kematian pasangan, pasti ia memberikan tekanan emosi termasuk stres memikirkan bebanan kewangan terpaksa diharungi sendirian.

“Sehebat mana pun wanita, pasti terkesan apabila terpaksa menanggung beban dan tanggungjawab membesarkan anak-anak berseorangan,” jelasnya.

Menurut Norfarah Ain, dia bercadang untuk melebarkan sayap perniagaannya satu hari nanti dan kini dalam perancangan untuk menyewa sebuah premis di kawasan berdekatan.

Bagi memudahkan pelanggan mendapatkan nasi lemak tersebut, perkhidmatan penghantaran makanan disediakan menerusi FoodPanda, GrabFood, Lalamove dan ShopeeFood.

Orang ramai yang ingin menghubunginya bagi mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook Fara Ain dan Instagram miss_faraain. K Online

Nasi Lemak Janda Norfarah Ain, bakal membuka beberapa cawangan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Nabila Huda bakal berdepan tindakan saman

Zul Ariffin buka mulut tentang hubungan dengan Sabrina

Cerai, hilang datuk dalam sehari



Leave a Reply

Your email address will not be published.