PAS nafikan parti sedang berpecah

SHAH ALAM – Pas menyangkal dakwaan wujud perselisihan antara bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dengan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membawa kepada pemecatan jawatan dalam parti berkenaan.

Malah Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad turut menjelaskan tuduhan bahawa parti tersebut berada di ambang perpecahan juga tidak benar.

Menurutnya, perpaduan dalam parti berkenaan pada ketika ini berada dalam keadaan baik.

“Kita ok semua, tidak ada apa-apa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.



Pengguguran Mohd Khairuddin sebagai AJK Pas pada Jumaat lalu telah mencetuskan spekulasi kemungkinan wujudnya perpecahan dalam parti tersebut khususnya berkaitan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Mohd Khairuddin merupakan antara pemimpin Pas yang dilihat mempunyai kecenderungan terhadap usaha mengukuhkan hubungan bersama UMNO melalui MN berbanding kerjasama dengan PN.

Malah, beliau melalui hantaran di Facebook pada hari pemecatannya turut mengingatkan bahawa hukum untuk mengusahakan perpaduan antara Pas dan UMNO dari segi syarak wajib dan bukannya sunat.

Dalam pada itu, Idris yang juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, setakat ini pendirian kepimpinan Pas Pusat berhubung kerjasama bersama PN dan MN adalah seiring dengan Majlis Syura Ulama.



Pas menyangkal dakwaan­ wujud perselisihan antara dua pemimpin. Gambar kecil dari kiri: Razman, Mahfodz, Khairil Nizam

Majlis Syura Ulama Pas pada 30 Disember lalu menegaskan kepentingan memperkasa MN dan PN yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Keputusan itu dilihat menjejaskan hubungan Pas bersama UMNO dalam MN kerana parti terbesar orang Melayu itu telah membuat ketetapan bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Turut menafikan spekulasi perpecahan ekoran daripada pemecatan Mohd Khairuddin ialah Ketua Penerangan Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin.

Beliau bagaimanapun memaklumkan tidak dapat berkongsikan mengenai punca yang menyebabkan berlakunya pemecatan tersebut.



Sementara itu, Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, beliau tidak dapat memberikan sebarang komen mengenai isu pemecatan tersebut kerana ia baru berlaku.

“Buat masa ini, saya tidak dapat beri komen kerana benda itu baru nak diuruskan. Jadi, mungkin dua tiga hari nanti baru boleh diselesaikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, di sebalik pemecatan yang berlaku itu, hubungan dalam parti khususnya di peringkat negeri masih berjalan seperti biasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semanggol, Perak berkata, tiada sebarang pertentangan pendapat dalam kalangan akar umbi di negeri tersebut berkaitan kerjasama parti itu dalam MN dan PN.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Takiyuddin melompat! Khairuddin dicabar buat dakwaan dipecat kerana MN

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker