Utamakan fakta berbanding persepsi

KONTROVERSI yang melanda Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki beberapa minggu ini bukanlah sesuatu yang terlalu luar biasa dan aneh.

Mereka yang memegang kuasa sebesar itu pasti akan berdepan ujian, sama ada tawaran kemewahan atau boleh juga berdepan tohmahan mereka yang terkesan dengan siasatan SPRM.

SPRM sebenarnya mempunyai sejarah penuh berliku dan panjang dalam mengekang perbuatan jenayah. Pada awalnya, urusan pencegahan rasuah berada di bawah tanggungjawab pihak polis dengan dibantu sebuah unit kecil di Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara.

Seiring kemajuan negara, kerajaan berpandangan perlunya satu badan khusus mengendalikan kes-kes jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Justeru, kerajaan menubuhkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 Oktober 1967 sebelum ditukar kepada Biro Siasatan Negara pada 1973.

Penambahbaikan kemudian dilakukan yang mencerminkan kesungguhan kerajaan membanteras rasuah dengan meluluskan Akta Badan Pencegah Rasuah 1982.

Perubahan itu memartabatkan peranan BPR sebagai entiti tunggal dipertanggungjawabkan khusus untuk mencegah jenayah rasuah. Sehingga awal 1990-an, BPR adalah antara agensi pencegahan rasuah dikagumi di rantau ini.

Pada 1997, Parlimen telah meluluskan Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi memperkasakan peranan BPR sebagai agensi penguat kuasa pencegahan rasuah negara.

Namun, pada akhir 1990-an dan awal alaf baharu, imej BPR tercemar teruk dengan dakwaan campur tangan politik. Mereka terseret dalam perbalahan politik antara Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 1996-1998.

Pemecatan Anwar dan terseretnya nama bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafie Yahya menyebabkan syak wasangka rakyat sangat meluas.

Rentetan pelbagai isu politik membabitkan BPR sehingga pertengahan 2000, terdapat desakan kuat agar BPR diangkat sebagai sebuah suruhanjaya. Pada 2008, Parlimen telah bersetuju SPRM diwujudkan bagi menggantikan BPR.

Namun, SPRM juga tidak lari daripada kontroversi, bermula dengan kematian Teoh Beng Hock, siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehinggalah kepada pen-dakwaan Lim Guan Eng.

Tidak ada Ketua Pesuruhjaya SPRM yang tidak berdepan kontroversi dan tohmahan. Menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM adalah jalan mudah kepada penjenayah korupsi melepaskan diri. Ia adalah jalan perlu dihadapi Azam.

Di sebalik kecaman dan tuntutan ‘memenggal’ kedudukan Azam, fakta untuk menjustifikasikan pemenggalan jawatan itu sukar dirasionalkan.

Azam dituduh rasuah kerana memiliki dan melupuskan jutaan unit saham antara 2015 dan 2016. Malangnya jutaan unit itu dibesarkan berbanding nilai saham dalam akaun beliau hanya sekitar ratusan ribu ringgit.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, harga saham itu jika dibeli Azam sendiri pun tidak seharusnya menimbulkan keraguan ada unsur rasuah.

Menurut Wan Junaidi, saham itu dibeli pada 2016 dengan harga RM330,000 bagi sejuta saham atau kira-kira 30 sen hingga 33 sen sesaham. Ia juga pembelian secara beberapa kali, bukannya sekali gus.

Sudah tentu jawapan Azam bahawa adik beliau menggunakan akaun saham tersebut tidak mendapat respons baik daripada sebahagian rakyat.

Namun, sama ada akaun itu digunakan Azam atau adiknya, fakta yang ada bukanlah sesuatu yang mencurigakan dan mewah untuk disyaki mempunyai unsur rasuah.

Jika rasuah yang menjadi persoalan, maka kedudukan Azam sebagai Timbalan dan kemudiannya Ketua Pesuruhjaya SPRM tentulah bernilai lebih besar daripada isu ratusan ribu saham enam tahun lalu.

Jadi, dalam usaha kita membanteras korupsi termasuk dalam SPRM, kita tidak harus mengutamakan persepsi berbanding fakta.

Jika kita mengutamakan persepsi, akhirnya ramai orang yang baik akan tersingkir kerana kalah permainan media sosial.

Jalan terbaik – benarkan proses penyiasatan dan perundangan berjalan terlebih dahulu sebelum kita menuntut ‘kepala’ sesiapa pun.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Utamakan fakta berbanding persepsi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rupa-rupanya Kamal Adli

Resepi Crab Rangoon Viral Gila

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker