Banana Cake Adik Manis, semakin laris

Banana Cake Adik Manis, semakin laris

MINAT ibunya kepada kek pisang bersaiz kecil yang lazimnya dijual di kampung-kampung semasa zaman remaja berpuluh tahun lalu mendorong anak muda ini untuk berbuat sesuatu.

Mesra disapa sebagai Intan, anak muda kelahiran Kuala Lumpur dan dibesarkan di Kelantan ini mencabar dirinya untuk mengembalikan semula warisan kek pisang tersebut.


SOKONGAN dan dorongan kedua orang tua memberi inspirasi dan suntikan buat Intan untuk terus berdaya maju dalam perniagaan kek pisang berjenama Adik Manis yang diusahakan.

Kata Intan atau nama sebenarnya Intan Shamiera Abdul Karim, dia bukanlah sejenis penggemar kek pisang namun sering kali diminta ibunya untuk berbuat demikian.

“Ibu saya ini memang ‘hantu’ kek pisang. Dahulu kalau di Kelantan, senang nak jumpa kek pisang yang dijual dengan saiz kecil dan tidak jemu dimakan.

“Jadi, lama-kelamaan dah makin tak ramai orang jual kek saiz begitu. Kalau ada sekarang ni pun semua yang besar dan standard seperti di kebanyakan kedai,” katanya.

Meneruskan cerita, Intan Shamiera 22, berkata, dia sering kali diminta ibunya untuk membuat kek pisang dan sanggup mengeluarkan modal untuk membeli bahan-bahan utama memandangkan minatnya yang suka memasak.

Menuruti permintaan ibunya, dia cuba perlahan-lahan membuat kek pisang seperti yang dimahu ibunya itu tanpa sekali pun wujud rasa jemu.

“Jujur banyak kali saya cuba tapi tak pernah jadi. Saya sendiri pelik. Kek jadi bantatlah, pisang terlebihlah dan ada je masalah.

“Boleh dikatakan lebih 100 kali saya try and error hanya untuk kek pisang dan akhirnya rasa sama seperti apa yang ibu mahukan.

“Bila dah tahu apa rahsia dan resipinya, ibu terus minta saya buat lebih sedikit untuk diberikan kepada kawan-kawannya yang kebanyakannya bergelar guru.

“Jadi bermula dari situ, ramai puji kek pisang saya dan permintaan mula dapat sambutan. Dari 100 biji kepada 1,000 biji dan seterusnya. Ada juga yang pesan untuk dibuat doorgift dalam majlis-majlis tertentu,” katanya.

Cerita Intan yang baru sahaja bernikah, daripada sekadar memenuhi permintaan ibu dan suka-suka membakar kek, tidak sangka terus jadi perniagaan.


BARISAN staf yang sentiasa bertungkus-lumus membantu Intan dan perniagaan kek pisangnya.

Katanya, hampir setahun juga dia berniaga tanpa sijil sah dan sekadar di dalam kampung dan memenuhi kehendak terdekat sahaja.

“Tapi bila nampak perniagaan ini boleh pergi jauh, ibu pun minta saya daftar dengan cara yang sah dan bermula dari Mac tahun lalu, kami mulakan secara rasmi.

“Masuk minggu ini sudah tiga kali kami berpindah lot kedai. Daripada kedai bersaiz kecil hinggalah ke kedai yang sedikit selesa yang dapat memuatkan dapur yang dilengkapi ketuhar khas,” ujarnya.

Menutup bicara, Intan Shamiera memberitahu, selepas setahun berada di pasaran, kek pisang di bawah jenama Adik Manis terus berkembang dengan tiga pilihan perisa yang disukai ramai.

Lebih membanggakan, meskipun masih muda dan mentah dalam perniagaan, Intan berbangga kerana berjaya melahirkan lebih 500 ejen di seluruh negara di bawah perniagaannya. K Online

Banana Cake Adik Manis, semakin laris


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Suspek sah ditahan, mengaku terima arahan Mossad

Bongkah Batu Tiba-Tiba Runtuh Timpa Bot Pelancong Sebabkan 7 Terbunuh [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker