Buat pemilihan UMNO segera jika tidak mahu pisang berbuah dua kali

SHAH ALAM – UMNO digesa mempercepatkan proses pemilihan pucuk pimpinan tertinggi bagi penggal 2021 hingga 2024 yang kini ditangguhkan sehingga Disember 2022.

Tiada alasan lagi bagi UMNO untuk menangguhkan pemilihannya termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kerana mereka dikatakan sedang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Jadi ‘alang-alang menyelup pekasam biar sampai ke pangkal lengan’ dan tidak salah UMNO mempercepatkan proses demokrasi dan pemilihan pucuk pimpinan dalam parti itu terlebih dahulu sebelum menyerahkan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu menerusi PRU15 kelak.

Langkah mengadakan pemilihan UMNO lebih awal penting bagi membersihkan parti daripada pemimpin bermasalah dan dicemari dengan pelbagai skandal termasuk kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang sedang dibicarakan dibicarakan di mahkamah sekarang.

Penganalisis politik, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, UMNO perlu berbuat demikian bagi menyelesaikan krisis kepemimpinan dan membersihkan UMNO daripada pemimpin kluster mahkamah yang menjadi antara punca utama kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Zainal berkata, pemilihan juga dapat memastikan BN/UMNO tidak mengalami nasib sama dan kalah teruk atau dengan kata lain berdepan dengan situasi ‘pisang berbuah dua kali’ dalam PRU15, nanti.

“Isu pemilihan UMNO ini perlu diselesaikan segera jika tidak masalah dalaman parti akan berterusan sampai bila-bila dan menjejaskan persiapan mereka menghadapi PRU15.

“Masalah pemilihan UMNO adalah lebih penting dan mereka tidak perlu sibuk nak mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Premium.

Berikutan itu Zainal berkata, perkara paling penting dan perlu dilakukan UMNO sekarang adalah untuk membersihkan parti berkenaan daripada pemimpin terbabit dengan kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan atau kluster mahkamah.

Beliau percaya rakyat terutama pengundi muda akan kembali menyokong UMNO/BN kembali berkuasa selepas PRU-15 nanti.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO Bahagian Jelebu mencadangkan pemilihan UMNO bagi penggal 2021 hingga 2024 yang kini ditangguhkan sehingga Disember 2022 dapat dibuat dengan lebih awal sebelum PRU15.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, cadangan itu dipersetujui UMNO bahagian pada mesyuarat perwakilan bahagian yang diadakan pada hari ini.

Katanya, pemilihan UMNO lebih awal itu wajar bagi memastikan jentera UMNO di semua peringkat adalah jentera yang mendapat mandat baharu serta cukup bersedia bagi menghadapi PRU ke 15.

“Pemilihan UMNO perlu dibuat sekurang-kurangnya setahun sebelum PRU diadakan. Jika terdapat sebarang isu berbangkit, krisis atau masalah dalaman selepas pemilihan parti, ia dapat diselesaikan dengan lebih awal, berhemah dan teratur, ” katanya ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu, Simpang Pertang, Negeri Sembilan, baru-baru ini

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, adalah tidak sesuai, sekiranya PRU diadakan terlebih dahulu sebelum ia disusuli dengan pemilihan UMNO yang boleh menyebabkan UMNO dalam keadaan bermasalah.

Katanya pemilihan parti dalam keadaan waktu yang amat singkat boleh mendatangkan kesan kepada kepimpinan parti memandangkan PRU masih belum diketahui tarikhnya.

“Oleh itu UMNO wajar menilai dan membuat keputusan supaya pemilihan parti dibuat setahun sebelum PRU diadakan bagi memperkemaskan jentera di peringkat cawangan, bahagian dan pusat,” katanya.

Buat pemilihan UMNO segera jika tidak mahu pisang berbuah dua kali


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pelakon Indonesia, Cassandra Angelie kantoi melacur

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker