Kes melonjak 15,000 sehari jika umrah tak ditangguhkan – KJ

Sekiranya langkah pencegahan terhadap jemaah umrah tidak diambil, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan jumlah harian kes Covid-19 di negara ini akan melepasi tahap 15,000 antara Jan dan Feb ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata walaupun kesan jangkitan varian Omicron cenderung lebih ringan berbanding Delta, peningkatan kes akan membawa kepada peningkatan kadar kemasukan ke hospital.

Keadaan itu, kata Khairy, seterusnya membebankan sistem penjagaan kesihatan awam negara yang baru pulih daripada gelombang Covid-19 sebelum ini.



“Kami menjalankan simulasi untuk Omicron dan ramalannya jika kami tidak mengambil langkah pencegahan seperti penggantungan sementara umrah serta langkah kuarantin dan sebagainya, kita akan melihat kes melonjak sehingga lebih 15,000 kes sehari bermula Jan hingga Feb,” katanya.

Ahli parlimen Rembau itu berkata demikian semasa sidang media hari ini yang diadakan di parlimen dan disiarkan secara langsung secara dalam talian.

Tambah Khairy simulasi KKM menunjukkan jika kadar kebolehjangkitan (R-naught) untuk Omicron di Malaysia mencapai 1.6 – iaitu kira-kira separuh daripada apa yang dialami UK pada puncak gelombang Omicronnya – kes harian akan mencecah 30,000 sehari.

“Ya, setakat ini, kami mendapati varian Omicron adalah jangkitan yang lebih ringan berbanding dengan varian Delta.



“Tetapi apabila kes mencecah 30,000 sehari, walaupun kebanyakannya adalah kategori 1 atau 2, kadar kemasukan ke hospital kami akan meningkat dan sistem penjagaan kesihatan kita baru mula pulih,” katanya.

Tak dikesan di Saudi

Menurut Khairy setakat 30 Okt 2021, hospital kerajaan di seluruh negara masih mempunyai tunggakan sebanyak 52,189 kes untuk rawatan elektif, dengan 47,828 adalah berasaskan pembedahan dan 4,361 kes berasaskan perubatan.

Kenyataan itu merujuk kepada kes bukan Covid yang rawatannya terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada kemasukan ke hospital Covid-19 yang luar biasa semasa gelombang ketiga tahun lepas.



Khairy berkata KKM cuba mengurangkan tunggakan berkenaan dengan menyalurkan beberapa kes ke hospital swasta serta membuka semula dewan bedah di hospital kerajaan secara berperingkat mulai Okt lalu.

Dia seterusnya mempertahankan keputusan kerajaan untuk menangguhkan sementara kebenaran mengerjakan umrah.

Katanya ujian saringan di Arab Saudi – yang diadakan dua hari sebelum jemaah umrah pulang ke Malaysia – nampaknya tidak cukup efektif untuk mengesan kes positif dalam kalangan mereka.

Hal itu kerana, katanya, terdapat bilangan kes positif yang tinggi ditemui dalam kalangan mereka yang pulang dari Arab Saudi apabila mereka diuji sebaik tiba di Malaysia, serta apabila menjalani ujian pada hari kelima kuarantin.



Antara 1 Dis 2021 dan 5 Jan 2022, tambahnya, terdapat 1,380 kes positif dikesan daripada ujian semasa ketibaan dalam kalangan jemaah umrah yang pulang, manakala 1,311 kes lagi didapati positif dari ujian hari kelima.

“Ini adalah mereka yang negatif dalam ujian praberlepas dan positif semasa ketibaan.

“Ini menunjukkan ujian praberlepas di Arab Saudi tidak dapat mengesan kes-kes ini dan jika kita tidak membuat keputusan untuk mengkuarantin jemaah umrah dan menangguhkan perjalaan umrah, maka kita akan melihat gelombang Omicron yang lebih teruk,” kata Khairy.

Ditanya jika Putrajaya akan mengenakan perintah kawalan pergerakan sekali lagi untuk memperlahankan penularan kes varian Omicron, Khairy menafikannya.



“Tidak, tidak, tidak, tidak, jangan sebut perkataan L (lockdown). Kami tidak menyebut perkataan L lagi.

“Kami tidak melihat PKP atau penutupan sempadan buat masa ini. Jika anda menutup pintu sempadan, anda akan mendapat sifar kes, tetapi apa harganya?” tambah Khairy.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Wanita dakwa jumpa Rasulullah alami bipolar disorder (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker