17 kes varian Omicron import libatkan individu tak divaksin

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati, daripada 117 kes Covid-19 varian Omicron di negara ini, sebanyak 17 daripada mereka tidak memiliki rekod vaksinasi.

Dapatan itu adalah setakat 4 Jan tahun ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata tindakan individu terbabit adalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana pihak berkuasa menetapkan hanya orang yang sudah menerima vaksin lengkap boleh melakukan perjalanan ke luar negara.

Daripada 17 kes itu, katanya, masing-masing empat baru pulang dari UK, Nigeria dan Emiriah Arab Bersatu dan satu dari Arab Saudi, AS, Australia, Ghana dan Ireland.

“Justeru KKM akan membincangkan isu ini dengan kementerian berkaitan agar ejen pelancongan terbabit mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya pada sidang media di parlimen dan disiarkan secara langsung secara dalam talian hari ini.

Sebelum ini KKM mengumumkan setakat 4 Jan lalu sebanyak 122 kes varian Omicron dikesan di negara ini dengan 117 merupakan kes import dan lima penularan tempatan.

Dalam sidang media hari ini Khairy menyatakan KKM mengesan 123 lagi kes varian Omicro sejak itu. Bermakna setakat hari ini, sudah ada 245 kes dikesan di negara ini.

Kedua tertinggi pulang dari Turki

Daripada jumlah itu sebanyak 233 kes adalah import manakala selebihnya penularan tempatan.

Kata Khairy, kira-kira 64 peratus (157 kes) varian Omicron itu membabitkan jemaah umrah yang pulang dari Tanah Suci.

Mengenai penggantungan sementara kebenaran mengerjakan umrah mulai 8 Jan ini, tambah ahli parlimen Rembau itu, KKM akan menjalankan penilaian risiko di dalam negara dan di Arab Saudi dari semasa ke semasa bagi memutuskan sama ada penggantungan itu akan dimansuhkan atau tidak.

Katanya KKM juga akan mengemas kini SOP sedia ada untuk jemaah umrah seperti mewajibkan suntikan penggalak, menambah baik pengurusan kes positif dan hubung rapat kontak di Arab Saudi serta mengukuhkan tanggungjawab agensi pelancongan dalam memastikan pelanggan mereka selamat.

Ditanya mengenai dakwaan berlaku amalan berat sebelah berhubung penggantungan izin mengerjakan umrah, Khairy berkata, sebahagian besar kes positif Covid-19 yang dikesan di pintu masuk antarabangsa pada minggu terakhir Dis tahun lepas membabitkan individu yang pulang dari Arab Saudi.

Daripada 1,842 kes positif yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada minggu terakhir 2021, katanya, 1,558 kes (58 peratus) adalah mereka yang pulang dari Arab Saudi.

Sebagai perbandingan, menurutnya, jumlah kedua tertinggi adalah mereka yang pulang dari Turki dengan 84 kes positif.

“Ini adalah data yang dibentangkan kepada kabinet dalam taklimat oleh Ketua Pengarah Kesihatan yang menunjukkan bahawa kes paling positif, tanpa mengira varian, yang kami kesan adalah mereka yang pulang dari Arab Saudi.

“Daripada kes itu, kebanyakan kes varian Omicron datang daripada mereka yang pulang dari umrah. Itu adalah fakta.

“Sebab itu KKM membuat keputusan untuk menangguhkan sementara umrah supaya dapat melambatkan penularan wabak Covid-19 terutama yang melibatkan varian Omicron,” katanya.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Wanita dakwa jumpa Rasulullah alami bipolar disorder (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker