Masa depan samar Muafakat Nasional
SELEPAS lebih setahun ditubuhkan, gagasan Muafakat Nasional (MN) kini ibarat ‘hidup segan mati tidak mahu’ kerana UMNO dan Pas dilihat sedang menjarakkan diri antara satu sama lain.
MN dikatakan sedang menghadapi cabaran besar dan mungkin ‘berkubur’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan sikap pemimpin UMNO dan Pas enggan mengalah serta mengetepikan ego dan kepentingan diri masing-masing.
Riak perpecahan dalam gagasan MN mula dapat dilihat apabila UMNO cuba bermain ‘silap mata’ dan dikatakan enggan mendaftarkan permuafakatannya dengan Pas secara rasmi walaupun di peringkat awal penubuhannya.
Sebelum ini, pemimpin kedua-dua parti begitu ghairah mendendangkan lagu, kononnya pembentukan MN amat penting bagi meningkatkan perpaduan dan penyatuan ummah serta masa depan orang Melayu dan Islam.
Namun, keadaannya semakin berbeza apabila Pas bertemu pula dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pas memilih untuk bersama Bersatu apatah lagi apabila Perikatan Nasional (PN) ketika itu mengusai kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Keadaan itu membolehkan beberapa pemimpin Pas termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat manakala beberapa pemimpin utamanya Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyertai kabinet.
Selepas merasai nikmatnya kuasa, pengaruh dan dana lebih stabil, Pas memilih menjadi parti lebih mesra PN dan Bersatu walaupun selepas UMNO memutuskan untuk menamatkan sokongan terhadap Muhyiddin.
Kemuncak pergeseran dan perpecahan dalam gagasan MN semakin ketara apabila UMNO dan Pas memilih untuk bertanding secara berasingan serta bertembung sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
Mendabik dada
Kejayaan BN menang besar pada PRN Melaka menyebabkan ramai pemimpin tertinggi UMNO melihat parti itu tidak lagi memerlukan Pas sebagai ‘kuda tunggangan’ untuk meraih kemenangan dan kembali menguasai Putrajaya pada PRU15.
Sesetengah pemimpin Pas pula melihat mereka sudah tidak perlukan UMNO kerana telah menemui ‘rakan gabungan baharu’ iaitu PN terutama yang lebih mesra dan bebas skandal.
UMNO pula dengan kemenangan besar dalam PRN Melaka kini melangkah mendabik dada apabila berasa parti itu kembali menjadi keramat bagi masyarakat Melayu.
Tidak hairanlah jika ramai dalam kalangan pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen lebih awal bagi memberi laluan kepada PRU15.
Selain itu, ramai pemimpin Pas sibuk mahu meletakkan syarat kepada UMNO bahawa mereka sedia kembali ke meja rundingan jika ‘suami baharunya’ iaitu Bersatu diundang menjadi sebahagian ‘Keluarga 69’ dalam MN.
Malah, Abdul Hadi dalam kenyataannya menegaskan Pas tidak boleh dikongkong oleh UMNO dengan mengehadkan kemasukan parti lain dalam MN.
Apa pun gagasan MN hanya sekadar cakap-cakap kosong dalam kalangan pemimpin UMNO dan Pas Pusat sahaja tetapi di peringkat negeri masih tiada kata sepakat atau perjanjian rasmi ditandatangani.
Perkara itu diakui sendiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang mengesahkan kerjasama antara Pas dan UMNO menerusi gagasan MN masih belum wujud secara rasmi di Kelantan sehingga hari ini.
Kesimpulannya, hubungan UMNO dan Pas dalam MN kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ hanya menunggu masa berkubur kerana sikap pentingkan diri sendiri dan enggan bertolak ansur antara pucuk pimpinan kedua-dua parti.
Adakah PRU15 akan menyaksikan UMNO dan Pas terus ‘berpisah’ atau kembali erat seperti sebelumnya? Mari kita nantikan.
Masa depan samar Muafakat Nasional
Baca Artikel Menarik:
- Kedai Percuma Pak Nil bantu mangsa banjir
- Kabinet 2022: Siapa Timbalan Perdana Menteri?
- Rider e-dagang mogok, dakwa kontrak baharu tidak adil
- Isteri kantoi curang 3 kali, suami lafaz talak depan anak
- Long Tiger Junior semakin ramai
- Ketegangan dalam Umno ekoran langkah kerajaan sekat pengeluaran KWSP
- Azlee Senario sebak, bagaikan tsunami saya melihatnya
- Mokhtar Senik dakwa ada arahan larang jemputnya
- Kes Mayat Reput: Tatu Bunga Mawar Warna Hitam Pada Punggung Mayat
- Al-kisah kambing dan PAS
- Emma Watson bersolidariti bersama Palestin
Layari Laman Facebook MYKMU.NET