Guna aplikasi mimik wajah pegawai polis helah terbaharu Macau Scam

KUALA LUMPUR – Sindiket Macau Scam dikesan menggunakan sebuah aplikasi untuk meniru mimik wajah pegawai polis menerusi panggilan video sebagai taktik terbaharu memperdaya mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sindiket terbabit menggunakan gambar pegawai polis beruniform dan menggunakan aplikasi tersebut untuk menghasilkan mimik wajah pada gambar tersebut seolah-olah sedang bercakap.

Menurutnya, beliau menerima laporan daripada seorang suri rumah warga tempatan berusia 40 tahun pada Isnin selepas mangsa terpedaya dengan helah licik sindiket berkenaan.

“Sindiket mengelirukan orang ramai dengan membuat panggilan video menggunakan aplikasi tersebut yang menampakkan kesahihan pemanggil seakan-akan orang sebenar.

“Sedangkan gambar telah diubah suai dengan menampakkan pergerakan mulut semata-mata dan gambar wajah yang disunting,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan menyamar sebagai agen insurans dan menelefon mangsa sebelum disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’.

“Melalui semakan maklumat peribadi pengadu dimaklumkan terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan mempunyai penglibatan rasuah.

“Pegawai polis tersebut telah membuat panggilan video dengan berpakaian uniform menggunakan aplikasi yang menampakkan pergerakan mulut yang bergerak seolah-olah macam orang sebenar mengelirukan pengadu,” katanya.

Katanya, helah licik pihak sindiket berkenaan telah memperdayakan orang ramai sehingga mengakibatkan kerugian

Menurutnya, pihak polis memandang serius kes melibatkan penggunaan gambar profil membabitkan anggota dan pegawai polis serta badan penguatkuasaan lain bertujuan untuk memperdaya orang ramai.

Tambahnya, sebagai langkah berjaga-jaga orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun bank di laman sesawang ccid.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat atau aktiviti yang mencurigakan melibatkan sindiket seperti ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222,” ujarnya.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


MKT UMNO akan tentuan tarikh baru PAU 2021

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker