Lim Kit Siang Tidak Akan Berani Batalkan MoU
Oleh Nurul Aishah
DAP dilihat semakin tidak relevan. Rekod terburuk Pakatan Harapan (PH) sejak kebelakangan ini merupakan penanda aras bahawa pakatan tersebut telah ditolak oleh rakyat.
Baru-baru ini,veteran DAP Lim Kit Siang mahu gabungan pembangkang itu memutuskan sama ada akan meneruskan MoU dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sekiranya beliau tidak menunaikan janjinya termasuk menggubal undang-undang untuk mengharamkan ‘katak politik’ di negara ini menjelang Mesyuarat Pertama Sesi Kelima Parlimen pada awal 2022.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu tidak layak mengugut kerajaan kerana PH dan DAP merekodkan kekalahan memalukan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.
Persoalannya, mengapa perlu bagi nyawa kepada PH yang kalah di Sarawak dan Melaka. MoU itu hanya persefahaman bukan perjanjian yang ada ‘legal binding’.
Untuk makluman, pada PRN Melaka, PH hanya memenangi lima daripada 28 kerusi yang ditandingi berbanding 15 kerusi yang dimenangi pada PRU14 sementara di Sarawak gabungan itu hanya menang dua kerusi menerusi tiket DAP manakala PKR dan Amanah tewas di semua kerusi yang ditandingi.
DAP dilihat cuba menjadi hero kononnya mahu mengugut kerajaan yang mereka akan membatalkan perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan sedangkan hakikatnya setiap wakil rakyat PH dijangka menerima peruntukan besar tahun depan di bawah kerangka perjanjian itu.
DAP tidak akan berani batalkan MoU dengan kerajaan kerana setiap wakil rakyat PH dijangka dapat peruntukan RM2.8 juta awal tahun 2022 di bawah MoU tersebut.
Menurut sumber, suku terakhir tahun ini sahaja wakil rakyat PH sudah menerima RM600,000 daripada kerajaan. Ia dimasukkan terus ke akaun pusat khidmat wakil rakyat.
“Lim Kit Siang tidak perlu sembang kari. Rakyat tidak akan percaya cakap Kit Siang. Sebab itu DAP kalah teruk di Melaka dan Sarawak. Di Melaka DAP mengalah bila PKR terima katak seperti Idris Haron (bekas ADUN Umno),” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi.