65,189 mohon Bantuan Khas Covid-19

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid memaklumkan sebanyak 65,189 permohonan Bantuan Khas Covid-19 diterima setakat 6 Disember lalu.

Menurut beliau, sebanyak 55,184 daripada permohonan Bantuan Khas Covid-19 itu sedang diproses, manakala 22,336 lagi sudah dilulus membabitkan bantuan sebanyak RM28.6 juta.

Kata beliau, bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 pula, sebanyak 11,816 permohonan diluluskan dengan jumlah bantuan RM56.8 juta.

“Tiada peruntukan khusus pada 2022 daripada kerajaan bagi bantuan ini kerana ia menggunakan Tabung Covid-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Tabung ini menerima sumbangan orang ramai, korporat, institusi diraja dan anggota pentadbiran,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) tentang statistik terkini permohonan dan kelulusan Bantuan Khas Covid-19.

Beliau juga ingin tahu tentang bantuan pengurusan COVID-19 bawah NADMA serta peruntukan kerajaan untuk dua bantuan itu bagi 2022.

Mastura menjelaskan, kerajaan akan menambah dana jika baki tabung Covid-19 NADMA tidak mencukupi untuk membuat bayaran andai terjadi gelombang Covid-19 seterusnya.

Jelas beliau, setakat ini kerajaan telah menyalurkan bantuan awal bagi Covid-19 sebanyak RM61 juta. – K! ONLINE

65,189 mohon Bantuan Khas Covid-19


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ustaz Ebit Liew dipanggil Prince Salman di Brazil

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker