Dukhan meliputi bumi
Dukhan meliputi bumi
oleh Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir
Beberapa hari ini kita digemparkan dengan letusan gunung berapi Semeru di Indonesia yang menyebabkan seluruh kawasan tersebut terjejas dan diliputi dengan asap yang tebal dalam tempoh yang cukup menggerunkan dan menakutkan.
Dalam keadaan dunia masih lagi dibelenggu dengan Covid-19, berita berkaitan letusan gunung berapi Semeru ini terus menjadi perhatian warga dunia. Asap yang membawa debu-debu yang berbahaya terus menerus tersebar dalam radius yang lebih besar.
Walaubagaimanapun, kepulan asap yang besar disebabkan gunung berapi ini adalah berbeza dengan asap (dukhan) yang merupakan salah satu daripada tanda kiamat besar.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih.” (Surah ad-Dhukan ayat 10 dan 11)
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menjelaskan ketika langit membawa kabut iaitu asap yang merupakan azab yang pedih meliputi seluruh manusia, perkara tersebut adalah sebagai ancaman dan memburuk-burukkan mereka.
Terdapat beberapa pandangan ulamak berkaitan kedudukan asap (dukhan) ini.
Pendapat Pertama:
Asap (dukhan) ini merupakan seksaan dan derita kelaparan yang menimpa kaum Quraisy pada waktu mereka didoakan oleh Nabi SAW ketika mereka tidak mahu memenuhi ajakan baginda. Lalu mereka melihat langit yang berkabut.
Pada saat tersebut, seorang lelaki dari Kindah membicarakan masalah kabut dan berkata: “Sesungguhnya asap Hari Kiamat itu akan datang lalu menutup pendengaran dan penglihatan orang munafiq.” Ibnu Mas’ud marah dan berkata: “Barang siapa yang tidak mengetahui hendaklah ia mengatakan: “Allahu a’lam (Allah yang lebih mengetahui). Perkara ini selari dengan konsep ‘aku tidak tahu’ sekiranya perkara tersebut di luar daripada bidang atau pengetahuan seseorang.
Allah berfirman maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), Aku tidak minta upah sedikit pun kepada kamu atas dakwahku dan bukanlah aku termasuk orang-orang yang mengada-ada.” (Surah Sad ayat 86)
Walaubagaimanapun, orang Quraisy tetap tidak mahu masuk Islam. Lalu Baginda Nabi SAW mendoakan mereka agar mendapat kesengsaraan: “Ya Allah, tolonglah aku menghadapi mereka dengan menimpakan kelaparan kepada mereka selama tujuh tahun seperti yang menimpa kaum Nabi Yusuf.” Lalu mereka ditimpa kelaparan sehingga menjadi bangsa yang binasa, memakan bangkai dan tulang dan melihat asap di antara langit dan bumi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pendapat kedua:
Asap (dukhan) ini termasuk dalam tanda-tanda kiamat yang belum lagi berlaku dan ditunggu-tunggu kedatangannya. Ibnu Jarir Ath-Thabari dan Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abdullah bin Abu Mulaikah, ia berkata aku pernah datang kepada Ibnu Abbas RA pada suatu hari lalu beliau berkata: “Semalam aku tidak tidur hingga pagi.” Aku bertanya, mengapa? Beliau menjawab: “Orang-orang mengatakan bahawa telah terbit bintang berekor, maka aku bimbang bahawa asap (dukhan) itu telah berada di depan pintu, maka aku tidak dapat tidur hingga pagi.” (Atsar ini diriwayatkan oleh al-Hakim)
Atsar ini adalah sahih daripada seorang yang mahir dalam al-Quran iaitu Ibnu Abbas. Padanya terdapat beberapa petunjuk agung iaitu perkaitan antara terbitnya bintang berekor dengan tanda asap yang dianggap salah satu daripada tanda kiamat.
Apabila disoroti melalui dua pandangan tersebut, asap (dukhan) ini adalah tanda kiamat besar yang belum lagi berlaku. Asap yang digambarkan sebagai (nyata dan jelas) memberi gambaran bahawa ia adalah asap yang sebenar dan bukan sesuatu yang dikhayalkan dalam penglihatan semata-mata.
Asap ini datang dari langit iaitu turun dari atas dan bukan asal dari bumi melalui pembakaran atau asap letusan gunung berapi. Walaubagaimanapun, menurut Al-Mubayyad, sumber asap itu tidak semestinya datangnya dari luar lapisan udara (atmosfera bumi). Situasi ini jika diamati melalui konsep hujan pasti kita menyangka bahawa hujan itu adalah daripada langit. Akan tetapi hakikat pembentukan hujan adalah melalui bumi melalui proses penyejatan sehingga menghasilkan wap air dan turun sebagai hujan.
Ibnu Manzur apabila menjelaskan tentang ‘asap yang meliputi’ memberi pengertian antaranya mendatangi, menutupi dan ketakutan. Maksudnya pada hari di mana asap ini menyelubungi manusia, mereka akan melihat asap tersebut menyelimuti mata kepada mereka dari atas ke bawah sehingga mereka tidak mampu melihat.
Dari sudut hadis berkaitan asap (Dukhan) ini, tidak banyak yang dinyatakan oleh ulama dan riwayat yang dikemukan juga banyak yang lemah. Namun terdapat satu hadis sahih yang dapat dijadikan rujukan berkaitan asap tanda kiamat ini.
Hadis Huzaifah bin al-Yaman RA yang menyebut: “Dukhan akan memenuhi antara Timur dan Barat, kekal selama 40 hari dan malam. Adapun orang Mukmin, maka ia akan menimpanya seperti keadaan selesema. Adapun orang kafir, maka ia menjadi seumpama orang mabuk, ia keluar dari hidung, telinga dan duburnya.” Al-Tabari menilai hadis ini sebagai tidak sahih. Ibn Kathir pula menilai sanadnya maudhu’. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari hanya menilai sanadnya daif, namun menurut beliau, jika sabit hadis Huzaifah RA ini, kemungkinan orang yang dibantahi kata-katanya dalam hadis Ibn Mas’ud RA ialah Huzaifah RA yang berkata: “Sesungguhnya akan keluar dari bumi dukhan, lalu akan memasuki rongga telinga orang kafir dan akan menimpa orang Mukmin seperti keadaan selesema.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Justeru itu, asap (dukhan) ini merupakan salah satu daripada tanda kiamat yang seharusnya dipercayai. Namun untuk menyandarkan sesuatu peristiwa dengan tanda kiamat ini tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya tanpa rujukan atau perbahasan yang mendalam oleh para ulama. HM
Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Dukhan meliputi bumi
Baca Artikel Menarik :
- Kongsi suara suami lafaz cerai buat ramai sebak
- Armada dibawah Wan Fayhsal gagal – Armada Bersatu
- SPRM lucut hak RM540,000, 8 keping emas milik bekas KSU
- Saya akan terus membela diri dan menegakkan kebenaran di mahkamah dunia – Najib
- Netizen geram lihat pelajar jadikan rakan ‘punching bag’
- PrnSarawak: Ali Biju tidak boleh tarik diri
- Ambil kira siasatan ‘pemain utama’ skandal 1MDB
- Ebit Lew bergambar dengan samseng jalanan Rio De Janeiro
- Jejaka Sarawak kahwin dua wanita serentak
- Menteri Kewangan perlu bertaubatlah, banyak kes bunuh, jenayah akibat arak
- Rider ditindas: Mana SUHAKAM? Malulah ada agensi sebegini
Layari Laman Facebook MYKMU</a
‘Asean Lady’ Milik Vincent Tan Akan Dijual Pada Harga RM143 Juta