Melompat dikritik, Rais bingkas bangun bidas pemimpin Melayu DAP

SEREMBAN: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menegaskan, kenyataan beberapa pihak kononnya beliau tidak memperjuang penggunaan bahasa Melayu ketika bergelar menteri Kabinet dan Menteri Besar Negeri Sembilan adalah satu pembohongan.

Jelasnya, sejak 1963 beliau telah memperkatakan mengenai bahasa Melayu dan adat orang Melayu, malah merupakan individu pertama yang mengkritik penggunaan bahasa Inggeris dalam mesyuarat menteri Kabinet.

“Tolong tengok balik, rumusan yang kita buat dalam sesi Konvensyen Kebudayaan, saya merupakan orang yang mula-mula mengkritik mengapa mesyuarat Kabinet dan mesyuarat menteri tidak gunakan bahasa Melayu.

“Bukan masa (jadi) menteri pun saya sudah buat, saya juga membangkitkan isu bahasa baku, saya juga yang mula-mula nyatakan mengapa di Seremban kita macam berada di Bristol, ini sudah 13 tahun.

“Orang yang kata itu, saya minta pakai cermin mata yang lebih tebal dan alat pendengaran yang lebih berkesan, supaya tidak melulu pendapat,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir menyampaikan ucaptama pada Kolokium Antirasuah ‘Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegriti” di Auditorium D’Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

ABDUL AZIZ BARI

Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Naib Pengerusi DAP Perak itu seperti yang dilaporkan sebuah portal berita semalam berkata, Rais tidak dilihat memperjuang bahasa Melayu ketika menjadi menteri atau Menteri Besar Negeri Sembilan berbanding hari ini.

Ia susulan kenyataan Rais yang dilaporkan Mingguan Malaysia baru-baru ini yang membidas sikap segelintir pihak berkuasa yang menutup sebelah mata dalam mengetengahkan penggunaan bahasa Melayu.

Sementara itu, Rais tidak menolak kenyataan bahawa penggunaan bahasa Inggeris sangat mustahak namun bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak wajar dianaktirikan.

“Pendapat saya mudah, bahasa Inggeris sangat mustahak, mesti terus kita pakai secara profesional, tetapi bahasa kebangsaan, bahasa Melayu, jangan dianaktirikan dan jangan diketepikan serta ditolak.

“Itu pendirian dan mereka yang kata itu, kita boleh hadapi kalau berani, tolong ambil tarikh-tarikhnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Melompat dikritik, Rais bingkas bangun bidas pemimpin Melayu DAP


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Zeti izinkan wang RM2.6 bilion dibawa masuk?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker