Gandakan bantuan ekonomi kepada B40

SHAH ALAM – Bantuan ekonomi yang diberikan kepada rakyat terutama golongan B40 perlu digandakan bagi menyelamatkan murid daripada terus tercicir dalam persekolahan yang boleh menjadikan masa depan mereka gelap.

Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata, bantuan itu sangat perlu dipertingkatkan lagi ekoran Covid-19 menjejaskan mata pencarian rakyat.

Katanya, jumlah keseluruhan 21,316 murid yang berhenti persekolahan dalam tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah satu perkara yang tidak mengejutkan.

“Jumlah keciciran murid yang besar ini adalah salah satu impak buruk Covid-19 ke atas negara kita dan ahli akademik sememangnya sudah menjangkakannya.

“Kesusahan yang dialami rakyat seperti ada ibu bapa yang hilang pekerjaan, bisnes pula ‘bungkus’ dan gaji kena potong menyebabkan mereka tak mampu hantar anak-anak ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hasnah berkata, sejak pandemik melanda negara, kerajaan sememangnya menyalurkan pelbagai bantuan untuk merangsang ekonomi menerusi pelbagai pakej rangsang ekonomi yang telah dilaksanakan.

Bagaimanapun, bantuan itu mungkin masih belum memadai ekoran rakyat perlu berdepan satu tempoh pandemik yang lama iaitu hampir memasuki dua tahun.

“Kita tak boleh nafikan kesukaran hidup banyak memberi impak kepada golongan B40.

“Bila berlaku kesempitan ekonomi, pemikiran pun jadi sempit, stres yang menyebabkan segelintir ibu bapa tak fikir panjang tentang masa depan pendidikan anak-anak. Yang mereka fikir bagaimana untuk terus isi perut anak-anak,” katanya.

Tegas Hasnah, bagi mereka yang tidak pernah hidup susah, hilang pekerjaan itu mungkin dianggap satu ujian biasa namun bagi orang miskin, hilang pekerjaan itu membuatkan mereka merasa kehidupan mereka berubah gelap.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Sanusi loklak, Puad pula ada di planet mana?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker