2 fokus utama pemangkin pemulihan PMKS- Ismail

2 fokus utama pemangkin pemulihan PMKS- Ismail

Pemangkin pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan memberi dua fokus utama, iaitu memanfaatkan inovasi serta pembangunan jangka panjang yang harus menerapkan prinsip-prinsip kelestarian meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan.

Menurut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, PMKS harus menggunakan inovasi, digitalisasi serta teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.



“Pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuklah pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik merupakan perkara lazim dalam ekonomi hari ini disebabkan oleh keperluan dan peluang yang semakin meningkat,” katanya pada majlis perasmian Pameran Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)- SMIDEX 2021 bertemakan “PMKS: Bangkit Kembali!” di sini hari ini.

Beliau berkata, ini juga adalah antara usaha yang boleh membiasakan PMKS dengan era persaingan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Selain itu, Perdana Menteri juga berkata, kehadiran PMKS dalam talian meningkat dua kali ganda daripada 35.3% yang dicatatkan pada tahun 2019 (pra-Covid) kepada 75.8% pada tahun 2021 (pasca Covid).

Mengenai penerapan ESG, Ismail Sabri berkata, tumpuan harus diberikan kepada pengurangan kos dan peningkatan produktiviti menerusi kecekapan tenaga, prinsip ekonomi kitaran, amalan penggajian tenaga kerja yang baik serta struktur tadbir urus syarikat yang kukuh bagi memenuhi matlamat kelestarian.



Sementara itu, beliau turut berkata, SME Corporation Malaysia (SME Corp Malaysia) serta United Nations Global Compact Network Malaysia dan Brunei sedang bekerjasama dalam usaha membangunkan PMKS yang mampan melalui satu platform digital yang dinamakan “Action Centre for Sustainable Development of SMEs” (ACCESS).

“Platform ini akan menyediakan kepada PMKS khidmat nasihat, pembangunan kapasiti serta jalinan rangkaian bersama syarikat besar yang terlibat dalam amalan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta ESG,” katanya.

Perdana Menteri juga menekankan bahawa kerajaan akan terus mempergiatkan usaha bagi menambah baik akses dan peluang pasaran bagi membantu PMKS meningkatkan jualan di pasaran antarabangsa dengan inisiatif tersebut dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan ke kerajaan (G2G) serta usaha sama dalam kalangan negara ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) serta pertubuhan antarabangsa yang lain.

“Usaha juga akan dilaksanakan untuk memanfaatkan faedah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam memperluas akses pasaran dan mempercepat pengantarabangsaan PMKS, termasuklah pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 serta memeterai perjanjian FTA baharu,” katanya.



Beliau menambah pelbagai inisiatif akan diteruskan menerusi platform antarabangsa bagi terus menambah baik persekitaran perniagaan serta mengurangkan halangan perdagangan seterusnya memartabatkan industri PMKS di persada antarabangsa.

Menurut Ismail Sabri, sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM298 bilion pada 2010, namun jumlah ini meningkat 72% kepada RM512 bilion pada tahun lepas.

”Kini, PMKS juga memberi peluang pekerjaan kepada 7.3 juta pekerja dan menyumbang RM118 bilion kepada eksport negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akur sektor PMKS merupakan salah satu kumpulan yang paling terkesan dan mengalami 95.3% penurunan jualan secara mendadak dalam tempoh awal pembendungan Covid-19.



Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar dalam ucapannya berkata, SMIDEX’21 menyediakan peluang pemasaran dan penerokaan pasaran baharu yang menekankan e-dagang dan pendigitalan.

Pameran yang bermula pada 1 hingga 23 Dis ini dijangka menarik 10,000 pengunjung maya dan RM50 juta potensi jualan menerusi pelbagai program dan aktiviti yang diadakan. FMT

2 fokus utama pemangkin pemulihan PMKS- Ismail


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU</a


Gelagat Sekumpulan Lelaki Keluarkan Mayat Rakan Dari Keranda Untuk Dibawa Berjalan [VIDEO]

Try It! This Tunnel Leads You On A Hike With A Scenic View Of Malaysia’s Tallest Highway [VIDEO]



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker