PrnSarawak: DAP Sarawak muktamadkan tiada kerjasama dengan PSB

PrnSarawak: DAP Sarawak muktamadkan tiada kerjasama dengan PSB

DAP Sarawak hari ini secara rasmi menamatkan sebarang rundingan bagi mencari kemungkinan menjalin kerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata tindakan itu diambil kerana mereka bimbang terhadap parti terbabit yang mungkin berpaling tadah dan bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas pilihan raya nanti.

“Matlamat mereka sudah jelas iaitu hanya mahu menjadi kerajaan.

“Ada kemungkinan yang besar untuk calon mereka berpaling tadah kalau menang , atau mungkin parti itu sendiri akan mengubah pendirian (menjadi penyokong GPS).

“Justeru sebarang kerusi yang diberikan kepada PSB mungkin akan menjadi pertembungan persahabatan di antara parti itu dengan GPS,” katanya pada sidang media di Sibu hari ini.

Dalam PRN nanti, kata Chong, kedua-dua pihak itu akan cuba memenangi kerusi tersebut sebelum akhirnya berbaik-baik semula.

Dia juga menjelaskan faktor itu yang menjadi punca rundingan di antara pembangkang gagal mencapai kata sepakat.

PSB asalnya dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu yang berpihak kepada BN. Kebanyakan daripada Adun mereka sekarang bertanding dan memenangi kerusi masing-masing sebagai calon langsung BN pada 2016.

Bagaimanapun ketika GPS ditubuhkan selepas Pakatan Harapan (PH) mengalahkan BN dalam PRU ke-14 pada 2018, PSB tidak disertakan dalam gabungan tersebut.

Pun begitu PSB kekal bersama dengan kerajaan negeri yang dipimpin GPS sehinggalah mereka menjadi pembangkang pada 2019.

Tanpa sebarang kerjasama ketika ini, DAP dalam usaha mengetepikan Presiden PSB, Wong Soon Koh, dari kerusinya di Bawang Assan, dengan menurunkan calon mereka, Amy Lau, pada 18 Dis ini.

Lau merupakan pembantu khas kepada Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling.

Untuk rekod Wong merupakan Adun Bawang Assan sejak 1991.

DAP juga mencabar PSB di kerusi Dudong dengan menurunkan Paul Ling Fong iaitu bekas pembantu kepada pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng.

Ling akan berdepan dengan tugas mencabar kerana di kerusi tersebut juga Presiden Demokratik Progresif Sarawak, Tiong King Sing.

Sebelum ini DAP menangguhkan pengumuman calon mereka untuk kerusi DUN bagi kawasan Sibu sementara perbincangan dengan PSB masih diteruskan.

Selain kebimbangan terhadap tindakan berpaling tadah, Chong juga mendakwa DAP melihat PSB kurang ikhlas dalam rundingan yang dijalankan.

“Kami telah menunjukkan keikhlasan kami untuk mengelak pertembungan dengan PSB sehingga kini tetapi saya fikir tindakan kami tidak dibalas dengan sewajarnya,” kata Chong. Mk

PrnSarawak: DAP Sarawak muktamadkan tiada kerjasama dengan PSB


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

‘Mejar Shuhada’ perdaya mangsa, liwat mangsa lelaki

Aksi Polis Serbu Geng Motosikal Di Stesen Minyak (video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker