Hannah Yeoh bertudung ketika melawat masjid, ada Pemimpin DAP melompat

Hannah Yeoh memang sudah menjangkakan kecaman daripada orang Islam dan bukan Islam apabila dia memilih untuk bertudung semasa melawat sebuah masjid di kawasannya.

Namun rupa-rupanya ia tidak sekadar itu. Tindakan ahli parlimen DAP terbabit turut mengundang rasa kurang senang daripada kalangan pemimpin parti berkenaan.

Ia berlaku ketika DAP berdepan dengan persoalan mengenai masa depannya sebagai parti berbilang kaum selepas ia bersama Pakatan Harapan mencatat prestasi hambarnya dalam pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini.

Umumnya kepimpinan DAP sedang mengemudi parti itu ke arah kepelbagaian yang lebih besar selepas berdekad-dekad dilabel sebagai pertubuhan Cina.

Antara langkah diambil DAP untuk keluar daripada kepompong label tersebut ialah dengan mendekati orang Melayu sebagai langkah mencairkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat konservatif.

Bagaimanapun, langkah itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan segelintir ahli DAP yang berasakan pendekatan tersebut akan membawa kepada terhakisnya sokongan daripada asas tradisional parti terbabit.

Selepas Yeoh memakai tudung untuk bertemu dengan pengundi di sebuah masjid di Segambut, muncul pertengkaran sengit dalam kalangan ahli dan pemimpin DAP Johor.

Dalam komunikasi WhatsApp yang bocor – yang disahkan oleh sumber sebagai tulen – ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, kelihatan membidas tindakan Yeoh.

“Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.

“Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua?” katanya yang juga bekas pengerusi DAP Johor.

Songkok pernah jadi isu

Kenyataan Boo itu mendapat kritikan daripada banyak pihak yang berpendapat bahawa wanita bertudung di masjid adalah sebagai tanda penghormatan. Tindakan sama juga, kata mereka, dilakukan apabila wanita melawat gurdwara Sikh.

Boo, bagaimanapun, kelihatan menyindir tindakan tersebut dan berpendapat ia sekadar helah untuk menarik sokongan dan orang Melayu tahu apa yang DAP lakukan.

Kecuali Boo, identiti semua orang lain dalam perbualan yang dilihat Malaysiakini telah disunting. Namun difahamkan pemimpin lain DAP Johor turut berada dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Boo – merupakan bekas Adun Skudai – enggan mengesahkan kenyataannya dengan alasan disiplin parti tidak membenarkan sesuatu perbincangan dalaman didedahkan kepada pihak ketiga.

Sebenarnya kritikan terhadap ahli DAP kerana mengenakan pakaian Melayu atau berkaitan Islam bukanlah sesuatu yang baru.

Pasda 2006 pemimpin DAP Perak ketika itu, Ngeh Koo Ham, mengeluarkan kenyataan bahawa mensyaratkan pemakaian songkok ke atas wakil rakyat lelaki DAP di majlis istana adalah “tidak wajar”, menyentuh sensitiviti orang bukan Melayu dan memberikan kesan politik kepada wakil rakyat bukan Melayu parti tersebut.

Dia juga memaklumkan ketika itu, DAP sebenarnya keberatan untuk menyertai sebarang majlis yang memerlukan hadirinnya memakai songkok sejak 2002.

“Memakai songkok atau tidak adalah isu kecil berkenaan pakaian tetapi apabila dikenakan ke atas orang lain, ia membawa kepada persoalan kebebasan budaya dan isu perkauam serta dominasi budaya, justeru menjadikan ia isu yang sangat sensitif,” katanya dalam kenyataan tersebut.

DAP kemudian mula mengendurkan pendirian mereka terhadap songkok pada 2008 dengan Boo adalah antara wakil rakyat parti itu yang bersetuju mengenakannya semasa pembukaan Dewan Undangan Negeri Johor selepas pilihan raya umum tahun tersebut.

Bagaimanapun sentimen yang menolak pakaian yang dilihat ada kaitan dengan Melayu-Islam terus wujud.

Cadangan yang serius

Pada 2014, Lau Weng San mengundang rasa kurang senang tokoh lantang DAP, Hew Kuan Yau – yang lebih dikenali dengan gelaran Superman – apabila Adun Kampung Tunku memakai baju Melayu siap bersongkok semasa menghadiri sambutan rumah terbuka Aidilfitri.

Secara umum bolehlah dianggap bahawa apabila DAP berkembang untuk menjadi lebih rencam dan inklusif, ia akan mendapat tentangan daripada pihak yang gagal mengikut peredaran zaman. Tetapi keadaannya tidak semudah itu.

Dalam ciapan pada pagi Khamis lalu, Boo berkata: “Adakah anda benar-benar fikir DAP boleh memenangi sokongan Melayu dengan hanya memakai baju Melayu dan tudung?”

Boo juga mencadangkan agar DAP menyediakan barisan ulama untuk menghubungkan aliran demokrasi sosial parti itu dengan orang Melayu dalam konteks Islam dengan lebih baik.

“Tetapi (ahli strategi DAP) Liew Chin Tong berpendapat ia adalah idea yang bodoh,” tambahnya.

Ciapan itu bagaimanapun dipadam kemudian.

Sekali imbas, jika dilihat bersama-sama dengan kenyataan di WhatsApp, ciapan Boo itu mungkin memberi gambaran sebagai sembrono.

Bagaimanapun, ahli politik veteran berkenaan memberitahu Malaysiakini bahawa cadangannya agar ulama Islam dilibatkan dalam DAP adalah serius dan pernah dikemukakannya antara 1999 dan 2000.

“Pada pandangan saya, kita perlu mengaitkan ideologi kita (demokrasi sosial) dengan hati orang Melayu dengan (cara) yang mereka boleh fahami.

“Penting untuk pergi lebih mendalam daripada perkara budaya yang dibuat-buat. Ia untuk menjelaskan demokrasi sosial pada tahap kerohanian Islam dan Melayu,” katanya sambil mengulangi kandungan ciapan tersebut.

 

Belajar daripada kegagalan dulu

Boo kemudian menjelaskan bagaimana bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, pernah menjelaskan Islam dan mentafsir idea kepelbagaian budaya serta meraikan kepelbagaian dari perspektif Islam.

Langkah itu, katanya, wajar dicontohi.

Ditanya mengenai bagaimana cara yang sesuai untuk DAP mendekati orang Melayu, dia menjawab, wakil parti itu sudah berjaya menjalinkan hubungan baik dengan semua kaum.

“Kami telah belajar untuk melakukan perkara yang boleh diterima oleh semua masyarakat, yang kadangkala agak susah.

“Sensitiviti budaya adalah penting untuk mengendalikan hal ehwal masyarakat yang melaluinya kita perlu dilihat secara jelas berlaku adil dan waras kepada semua masyarakat.

“Kita tidak boleh dilihat terlalu menggembirakan kumpulan tertentu sambil mengabaikan yang lain,” katanya sambil menceritakan bagaimana dua menguruskan sensitiviti pengundi Islamnya semasa menjadi Adun Skudai.

Boo berkata tindakan untuk menggembirakan hati yang berlebihan akan dilihat sebagai sikap berpura-pura, justeru Pakatan Harapan (PH) dan DAP perlu kekal menjadi diri sendiri semasa menyampaikan ideologi mereka dengan cara yang boleh dikaitkan dengan semua rakyat Malaysia.

Dia menambah, walaupun orang Melayu adalah majoriti di negara ini, penguasaan kaum secara tunggal boleh membawa kepada antagonisme sedangkan kumpulan majoriti sepatutnya mengambil berat terhadap pemuliharaan dan mempromosikan hak minoriti terhadap budaya, bahasa dan sosioekonomi.

Pada masa sama, Boo berkata, DAP dan PH telah kehilangan sokongan Melayu dan bukan Melayu dalam pelbagai peringkat dan mesti belajar daripada kegagalan politik mereka.

Sementara itu, seorang ahli DAP – yang enggan namanya didedahkan – memberitahu Malaysiakini, sesetengah ahli akar umbi berpendapat “penyokong asas Cina” parti itu berasa terasing ketika usaha untuk mendekati orang Melayu digerakkan.

Bagaimanapun, sumber itu berkata, suara sebegitu adalah minoriti dan pemilihan parti menunjukkan bahawa mereka yang menyokong kepelbagaian kini diberi kepercayaan mengemudi parti.

Sumber itu menambah, penyokong DAP yang terdiri daripada kalangan bukan ahli parti juga tidak begitu mengambil berat tentang persepsi orang Melayu.

“Rakyat lebih mementingkan kesilapan kita semasa dalam kerajaan, atau episod ‘katak’ di Melaka, daripada cubaan mendekati orang Melayu.

“Tambahan pula, saya yakin lawan DAP lebih teruk dalam hal menjaga hak bukan Melayu, justeru walaupun ada yang tidak selesa (dengan usaha mempelbagaian DAP), mereka tidak akan lari ke MCA (sebagai contoh). Sekurang-kurangnya bukan kerana ini,” tambah sumber itu.

 

Sementara itu Adun Seri Delima Syerleena Abdul Rashid berkata kebimbangan dalam DAP itu boleh difahami kerana mereka mengalami tekanan atau dilayan secara tidak setara sehingga menimbulkan rasa tidak selamat.

“(Tetapi) kita perlu memahami apa yang membuatkan kita berbeza dan akhirnya meraikan Bangsa Malaysia.

“Bagi orang bukan Islam memakai tudung adalah tanda penghormatan, begitu juga bagi orang Melayu-Islam untuk menghadiri majlis makan malam di kuil atau menahan diri daripada makan daging lembu di hadapan orang Malaysia yang beragama Hindu.

“Perpecahan dan kebencian selama berdekad-dekad daripada puak tertentu membuatkan isyarat mudah sebagai menunjukkan rasa hormat dan toleransi dilihat sebagai mengancam,” tambah wakil DAP itu.

Ketika dihubungi berhubung kontroversi mengenai keputusannya untuk memakai tudung, Yeoh berkongsi sentimen yang sama.

Dia menegaskan, sebagai parti berbilang kaum, cara berpakaian ketika menghadiri sesuatu majlis atau majlis keagamaan disesuaikan dengan keadaan adalah tanda hormat.

“Apa yang kami katakan (dan lakukan) adalah konsisten dengan visi kami untuk sebuah negara yang progresif dan demokratik,” katanya.

Hannah Yeoh bertudung ketika melawat masjid, ada Pemimpin DAP melompat


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pertindihan kerusi PKR-DAP di PRN Sarawak

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker