PRN Sarawak uji jenama GPS

SELEPAS selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tumpuan negara bakal beralih kepada PRN Sarawak yang akan membuka gelanggangnya pada Isnin ini, bermula dengan penamaan calon, manakala hari mengundi pada 18 Disember.

PRN Sarawak ke-12 akan menyaksikan 1,252,014 pengundi bakal menentukan siapa akan memerintah untuk penggal seterusnya. Dengan demografi pengundi yang besar dan keadaan geografi, PRN itu dilhat lebih mencabar berbanding PRN Melaka.

Sarawak mencatatkan jumlah Dewan Undangan Negeri (DUN) tertinggi dalam negara. Negeri itu diperuntukkan 82 DUN daripada keseluruhan 600 kerusi DUN bagi seluruh Malaysia.

Keputusan PRN pada 2016 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 72 daripada 82 kerusi dipertandingkan, diikuti DAP (tujuh) dan PKR (tiga). Ketika itu, aura Tan Sri Adenam Satem (Tok Nan) terlalu popular untuk dikalahkan.

Di bawah kepimpinan Tok Nan, BN berjaya menambah 17 kerusi daripada 55 yang dimenanginya pada PRN 2011 dengan undi popular diterima sebanyak 62.2 peratus, manakala DAP hilang lima kerusi dan PKR masih kekal tiga.

Dua faktor yang menyumbang kepada kemenangan selesa BN disebabkan keperibadian dan karisma Tok Nan dalam kalangan rakyat Sarawak serta kebijaksanaan beliau mengemukakan formula ‘calon langsung BN’ yang berjaya memperlihatkan bahawa calon bertanding adalah ‘Team Tok Nan’, bukannya BN semata-mata.

Namun, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), BN sudah tidak lagi wujud di Sarawak. Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini entiti menggantikan BN dengan komponen hampir sama.

Ketika PRU14, BN di bawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (Abang Jo) tidak menerima idea calon langsung BN. Jadi, kemungkinan formula itu digunakan pada PRN kali ini juga tiada.

Idea calon langsung BN digunakan Tok Nan bagi menyelesaikan perpecahan dan politik melobi yang mungkin akan melemahkan BN serta jentera parti itu bagi menghadapi pilihan raya.

Ketiadaan mekanisme tersebut mungkin akan menimbulkan kembali permasalahan kepada GPS dalam menentukan calon, apatah lagi ia akan ditentukan oleh parti komponen masing-masing berbanding sebelumnya.

DULU DACING

Ironinya, GPS juga akan bertanding menggunakan lambang parti baharu, sesuatu yang mungkin janggal bagi pengundi yang sudah biasa dengan lambang dacing BN.

Empat parti membentuk GPS – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) mungkin tidak melihat ia menjadi masalah disebabkan politik pilihan raya di Sarawak bersifat personal dan melihat calon berbanding lambang.

Jadi PRN ini juga mungkin ujian buat GPS dalam menjual jenama mereka kepada rakyat Sarawak.

GPS bukan sahaja mempertaruhkan lambang baharu tetapi juga akan menguji jenama ‘Abang Jo’ yang mengepalai parti itu buat pertama kali.

Walaupun beliau tokoh veteran dalam politik Sarawak, cabaran mengetuai sebuah parti baharu dalam pilihan raya sangat mencabar disebabkan Covid-19 dan norma baharu.

Sedikit kelebihan buat Abang Jo dan GPS adalah kekuatan pembangkang yang sangat terjejas terutama selepas PRN Melaka.

Pada PRN kali ini, Pakatan Harapan (PH) terutama DAP dan PKR dijangka bergerak bersendirian.

Dengan sentimen kestabilan barangkali dilihat bersama dengan GPS yang sealiran dengan kerajaan di peringkat persekutuan, maka pengundi mungkin cenderung memberikan undi kepada GPS sebagai penyandang.

PH juga masih belum memperlihatkan naratif kukuh yang sesuai dengan citra orang Sarawak, selain terkial-kial menyaingi GPS dalam isu-isu Sarawak.

Paling menarik, sejauh mana Parti Sarawak Bersatu (PSB) mampu mencuri kerusi-kerusi strategik di kawasan pengundi Dayak.

Bagaimana penerimaan baik terhadap PSB mampu diterjemahkan dalam bentuk undi juga antara menarik untuk diperhatikan dalam PRN Sarawak.

Masih awal untuk meramalkan siapa akan menang walaupun keadaan dan sentimen semasa diramal menyebelahi GPS.

Namun untuk mengatakan GPS akan menang mudah dan besar juga adalah sesuatu yang masih berat dan belum selamat.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pertindihan kerusi PKR-DAP di PRN Sarawak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker