Pertindihan kerusi PKR-DAP di PRN Sarawak

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin isu pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 membabitkan parti itu dan DAP mampu diselesaikan menjelang hari penamaan calon pada 6 Disember ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, hal ini kerana sebarang kemungkinan berlaku pertindihan kerusi pilihan raya di antara dua parti itu hanya melibatkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

Justeru, beliau berharap satu solusi perundingan terbaik antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Sarawak akan tercapai pada saat koalisi itu mempunyai baki lima hari untuk mengelakkan sebarang kemungkinan pertembungan sesama sendiri.

“Bagi menghadapi PRN Sarawak, rundingan antara PKR dan DAP masih berlaku, malah dalam mesyuarat PH Isnin lepas, isu pertembungan antara dua parti itu di Sarawak turut dibincangkan dengan kita sedang memperhalusi beberapa cadangan dan permintaan DAP.

“Permintaan utama DAP adalah tiada berlaku pertindihan antara parti-parti PH dalam setiap kerusi DUN ditandingi dan kami pun kenal pasti hanya dua kerusi DUN sahaja yang berkemungkinan situasi itu akan wujud.

“Saya fikir isu itu bukan isu besar dan kita masih mempunyai baki masa lima hari lagi untuk membuat keputusan terbaik demi mengukuhkan peluang PH pada pilihan raya negeri itu,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak sebelum ini yang mendakwa DAP Sarawak enggan berunding secara terbuka dan telus berhubung pembahagian kerusi pada PRN Sarawak.

Kenyataan itu menyebut, PKR cuba berjumpa dengan pimpinan tertinggi DAP Sarawak sejak beberapa bulan lalu untuk membincangkan isu yang berkenaan namun ditolak.

PRN Sarawak: GPS terharu semangat ‘setia kawan’ BN

Hal ini kerana PKR Sarawak mahu menjelaskan perjanjian rundingan kerusi PH pada 2 Januari lalu tidak boleh diguna pakai kerana dibuat antara pemimpin PKR terdahulu, Larry Sng dengan DAP Sarawak tanpa persetujuan akar umbi PKR.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dalam maklum balas berhubung dakwaan MPN PKR Sarawak itu, meminta PKR memberi tumpuan kepada 47 kerusi DUN yang dipersetujui untuk ditandingi parti itu.

Pertindihan calon antara PKR dan DAP berlaku pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) 2016, apabila mereka bertembung di enam kawasan iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.

Dua kerusi DUN dijangka bakal berlaku pertindihan pada PRN ke-12 pula adalah DUN Batu Kitang dan Mulu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sarawak pada 18 Disember ini sebagai hari pengundian dengan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember manakala hari pengundian awal ialah pada 14 Disember.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Iskandar turut menegaskan PKR sedang mengadakan perbincangan dengan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh untuk mengelakkan pertembungan antara PH dengan parti itu.

Jelas beliau, proses perundingan masih berjalan dan PKR berharap satu persetujuan dapat dicapai untuk membolehkan parti itu dan PSB dapat menjalinkan kerjasama politik secara tidak rasmi.

“Perbincangan itu bukanlah satu perundingan menjurus PKR mengajak PSB menyertai PH secara rasmi.

“Dengan perkembangan terkini proses rundingan antara PKR-DAP dan PKR-PSB yang positif, saya fikir dakwaan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg kononnya blok pembangkang tidak bersatu adalah jauh tersasar,” katanya.

Pertindihan kerusi PKR-DAP di PRN Sarawak

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Sarawak: PAS bertanding sebab GPS bukan komponen PN – Tuan Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker