Kos haji, Kabinet buat keputusan Januari 2022

Sebaran :

Kos haji, Kabinet buat keputusan Januari 2022

JOHOR BAHRU: Keputusan mengenai sama ada berlakunya kenaikan kos pelaksanaan ibadah haji bagi musim ini atau tidak susulan peningkatan kos semasa akan diputuskan Kabinet selewat-lewatnya pada Januari tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihaknya terlebih dahulu akan mendengar taklimat berhubung isu itu daripada Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijadualkan minggu hadapan.

“Saya akan bawakan perincian taklimat TH itu ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi capai keputusan muktamad. Dijangkakan, selewat-lewatnya bulan depan Kabinet akan beri keputusan muktamad sama ada kos haji musim depan akan naik atau kekal.



“Setakat ini, kita tidak dapat sahkan sama ada kos akan naik atau tidak, kita akan bincang dulu. Kos umrah pun dilaporkan sudah bertambah lebih RM2,000 sedangkan umrah itu hanya dilakukan 10 hari sahaja,” katanya selepas merasmikan Program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), di sini hari ini.

Sabtu lalu, kerajaan menjangkakan kos mengerjakan haji meningkat sehingga 50 peratus kepada lebih RM30,000 berbanding kos sebelum ini iaitu RM23,000 susulan Cukai Nilai Tambah (VAT) diperkenalkan Arab Saudi naik 15 peratus berbanding lima peratus sebelumnya.

Mengulas lanjut, Idris berkata, kerajaan akan mengambil kira soal kepentingan pendeposit dan kebajikan bakal jemaah haji terutama golongan B40, bagi mencapai keputusan situasi menang-menang dalam membuat keputusan muktamad berhubung isu kos haji.

Ditanya mengenai cadangan supaya subsidi bersasar diberikan kepada bakal jemaah B40, Idris memberitahu, perkara itu perlu dibincangkan bersama pengurusan TH yang bertanggungjawab sebagai operator pengurusan haji negara.



“TH tidak boleh mengambil tindakan berat sebelah dan juga isytihar langkah populis. Seelok-eloknya kita perlu realistik. Setiap tahun TH buka peluang kepada mana-mana jemaah haji yang tidak mahu mengambil subsidi kos haji, namun tidak ramai yang menyahut peluang itu,” katanya.

Sementara itu, kerajaan masih menunggu keputusan rasmi Arab Saudi berhubung penetapan kuota haji yang mungkin memakan masa disebabkan Riyadh perlu memikirkan soal prosedur operasi standard (SOP), logistik dan sebagainya yang dijalankan mengikut norma baharu.

Kata Idris, turut menjadi pertimbangan adalah pengesanan varian baharu, Omicron yang dikesan baru-baru ini kerana berupaya untuk berjangkit kepada orang ramai.

“Wallahualam, kita masih belum pasti sama ada varian baharu itu ada merisikokan kita dengan pelaksanaan ibadah haji yang diperketatkan. Ketua Pegawai Eksekutif TH yang pulang dari sana maklumkan Arab Saudi belum buat sebarang keputusan. Saya amat berharap varian baharu itu tidak melibatkan negara kita,” katanya.



Mengikut laman web TH, Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini adalah 31,600 jemaah, namun pada musim haji lalu, ibadah itu hanya untuk rakyat Arab Saudi dan golongan ekspatriat yang berada di negara itu susulan pandemik Covid-19 yang belum reda.

Dalam pada itu, berkenaan keputusan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi membenarkan wanita mendaftar haji untuk musim lalu tanpa mahram, Idris berkata pihaknya belum memutuskan soal itu yang akan ditentukan Penasihat Syariah TH. Utusan

Kos haji, Kabinet buat keputusan Januari 2022


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Tanah di Putrajaya atok beli berapa harganya?

Ain, bapa disaman guru berhubung isu jenaka rogol


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *