13 pusat jagaan warga emas di NS terlibat kes Covid-19

SEREMBAN – Sebanyak 13 pusat jagaan warga emas termasuk dua tidak berdaftar di Negeri Sembilan terlibat dengan kes jangkitan Covid-19 setakat ini.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, daripada 45 pusat jagaan berdaftar, hanya dua didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dalam tempoh pemantauan Januari sehingga Mei lalu.

“Selain itu, dua pusat jagaan tidak berdaftar juga gagal mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342),” katanya ketika Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Yap Yew Weng (DAP-Mambau) berhubung tindakan bagi memastikan pusat jagaan warga emas berada dalam keadaan selamat sepanjang pandemik Covid-19.

Menurutnya, bagi memastikan pusat jagaan warga emas berada dalam keadaan selamat, satu garis panduan telah diwujudkan dengan kerjasama antara agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Mei 2020.

Jelas beliau, di bawah garis panduan berkenaan dinyatakan tentang peranan dan tanggungjawab pengusaha, langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang perlu dilaksanakan semasa pengoperasian, pengurusan penghuni yang mempunyai gejala dan yang positif Covid-19.

“Selain itu, turut dinyatakan pengurusan kematian penghuni bergejala atau kematian mengejut, pengurusan pelawat dan mengekalkan kesihatan penghuni di tahap optima,” katanya.

Dalam pada itu, Lee Koon berkata, terdapat pusat jagaan tidak berdaftar kerana tidak mendapat kelulusan bangunan daripada Majlis Bandaraya Seremban.Bagaimanapun katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu boleh membuat aduan kepada JKM untuk tindakan lanjut.

13 pusat jagaan warga emas di NS terlibat kes Covid-19


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Omicron: Wajar sekat kemasukan pengembara luar wajar

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker