Cuepacs janganlah asyik minta naik gaji sahaja

Cuepacs janganlah asyik minta naik gaji sahaja

KONGRES Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu kerajaan menaikkan gaji minimum penjawat awam kerana jumlah RM1,200 kini dianggap tidak lagi bersesuaian dan ketinggalan zaman.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat, dalam kenyatannya baru-baru ini mahu gaji minimum dinaikkan kepada RM1,800 sebulan, tambahan RM600! Alasannya, kenaikan dahulu sudah terlalu lama dan perlu dikaji semula sejajar keperluan semasa.

Beliau mahu kerajaan segera melaksanakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang baharu bagi menggantikan sistem sedia ada yang didakwa sudah tidak relevan kerana diguna pakai sejak 2002. Jika dilaksana ia dikatakan akan memberi manfaat kepada 1.6 juta penjawat awam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

Isu peningkatan kos hidup bukan dihadapi oleh penjawat awam sahaja. Kesannya akan dirasai oleh semua, termasuk dalam sektor swasta atau yang berkerja sendiri. Kalau hendak dikira cukup, wang banyak mana pun tidak akan cukup. Sudah bertambah pun akan dirasai belum cukup.

Yang penting ialah bijak mengurus kewangan, berdisiplin mengawal perbelanjaan. Berbelanjalah dalam batas kemampuan dan keperluan berdasar pendapatan. Jika keluar daripada sempadan kemampuan, memang masalah datang menjelma.

Bayangkan betapa lebih teruk keadaannya bagi yang tiada sumber pendapatan, termasuk yang hilang kerja gejala tempias Covid-19. Pandemik ini menyebabkan banyak sektor ekonomi gulung tikar atau menghentikan operasi sehingga keadaan kembali pulih. Akibatnya ramai terputus sumber rezeki tanpa jaminan bila akan kembali bekerja.

Namun bagi Cuepacs, seolah-olahnya tidak mengapa ramai orang lain kehilangan kerja. Yang penting gaji minimum penjawat awam dinaikkan. Mungkin selepas ini Cuepacs akan menuntut pula gaji seluruh kakitangan awam segera dikaji semula.

Persepi ramai ialah sejak dari dahulu peranan utama Cuepacs dilihat seolah-olah hanya tertumpu kepada dua perkara sahaja. Pertama meminta kenaikan gaji. Kedua tidak pernah lupa meminta bonus setiap kali pembentangan belanjawan.

Dibandingkan dengan pekerja sektor swasta, kedudukan penjawat awam lebih terjamin dan terus menikmati pelbagai kemudahan. Ketika ramai dibuang kerja dalam gerhana pandemik Covid-19, penjawat awam dijamin selamat. Setiap bulan tetap ada pendapatan.

Bersyukurkah dengan keadaan ini. Sementara ramai orang lain melalui pelbagai kepayahan meneruskan hidup, poket penjawat pasti berisi setiap bulan. Makan minum tersedia di atas meja setiap hari.

Pernahkah Cuepacs menginsafi hakikat ini? Cubalah belajar bersimpati atau merasai kesusahan dan penderitaan mereka yang hilang kerja, hilang sumber pendapatan.

Banyak tenaga dicurah dan sumber kewangan dibelanjakan oleh kerajaan mengekang Covid-19 serta memberi bantuan kepada yang terkesan akibat pandemik tersebut. Oleh itu dalam keadaan getir seperti ini untuk meminta kenaikan gaji adalah lebih bersifat mementingkan diri.

Kini bukan masa sesuai dan perbuatan itu akan hanya mengguris perasaan mereka yang hidup susah tanpa pekerjaan. Kasihan mereka yang hanya mampu memandang sayu kepada penjawat awam yang sentiasa ceria kerana pendapatan bulanan dan pelbagai kemudahan lain dinikmati tidak terjejas.

Cuepacs tidak seharusnya dilihat menjadi juara dalam isu gaji atau bonus semata-mata. Tetapi jadilah juara mempertingkat mutu perkhidmaan awam, khususnya dalam beberapa aspek yang sering mendapat teguran atau feedback kurang baik daripada orang ramai.

Cuepacs mesti menanam kesedaran kepada penjawat awam untuk sentiasa memberi perkhidmatan cemerlang sejajar dengan moto jabatan. Jangan memberi khidmat lembab dan acuh tak acuh, tiada senyuman dan tidak mesra pelanggan. Ini yang selalu menjadi rungutan ramai. Adakah Cuepacs mengambil maklum hal ini dan berusaha mengatasinya?

Jangan dibiarkan segelentir penjawat awam hanya sekadar jadi penumpang, prestasi tidak setimpal dengan ganjaran tinggi yang diterima. Cuepacs berperanan penting memperbetulkan keadaan ini dan berusaha mengubah sikap penjawat awam agar tidak terus menjadi kayu mati atau dead wood.

Kini dianggarkan lebih 28,000 penjawat awam enggan divaksin walau pun kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberi amaran akan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang enggan. Sikap mereka membahayakan keselamatan di tempat kerja.

Mereka juga telah diberi surat tunjuk sebab oleh JPA sebelum tindakan lanjut, termasuk pemecatan, diambil. Apa yang dibuat oleh Cuepacs bagi menasihati dan meyakinkan penjawat awam yang terpengaruh dengan dakyah antivaksin?

Juga sangat penting Cuepacs mesti menjadi juara memberi kesedaran kepada penjawat awam agar bertugas dengan berdisiplin, berintegriti, bersih dan amanah. Jangan sama sekali terlibat dengan gejala rasuah yang nampaknya telah menjadi duri dalam daging perkhidmatan awam.

Bukan semua penjawat awam terlibat rasuah tetapi kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Rasuah masih membelenggu ramai penjawat awam dari atas sampai bawah. Ini yang harus diambil peduli dan dibendung sama oleh Cuepacs, bukan hanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Dalam keghairahan menuntut kenaikan gaji dan pelbagai kemudahan lain, Cuepacs jangan ketepikan tanggung jawab memertabatkan perkhidmatan awam di negara ini. Jangan hanya kerap meminta tetapi pandailah juga memberi. Utv

Cuepacs janganlah asyik minta naik gaji sahaja


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Isteri Fizo, cantik dan bijak – Netizen

PN kalah di PRN Melaka kifarah atas kesombongan Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker