Apandi, Rais sedia bongkar isu Batu Puteh

PETALING JAYA: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali bersedia membongkar secara terperinci mengenai isu pemilikan Pulau Batu Puteh bersama pasukan petugas khas yang dipengerusikannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau memberi bayangan bahawa beberapa isu akan diteliti termasuk fakta-fakta baharu, namun perkara itu tertakluk kepada hala tuju yang akan ditetapkan kerajaan.

“Kita belum boleh buat apa-apa ulasan lagi kerana masih menunggu terms of reference. Selepas ditetapkan nanti, barulah kita akan mula, nak tengok bukti-bukti baharu dulu atau nak siasat keputusan kerajaan terdahulu,” katanya.



Beliau mengulas mengenai hala tuju pasukan petugas khas bagi semakan semula undang-undang berhubung tuntutan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, selepas seramai 11 individu bakal menyertai pasukan tersebut, yang perlu mengemukakan dapatan dan syor kepada mesyuarat Kabinet dalam tempoh enam bulan.

Bagaimanapun, Peguam Kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpendapat, pasukan petugas khas tidak seharusnya menumpukan kepada usaha mendapatkan semula pemilikan Pulau Batu Puteh.

“Mengikut ICJ, permohonan perlu dibuat dalam tempoh enam bulan selepas menemui dokumen baharu dan tempoh itu sudah habis, tidak boleh dibawa ke ICJ. Yang paling penting, tidak perlu bawa ke ICJ kerana alasan untuk menyemak semula keputusan tidak memenuhi keperluan antarabangsa sehingga mahu menarik balik keputusan yang ditetapkan sebelum ini.

“Pasukan ini seharusnya mengenal pasti prosedur pada masa akan datang untuk menuntut pulau-pulau lain, bukan mengambil tindakan lanjut kerana kita tidak boleh lagi membuat semakan baharu, sebaliknya belajar daripada kesilapan,” katanya.



Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim sedia memberikan pandangan dan nasihat sekiranya Pasukan Petugas Khas untuk membuat semakan semula tuntutan Pulau Batu Puteh memerlukan khidmatnya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat menyertai pasukan itu secara menyeluruh berikutan terdapat hadangan dalam taksir Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai Speaker Dewan Negara, ia tidak membenarkan saya mengambil apa-apa jawatan dalam eksekutif atau bidang eksekutif, maka, ia tidak wajar dan tidak sesuai dari segi Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, jika pandangan dan nasihat dari segi undang-undang antarabangsa itu tak menjadi masalah, cuma menyertai apa-apa jawatankuasa siasat atau jawatankuasa perimbangan di bawah anjuran eksekutif, itu tidak boleh,” katanya ketika dihubungi.



Semalam, akhbar ini melaporkan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali berdepan cabaran getir apabila perlu meyakinkan Singapura supaya menyemak semula keputusan terhadap pemilikan Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pasukan Petugas Khas semakan semula undang-undang berhubung tuntutan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan itu bakal dianggotai 10 individu lain.

Dua peguam tempatan yang mengendalikan kes ini dari 2016 hingga 2017 iaitu Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd. Sidek juga menyertainya.

Turut terlibat ialah dua pengamal undang-undang, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dan Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin.



Malah, Pakar Rujuk Pusat Kebudayaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Asia Pasifik (Bahagian Peradaban), Prof. Datuk Dr. Aripin Said turut mencadangkan Rais untuk turut menyertai pasukan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Apandi, Rais sedia bongkar isu Batu Puteh

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Fitnah terbaru RM100j, Najib sekolahkan balik Mahathir



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker