SOP PRN Sarawak dilonggarkan
SOP PRN Sarawak dilonggarkan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, yang mungkin diadakan bulan depan.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata kelonggaran itu dilaksanakan berikutan faktor geografi di Sarawak yang luas, berbanding di Melaka yang padat dengan penduduk, sekali gus PRN Melaka memerlukan SOP yang ketat.
Katanya, perincian mengenai kelonggaran SOP itu akan diumumkan selepas SPR berbincang dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan COVID-19, di negeri itu.
“Kita akan mengkaji SOP ini dari semasa ke semasa dan untuk Sarawak. Kita akan menelitinya (SOP) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak yang mengelola situasi wabak di sana.
“Untuk keperluan di Sarawak, dengan negeri yang luas, kemungkinan ada kelonggaran yang boleh kita laksanakan. Sarawak sangat luas dan jarak setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pun amat jauh.
“Ini berbeza dengan Melaka yang padat. Dan, kebimbangan kita mengenai wabak COVID-19 di negeri ini amat ketara, sekali gus melaksanakan SOP ketat pada PRN Melaka),” katanya dalam temu bual eksklusif dengan NSTP yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, SPR memaklumkan mesyuarat berkaitan urusan PRN Sarawak Ke-12 akan diadakan Rabu depan, yang akan membincangkan tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain.
PRN Sarawak dijangka diadakan bulan depan berdasarkan makluman pembatalan darurat oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg kepada SPR pada 4 November lalu.
Minggu lalu, SPR memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas, selepas menerima pemakluman pembatalan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.
SPR memaklumkan, berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.
Seksyen 3(4) Ordinan yang sama berkehendakkan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.
Sebelum Perintah Darurat seluruh negara ditamatkan pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak bermula 2 Ogos lalu hingga 2 Februari tahun depan berikutan ancaman kepada kesihatan awam disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Berikutan pengisytiharan ini, PRN-12 yang sepatutnya diadakan selepas tempoh DUN Sarawak tamat pada 7 Jun lalu ditunda ke tarikh lain selepas Proklamasi Darurat itu ditamatkan. BH
SOP PRN Sarawak dilonggarkan
Baca Artikel Menarik :
- 7 syarat Nynaa sekiranya suami mahu berjumpa
- Ustaz Kazim Dedah Alami Penyakit ‘Ain’ (Video)
- PRN Melaka: Syukur rakan jemaah PAS ikhlas sokong calon BN
- Anggota polis pukul wanita dalam lif dipindah tugas
- Najib bidas 2 tomahan Anwar dengan fakta
- Bersatu, PAS tinggalkan mesyuarat depan PM antara punca rundingan gagal
- Warga emas jadi ‘rider’ demi cari rezeki [VIDEO]
- Imej salib hilang: Adakah DAP cuba tipu Melayu?
- YouTuber Sabrina cetus fenomena di Korea Selatan
- Rita dakwa ada sekolah letak guru tolak vaksin dalam tandas
- Peniaga ‘naik hantu’, parking depan kedai tapi singgah kedai lain
Layari Laman Facebook MYKMU
Fitnah terbaru RM100j, Najib sekolahkan balik Mahathir
You must be logged in to post a comment.