PRN Melaka: Cari wakil rakyat pakai selipar RM2 macam saya

MELAKA: Rakyat kali ini lebih cenderung untuk memilih calon berbanding parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Yakin akan perkara tersebut, calon wakil rakyat Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee berkata, ini kerana masyarakat sudah bijak memilih pemimpin yang mudah didekati dan tidak hanya berpegang kepada protokol semata-mata.

“Saya sahaja YB (Yang Berhormat) yang boleh pakai selipar RM2, naik kenderaan rasmi motor skuter ini, pakai motor roda tiga, pasang bendera sendiri. Wakil rakyat lain boleh buat macam saya?



“Rakyat Pengkalan Batu ni kalau nak kerusi roda pukul 3.30 petang, pukul 4.30 petang dah sampai pada mereka. Ada yang datang nak katil untuk isteri yang sakit, hari yang sama juga kita bagi. Katil RM1,000 kita belikan. Ada wakil rakyat seperti itu?“ Soalnya dalam program Sembang Politik menerusi Facebook Utusan Online hari ini.

Norhizam dalam masa yang sama berkata, beliau telah menabur bakti kepada masyarakat di DUN Pengkalan Batu selama tiga tahun setengah sekali gus memberi jaminan supaya warga Melaka tidak akan menyesal jika memilihnya sebagai wakil rakyat.

“Itu zaman nenek saya nak berprotokol boleh lah, sekarang tidak ada lagi macam dulu. Yang lain baru nak tabur janji, saya dah lama tabur bakti,” katanya.

Keputusan penuh PRN Melaka 10 malam



Norhizam berkata, beliau akan meneruskan khidmat ke peringkat Parlimen jika menang di DUN sekali gus suara rakyat akan dibawa dengan lebih meluas di Dewan Rakyat.

“Kalau saya masuk Parlimen, orang pertama saya nak jumpa adalah Ahli Parlimen Jelutong, Rayer (RSN Rayer), baru betul buku bertemu ruas. Kalau saya tidak menang, saya akan jadi macam orang biasa baliklah, saya pun manusia biasa,” katanya sambil ketawa.

Norhizam yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Pengerusi DAP Melaka ‘menawan’ kerusi Pengkalan Batu di bawah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan majoriti 2,756 dan dilantik sebagai Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan Negeri.



Beliau kemudian keluar daripada DAP dan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih kerajaan PH di Melaka pada Mac 2020 dengan mengekalkan portfolio yang sama atas tiket Bebas.

Bagaimanapun, pada Oktober lepas, Norhizam bersama-sama tiga lagi ADUN menarik sokongan terhadap BN menyebabkan DUN Melaka terbubar dan PRN terpaksa diadakan, 20 November ini.

Pada PRN ini, Norhizam akan berdepan pertembungan lima penjuru dengan calon muda Muhamad Danish Zainudin (PH), Mohd. Azrudin Md Idris (PN), Dr. Mohd Aluwi Sari (Putra) dan Datuk Kalsom Nordin (BN).

PRN Melaka: Cari wakil rakyat pakai selipar RM2 macam saya




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Isu ‘Judi & Arak’, Hadi perli Anwar Ibrahim



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker