PRN Melaka: Tangguh umum calon KM Melaka PN, senjata sulit atau senjata makan tuan?

C

Pada Jumaat, negara dikejutkan dengan kenyataan beremosi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad sehingga pemimpin UMNO itu digelarnya sebagai ‘bodoh’.

Ini semua gara-gara tindakan Shahrir mencabar bekas Perdana Menteri itu supaya mengarahkan pemimpin PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor sekiranya Muhyiddin berani.

Secara tegas, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mengingatkan Shahrir supaya jangan mencabar beliau menekan ‘butang’ yang membolehkan kerajaan negeri Johor, mahu pun kerajaan Persekutuan jatuh.

Susulan itu, seluruh perdebatan politik tertumpu kepada konflik perbalahan dua individu berkenaan, sehingga menenggelamkan satu lagi perkara menarik yang dibangkitkan Muhyiddin pada sidang media yang sama iaitu teka-teki siapa calon Ketua Menteri daripada PN sekiranya koalisi itu memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Tanpa menamakan siapa bakal calon Ketua Menteri daripada PN, Muhyiddin menegaskan ia mestilah dalam kalangan pemimpin Bersatu dengan perkara itu akan diumumkan sehari sebelum hari pengundian PRN Melaka, 20 November nanti.

MOHD RAFIQ
MOHD RAFIQ

 

Menariknya, perkara penting itu diumumkan Muhyiddin tanpa kehadiran Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, sekalipun Naib Presiden Bersatu itu dianggap calon pilihan utama untuk menggalas jawatan tertinggi berkenaan.

Perkara itu menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan pengamal media walaupun Mohd Rafiq dikatakan tidak dapat menyertai program turun padang Muhyiddin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemba atas alasan beliau mahu menyelesaikan isu penutupan bilik gerakan PN DUN Telok Mas, kerusi DUN yang ditandinginya akibat penularan Covid-19.

Susulan itu, terdapat cakap-cakap politik yg mempersoalkan status Mohd Rafiq sebagai calon pilihan utama Muhyiddin dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bagi jawatan berkenaan (Ketua Menteri Melaka).

Atas kertas, selain Mohd Rafiq yang juga merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Melaka, seorang lagi pemimpin ‘heavyweight’ daripada Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga dianggap calon pilihan daripada PN untuk diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka wanita yang pertama.

Memegang jawatan sebagai Naib Ketua Srikandi Bersatu dan kini dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Mas Ermieyati juga taruhan terbaik Bersatu untuk menumbangkan calon ‘heavyweight’ daripada BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara iaitu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Bagaimanapun, hakikat sebenar adalah kedua-dua kerusi DUN ditandingi Mohd Rafiq dan Mas Ermieyati itu agak sukar untuk dimenangi PN, mengambil kira faktor dua kawasan berkenaan merupakan kerusi tradisi UMNO dan BN selain sentimen pengundi terhadap bekas penyandang kerusi berkenaan.

MAS ERMIEYATI
MAS ERMIEYATI

 

Bagi kerusi DUN Telok Mas ditandingi Mohd Rafiq, meskipun kerusi berkenaan sebelum ini dimenangi oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu, Datuk Noor Effandi Ahmad, bekas ADUN Paya Rumput itu berdepan tugas sukar untuk mempertahankan kerusi Bersatu itu.

Hal ini disebabkan kemenangan Noor Effandi pada PRU14 adalah atas sokongan 26 peratus pengundi bukan Melayu yang pro kepada Pakatan Harapan (PH) selain peralihan sokongan pengundi Melayu daripada BN pada ketika itu.

Namun, senario berbeza dihadapi Bersatu pada PRN Melaka kerana parti itu tidak lagi bersama PH selain terdapat keluhan penduduk DUN Telok Mas kurang berpuas hati dengan tahap perkhidmatan Noor Effandi sekali pun beliau juga merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri.

Ditambah dengan BN dan PH meletakkan calon berpengaruh di DUN berkenaan dengan BN sekali lagi mempertaruhkan bekas calon PRU14, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, manakala PH meletakkan anak tempatan yang juga Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.

Peluang Mohd Rafiq untuk mempertahankan salah satu daripada dua kerusi dimenangi Bersatu pada PRU14 masih 50-50.

Selain faktor peluang kemenangan Mohd Rafiq, terdapat spekulasi yang mengatakan akar umbi Bersatu Melaka kurang berpuas hati dengan kualiti kepimpinan beliau dalam mengemudi parti itu dan PN di bumi Hang Tuah.

Tambah mengejutkan, sumber pemimpin Armada Bersatu enggan dinamakan mendedahkan kepada Sinar Premium bahawa faktor utama Muhyiddin enggan menamakan calon Ketua Menteri Melaka lebih awal berkemungkinan bagi mengelakkan berlakunya ‘cah keting’ dalam parti pada saat genting ketika ini.

“Ada teori mengatakan sekiranya Mohd Rafiq diumumkan sebagai calon Ketua Menteri PN lebih awal, terdapat kemungkinan seluruh 15 kerusi DUN ditandingi Bersatu akan tewas.

“Mungkin atas sebab itu, pucuk kepimpinan parti enggan mengumumkan siapa calon Ketua Menteri lebih awal, sebaliknya meminta semua calon Bersatu dan PN fokus memenangi kerusi ditandingi mereka,” katanya.

Dari kiri: Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sedik, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam dan Timbalan Ketua Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dalam sidang media Perikatan Nasional Negeri Melaka
Dari kiri: Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sedik, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam dan Timbalan Ketua Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub dalam sidang media Perikatan Nasional Negeri Melaka

 

Merujuk peluang Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri PN pula, terdapat ura-ura yang mengatakan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu sebenarnya lebih selesa mahu bertanding di kawasan kampung halamannya iaitu DUN Merlimau.

Bahkan, Mas Ermieyati sewaktu ditanyakan persoalan sama ada beliau antara calon Ketua Menteri PN pilihan parti, mengakui tidak tahu-menahu mengenai perkara itu, sebaliknya menyerahkannya kepada pucuk kepimpinan PN.

Justifikasi peletakan Mas Ermieyati di kerusi DUN Tanjung Bidara adalah jelas dan berkemungkinan menjadi pemangkin kepada kejayaan PN pada PRN Melaka sekiranya beliau mampu mencipta kejutan dengan menewaskan Ab Rauf.

Bagaimanapun, dengan DUN Tanjung Bidara dianggap kubu kuat BN dan Ab Rauf juga disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Melaka bagi BN, Mas Ermieyati pastinya mendoakan keajaiban untuk menang di kawasan berkenaan.

Justeru, dengan mengambil kira peluang Mohd Rafiq dan Mas Ermieyati untuk memenangi kerusi DUN ditandingi masing-masing agak sukar, adakah Muhyiddin sebenarnya masih menyimpan satu lagi ‘senjata sulit’ untuk dinobatkan sebagai Ketua Menteri Melaka baharu PN?

Berdasarkan isyarat diberikan Muhyiddin sewaktu sidang akhbar di Villa Mak Ngah, Ayer Panas, Bemban pada Jumaat, kemungkinan itu ada berlandaskan kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu yang mengakui PN mempunyai banyak calon yang layak termasuk calon PN bagi kerusi Bemban sendiri iaitu Dr Mohd Yadzil Yaakub.

DR MOHD YADZIL
DR MOHD YADZIL

 

Dr Mohd Yadzil yang merupakan seorang doktor yang sudah berkhidmat kepada penduduk DUN Bemban selama lebih 12 tahun, juga merupakan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu dan dianggap pemimpin berpotensi parti pada masa hadapan.

Lebih menarik, Muhyiddin secara terbuka mempromosikan Dr Mohd Yadzil dan melaungkan keyakinan pemimpin Bersatu itu mampu memenangi kerusi DUN Bemban yang secara tradisinya dimenangi DAP dan MCA dalam beberapa pilihan raya terdahulu.

“Meskipun kerusi DUN Bemban ini ditandingi Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew, namun strategi kita meletakkan Dr Mohd Yadzil sebagai calon DUN Bemban adalah strategi tepat yang diyakini mampu memenangkan PN di kerusi berkenaan,” kata Muhyiddin sewaktu memperkenalkan Dr Mohd Yadzil pada Jumaat.

Selain Kok Kiew, Dr Mohd Yadzil juga perlu berdepan cabaran tiga calon lagi daripada BN, Datuk Koh Chin Han, bekas ADUN Bemban, Datuk Ng Choon Koon dan Azmi Kamis yang bertanding sebagai calon bebas.

Berdasarkan analisis terperinci, peluang Dr Mohd Yadzil untuk memenangi kerusi DUN Bemban sebenarnya amat cerah susulan kerusi berkenaan memiliki peratusan pengundi Melayu yang tinggi.

Dengan kehadiran Choon Koon dan Chin Han dijangka berupaya memecahkan undi sokongan pemilih bukan Melayu yang sebelum ini didominasi PH, saingan calon bebas berbangsa Melayu dijangka tidak mendatangkan sebarang impak negatif kepada Dr Mohd Yadzil.

Berikutan itu, tidak keterlaluan untuk mengatakan Dr Mohd Yadzil mungkin menjadi ‘senjata sulit’ Muhyiddin untuk diangkat sebagai calon Ketua Menteri Melaka daripada PN sekiranya anak jati Bemban memenuhi jangkaan memenangi kerusi DUN berkenaan selain koalisi diterajui Bersatu, Pas dan Gerakan itu mencipta kejutan besar pada PRN Melaka.

PRN Melaka: Tangguh umum calon KM Melaka PN, senjata sulit atau senjata makan tuan?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bila nak isytihar Kedah negeri Islam – Mukhriz

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker