Martabatkan bahasa kebangsaan

MUNGKIN ramai tidak tahu ketika ini teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Inggeris. Walaupun Malaysia sudah 64 tahun mencapai kemerdekaan, kedudukan itu masih kekal sejak Perlembagaan Persekutuan digubal disebabkan Perkara 152 (3) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan sedemikian.

Daripada laman sesawang yang dipaparkan Jabatan Peguam Negara, jabatan itu telah menterjemah naskhah sahih bahasa Inggeris itu ke dalam bahasa kebangsaan, namun ia tidak secara automatik menjadikan teks bahasa kebangsaan menjadi teks sahih.

Ia disebabkan terdapat peruntukan dalam Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan tatacara menjadikan teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan.

Walaupun pelbagai isu diketengahkan mengenai penggunaan bahasa kebangsaan di Malaysia, ia seolah-olah tidak diberi perhatian penuh oleh pihak kerajaan.

Daripada isu sekolah vernakular, penggunaan bahasa kebangsaan di mahkamah atasan, tulisan jawi sehinggalah isu teks sahih Perlembagaan Persekutuan, ia bagai mencurah air di daun keladi sahaja.

Perkara 160B menjelaskan berkaitan dengan teks sahih ini seperti berikut – jika perlembagaan itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks bahasa kebangsaan itu sebagai teks sahih dan selepas itu jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan dengan teks bahasa Inggeris perlembagaan ini, teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris tersebut.

Oleh itu, bagi menjadikan naskhah bahasa kebangsaan teks sahih, Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan – perlembagaan telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong menentukan teks bahasa kebangsaan itu menjadi teks sahih.

Pindaan memasukkan Perkara 160B itu berkuat kuasa dari 28 September 2001 untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong menetapkan terjemahan bahasa kebangsaan Perlembagaan Persekutuan sebagai teks sahih. Namun, sehingga kini semangat pindaan itu masih diabaikan walaupun sudah lebih 20 tahun berkuat kuasa.

Muhyiddin hanya berani cakap tapi tak berani buat – Nur Jazlan

Sekiranya Yang di-Pertuan Agong menentukan sedemikian, maka jika berlaku perbezaan antara teks bahasa kebangsaan dan teks bahasa Inggeris, teks berbahasa kebangsaan hendaklah mengatasinya.

Jadi, usaha perlu dilakukan bagi Yang di-Pertuan Agong menentukan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan untuk memartabatkannya.

Amat memalukan, walaupun sudah lebih 64 tahun merdeka, kita masih menjunjung teks Perlembagaan Persekutuan berbahasa Inggeris dan mengetepikan langsung teks berbahasa kebangsaan.

Di manakah letaknya perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan, sedangkan undang-undang tertinggi negara pun masih dalam bahasa penjajah.

Justeru, saya mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mengambil inisiatif segera bagi melaksanakannya.

Ia adalah pencapaian yang sangat tinggi jika Perkara 160B dapat dilaksanakan melalui menteri berkenaan dalam tempoh 100 hari pelantikan beliau.

Hal berkenaan diabaikan sejak negara mencapai kemerdekaan dan tiada mana-mana menteri sebelum ini mengambil inisiatif tuntas bagi memastikan perubahan itu dilakukan.

Cadangan berkenaan tidak melibatkan implikasi kewangan atau perubahan prasarana tetapi akan memartabatkan bahasa kebangsaan dan meletakkannya di tempat sewajarnya sebagai bahasa kebangsaan.

Walaupun nampak mudah dilakukan tetapi tanpa kehendak politik yang jelas, sehingga kini ia masih belum menjadi realiti lagi. Diharapkan penantian selama 64 tahun ini dapat berakhir dengan segera.

Bila lagi kerajaan mahu bertindak. Kerajaan perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong segera bagi menentukan teks sahih Perlembagaan Persekutuan adalah teks dalam bahasa kebangsaan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Martabatkan bahasa kebangsaan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: Amaran kepada calon ‘umpan duit’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker