Alena Murang raih anugerah antarabangsa

Alena Murang raih anugerah antarabangsa

Alena Murang si pemain sape dari Sarawak membanggakan negara

Penyanyi, penggubah dan pemain sape Malaysia, Alena Murang, menawan hati seluruh dunia sekali gus membanggakan negara dengan video muziknya Warrior Spirit yang memenangi anugerah antarabangsa baru-baru ini.



Melalui karyanya itu Alena memenangi penghargaan untuk kategori kostum terbaik di Anugerah Video Muzik Antarabangsa United Kingdom hujung minggu lalu.

Warrior Spirit juga menarik pilihan rasmi juri di Anugerah Filem Antarabangsa New York selain terpilih sehingga ke peringkat separuh akhir untuk filem terbaik Anugerak Filem Los Angeles 2021.

Dijangkakan akan ada kejayaan lebih banyak diumumkan tidak lama lagi.

Alena yang berketurunan Dayak-Kelabit menyatakan Warrior Spirit menggambarkan kekuatan dalaman yang ada dalam kalangan rakyat setempat.



“Kami datang dari keturunan pahlawan dan wira. Moyang saya, Balang Nganud, merupakan pahlawan yang hebat dan digelar sebagai ‘harimau yang menghanyutkan kepala musuh di sungai’.

“Walaupun tidak lagi mempraktikkan amalan tersebut, kami masih mewarisi semangat, keberanian, kekuatan dan yang lebih penting keazaman mendapatkan sesuatu yang lebih baik buat kami.

“Saya rasa rakyat Malaysia dan orang di seluruh dunia juga dapat memahami semangat pejuang itu,” katanya.



Dilancarkan di YouTube pada Mei lalu, video muzik itu adalah hasil arahan sepupu Alena, Sarah Lois Dorai, dan diterbitkan bersama syarikat produksi Project Room.

Ia merupakan gandingan sama yang menghasilkan satu lagi video muzik Alena yang mendapat anugerah pada 2019 iaitu Midang Midang.

Alena memberitahu Malaysiakini, lagu tersebut diilhamkan daripada irama sape yang dicipta untuk tarian pahlawan lelaki.

“Saya membayangkan pahlawan lelaki tersebut bertafakur di pagi hari dan menyaksikan kabus menyelubungi gunung-ganang sebelum dia keluar bertempur,” katanya.



Setelah lagu itu dihasilkan oleh seorang lagi sepupunya, Joshua Maran, mereka berkongsi demo dan sentimen karya tersebut dengan dengan Sarah dan Fabian, pengarah fotografi video tersebut.

Dia sempat menyatakan rasa amat bangga terhadap kerja berpasukannya selepas industri seni terkesan teruk sejak pandemik Covid-19 melanda.

“Kejayaan menyatukan semua orang untuk menjayakan projek ini walaupun (diancam wabak itu) amat mengharukan.

“Penghargaan ini adalah untuk mereka semua,” katanya.



Alena berkata selepas ini dia akan melaksanakan beberapa projek baru termasuk buku belajar piano asas yang diilhamkan daripada lagu-lagu Dayak Sarawak serta bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Warrior Spirit ialah single dari album terbaru Alena Murang, Sky Songs, yang kini telah tersedia di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, muzik Youtube dan lain-lain. Mk

Alena Murang raih anugerah antarabangsa




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Moratorium akan tingkatkan kos keseluruhan pinjaman

Dulu curi TV sekarang ikan – Bos Mydin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker