Penjawat awam enggan vaksin paling ramai di Kementerian Pendidikan

Penjawat awam enggan vaksin paling ramai di Kementerian Pendidikan

Penjawat awam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dikenal pasti masih merekodkan jumlah tertinggi kakitangannya yang belum berdaftar untuk mengambil vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, bagaimanapun data terkini jumlah penjawat awam yang enggan berbuat demikian sedang dikemas kini pihaknya selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling untuk mengenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan kepada mana-mana penjawat awam yang ingkar selepas 1 November lalu.



Menurut beliau, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 yang dikeluarkan pada 18 Oktober lalu jelas menyatakan, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas tarikh itu boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

“Kalau tengok pekeliling itu, kita beri budi bicara dan kelonggaran kepada ketua jabatan untuk beri pertimbangan, walaupun kita ada kuasa, tetapi kuasa itu kita gunakan dengan sebaiknya, jangan kita ada kuasa kita buat saja (ambil tindakan terus), bukan itu tujuan kita.

“Setakat hari ini, data tengah kemas kini, kita akan bandingkan semula data itu dan kita serahkan kepada ketua jabatan, kementerian dan peringkat daerah untuk mereka buat susulan dengan mereka (yang enggan vaksin), kita bukan nak menghukum tetapi pada masa sama perkhidmatan kerajaan tak boleh terhenti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis #KeluargaMalaysiaSiagaBencana, Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di sini hari ini.

Mohd. Khairul Adib berkata, ketua jabatan diminta turut memainkan peranan sama untuk turun ke bawah melihat, memahami dan cuba meyakini golongan enggan vaksin dan menilai apakah alasan-alasan yang dikemukakan untuk dipertimbangkan.



Beliau berkata, ketua jabatan boleh membuat pertimbangan sewajarnya untuk mengambil tindakan atau sebaliknya kerana terdapat sektor perkhidmatan yang tidak boleh terjejas dengan kekurangan kakitangan yang enggan divaksin.

“Jadi terpulang kepada budi bicara ketua jabatan semua untuk memastikan perkhidmatan tidak terjejas, itu utamanya. Dalam melaksanakan amanah tersebut, mungkin ketua jabatan mesti melaksanakan keputusan tersebut.

“Sebab itu kita beri kelonggaran kepada ketua jabatan untuk turun ke bawah tanya seorang demi seorang apa isu dia (enggan vaksin), kalau ada yang boleh dilengahkan, maka lengahkan sedikit sementara dia dapat keyakinan untuk menerima vaksin,” katanya.

Statistik terkini dikeluarkan JPA mendapati, seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan.



Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin turut mengesahkan kira-kira 2,000 guru di seluruh negara dikesan masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Bermula 1 November lalu, JPA mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana penjawat awam yang masih enggan mengambil vaksin Covid-19 tanpa sebarang alasan kesihatan.

Menurut pekeliling JPA itu, langkah berkenaan diambil bertujuan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap optimum.

Pekeliling tersebut turut menyatakan bahawa penjawat awam tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan selaras dengan Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan terikat dengan Surat Aku Janji yang ditandatangani apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan.



Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

PU(A) 395/1993 memperuntukkan tujuh hukuman tatatertib yang boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan, iaitu amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Penjawat awam yang dikenakan tatatertib juga, tidak layak untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan). Utusan

Penjawat awam enggan vaksin paling ramai di Kementerian Pendidikan




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

PH sudah tersilap, jangan buat lagi dalam isu calon KM Melaka – Guan Eng

Nik Abduh, Khairuddin kalah kerana bukan team presiden?



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker