‘Kalau cacian, makian buat kalian bahagia, silakan’

Sebaran :

HAMPIR tamat dengan agenda percintaan dan perkahwinan tidak kesampaian, isu Iqbal dan Vida kini beralih ke arah kisah lapar publisiti, sama ada berkait dengan karier nyanyian mahupun isu pijak duit, Kali ini, komposer handalan, Azmeer turut mencelah.

 

SENI bukan tempat bermain. Frasa tersebut terkandung kebenaran yang tidak boleh disangkal.

Persoalan tersebut antara yang menjadi perdebatan apabila usahawan sensasi, Iqbal atau nama lengkapnya, Ahmad Iqbal Zulkefli mula meletakkan dirinya dalam dunia seni suara apabila meluncurkan single perdana berjudul Hujan. Natijahnya, vokal dan kualiti ‘keseniman’ Iqbal menjemput reaksi pelbagai daripada orang ramai.

Ada yang suka, ada yang mencebik. Ada juga berpendapat, kehadiran Iqbal dalam dunia muzik akan membuatkan industri terus dipandang rendah, namun ada yang terbuka menyambut baik keberaniannya akan memeriahkan cabang dunia muzik.

Barangkali juga, nyanyian menjadi antara ‘perancangan’ yang diusahakan, termasuk agenda tak kesampaian menikahi bekas majikannya, Datuk Seri Vida.



‘Bad publicity is still publicity’

Nama Iqbal terkenal dalam sekelip mata. Apa sahaja tindak-tanduknya menjadi perbualan orang ramai. Biarpun dikeji atau dipuji, ada satu prinsip ditinggalkan penulis tersohor dunia, Oscar Wilde berbunyi bad publicity is still publicity. Barangkali, itu menjadi pegangan segelintir manusia.

“Tular video saya memijak duit itu amat menyedihkan saya. Kelihatan jelas sekali video itu seolah-olah saya tidak menghormati rezeki, mempermainkan nikmat. Sedangkan hal sebenar, Allah tahu.

“Jika cacian, makian tanpa usul periksa menjadikan mereka bahagia, silakan sahaja,” ungkap Iqbal.



Ujar lelaki berusia 27 tahun itu, dia sering menjadi mangsa kecaman, namun langsung tidak berkecil hati. Alah bisa tegal biasa.

“Orang menyebarkan tanpa cuba mendengar penjelasan yang sebenar. Tidak mengapa. Bertubi-tubi ujian saya ini, semoga Allah gantikan dengan berita baik.

“Oleh sebab itu, saya tak pernah tunjukkan di media sosial tentang sedekah, tentang saluran rezeki saya terhadap masyarakat, terjadinya fitnah. Tidak mengapa, selepas saya mati, kalian akan tahu apa yang saya lakukan dengan rezeki yang Allah berikan,” ungkapnya.

Satu lagi rezeki buat Iqbal apabila dikecam dan didesak tidak melibatkan diri dalam dunia nyanyian, namun single pertamanya, Hujan trending nombor satu dalam YouTube Malaysia.



AZMEER menasihatkan Iqbal tidak memanipulasikan nyanyian dan muzik untuk populariti dan sensasi semata-mata.

Tiga hari, 1.5 juta tontonan

Tiga hari selepas dilancarkan, muzik video Hujan sudah meraih sebanyak 1.5 juta tontonan. Bukan itu sahaja, ramai dalam kalangan netizen termasuk Vida memuji kualiti vokalnya.

“Iqbal ada suara yang unik, ton dia sedap, suara dia garau. Memang sedap nyanyiannya,” kata Vida yang bagaimanapun tidak selesa dengan konsep video muzik Hujan.

Iqbal disifatkan Vida sebagai lapar publisiti apabila banyak pihak menyamakan penceritaan dalam Hujan menyamai kisah cinta mereka.

Sementara itu, komposer terkenal, Dr. Azmeer menitipkan nasihat dan pesanan agar penglibatan Iqbal dalam dunia nyanyian bukan sekadar untuk mengejar publisiti.

“Saya berharap Iqbal tidak main-main atau memperlekehkan industri muzik kita. Kalau betul nak menyanyi atau jadi artis rakaman, buat betul-betul.

“Kalau nak tengok industri seni kita terus berkembang, tiada siapa yang melibatkan diri dalam industri sepatutnya bertindak menjadikan industri ini sebagai tempat menebarkan kepentingan peribadi mereka seperti menjual produk dan sebagainya,” katanya kepada Pose.

‘Kalau cacian, makian buat kalian bahagia, silakan’


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Aaron Aziz sedih diri jadi punca kes cerai


Sebaran :

Leave a Reply