Rasuah tidak membawa berkat

AR-RAUDHAH

Islam terdiri daripada tiga rukun asas iaitu Islam (ibadah), iman (akidah) dan ihsan (akhlak). Ibadah ialah pengabdian diri kepada Allah dengan amal soleh.

Iman adalah keyakinan dalam hati ke atas enam rukun iman dan ihsan ialah memerhati Allah dengan hati atau sentiasa merasa di perhati oleh-Nya.



Konsep ihsan ini membawa seorang muslim untuk sentiasa bersikap benar dalam perkataan dan perbuatan di mana saja ia berada, sama ada ketika bersendirian atau tidak.

Terkadang seseorang akan menampakkan adab bila di hadapan orang ramai tetapi apabila bersendirian ia ketepikan adab.

Ihsan akan membimbing seseorang untuk tidak berbuat demikian. Rasulullah SAW bersabda: Bertakwalah (takutlah pada Allah di mana saja kamu berada) tidak kira bersendirian atau tidak. (Riwayat Tirmidzi)

Salah satu faktor utama merebaknya perbuatan rasuah adalah hilangnya konsep ihsan dari dalam hati seorang muslim.



Dalam peristiwa perang Khaibar, kaum muslimin menang dalam perang itu dan kaum Yahudi menyerah kalah kepada Rasulullah SAW dengan menyerahkan segala harta mereka sebagai harta rampasan perang.

Namun mereka meminta kepada Rasulullah agar memberi sebahagian daripada hasil kebun kurma di Khaibar kepada mereka agar dapat meneruskan hidup.

Baginda SAW bersetuju dengan agihan 50 peratus dari hasil kebun kurma akan diagihkan kepada kaum muslimin dan 50 peratus lagi untuk orang Yahudi.

Maka setiap kali tiba musim kurma Rasulullah akan menghantar Abdullah ibnu Rawahah untuk datang dan memastikan hak kaum muslimin dan Yahudi ke atas kurma sebelum buah kurma itu dituai.



Namun kaum Yahudi sudah merancang perancangan jahat untuk memberi rasuah kepada Abdullah ibnu Rawahah. Mereka mengumpulkan barang perhiasan kaum wanita mereka untuk diberi kepada Abdullah ibnu Rawahah.

Ia sebagai rasuah agar Abdullah ibnu Rawahah memberi peratusan lebih pada bahagian kaum Yahudi.

Maka Abdullah ibnu Rawahah berkata: “Wahai sekalian kaum Yahudi, sesungguhnya saya datang diutus oleh seorang yang amat saya cintai (iaitu Rasulullah) kepada orang yang sangat saya benci (kaum yahudi Khaibar). Walaupun demikian saya tidak akan menzalimi kamu. Adapun rasuah yang kaum tawarkan pada saya itu ialah perbuatan haram dan sesungguhnya kami tidak makan dari yang haram. Maka kaum Yahudi berkata: “Dengan cara seperti ini langit dan bumi akan tegak”.

Rasulullah SAW bersabda: Allah melaknat kepada pelaku rasuah dan penerima rasuah. (Riwayat Ibn Majah)



Sudah tentu laknat itu kerana ia adalah dosa besar. Perbuatan rasuah sudah menjadi kebiasaan pada sabahagian orang sehingga tidak peduli bahawa itu merupakan jenayah besar yang membawa kebinasaan.

Di antara bahaya rasuah ialah melemahkan nilai iman, sehingga merasa perbuatannya itu tidak diperhati oleh Allah SWT. Rasuah juga boleh merosakkan sistem hukum dan perundangan negara serta meruntuhkan sahsiah dan keperibadian mulia seorang muslim.

Oleh itu hindarilah rasuah dalam urusan pekerjaan, mengejar pangkat, kedudukan dan lain-lain. Sesungguhnya tiada keberkatan pada rezeki seseorang yang diperolehi daripada rasuah.

Di samping itu, konsep ihsan mesti ada dalam bisnes atau perniagaan dan jual beli. Kejujuran dan amanah mesti ada kepada para peniaga. Rasulullah SAW bersabda; Peniaga yang amanah dan jujur akan di himpunkan bersama para syuhada di hari kiamat. (Riwayat at-Tirmidzi)



Pada satu hari, telah datang sekelompok kaum muslimin mengadu bahwa sebahagian pedagang di pasar mencampur susu dengan air demi meraih keuntungan yang lebih.

Oleh itu Khalifah Umar r.a mengancam untuk menghukum sesiapa yang berbuat demikian. Pada satu malam, Khalifah Umar keluar bersama anak buahnya bernama Aslam untuk melihat keadaan kota Madinah.

Dalam pada itu terdengar perbualan di antara seorang ibu dan anak perempuannya yang masih remaja, di mana mereka berdua menjual susu.

“Wahai anakku! campurlah susu ini dengan air agar kelihatan banyak. Lalu anak itu berkata: wahai ibu! Tidakkah kamu tahu bahawa amirul mukminin Umar r.a telah memberi peringatan untuk menghukum kepada sesiapa yang mencampur susu dengan air.



Ibu itu pun mengulangi kata-katanya agar mencampur susu dengan air dan menambah: “Sesungguhnya engkau wahai anakku berada di tempat jauh dan tidak dilihat oleh Umar ataupun orang suruhan Umar”.

Anak itu menjawab: “Wahai ibu! Demi Allah, kita tidak boleh hanya taat kepadanya di hadapannya sahaja dan bermaksiat di belakangnya. Kalau Umar tidak melihat kita namun Tuhan amirul mukiminin Umar melihat.

Pengajaran yang perlu diambil daripada cerita ini ialah :

1) Sentiasa berasa dilihat oleh Allah SWT dan itulah tanda ketakwaan.

2) Mendidik diri menerapkan kejujuran.

3) Menegur dengan sopan walaupun orang tua kita.

4) Mencari rezeki yang halal adalah satu kewajipan.

* Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah

Rasuah tidak membawa berkat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia bantu mahasiswa memerlukan – Ismail

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker