Penantian netizen untuk RM10,000 KWSP tak kesampaian

Teka-teki intipati mengenai Bajet 2022 akhirnya sudah terjawab apabila Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selesai membuat pembentangan di Dewan Rakyat sekitar jam 6 petang Jumaat.

Menariknya, ia menjadi bajet tertinggi dalam sejarah negara dengan jumlah RM332.1 bilion bagi membolehkan rakyat Malaysia mengharungi fasa pemulihan dan pengukuhan dalam situasi endemik Covid-19.

Melalui bajet itu, terdapat pelbagai bantuan yang disalurkan kepada individu yang terkesan akibat Covid-19 seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), bantuan awal persekolahan, insentif RM100 untuk guru dan bantuan RM700 untuk kakitangan awam.

Walau bagaimanapun, mengikut trend di media sosial termasuk Facebook, ramai yang meluahkan rasa hampa kerana penantian mereka mengenai pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ‘one off’ yang pernah diuar-uarkan satu ketika dahulu tidak kesampaian.



“Berharap sangat-sangat dapat keluar 10k KWSP… Hendak ambil emas di pajak gadai,” luah seorang pemilik akaun Mawar Putih.

“Sabar semua, KWSP last dia bagi tahu, tak habis lagi,” kata seorang lagi netizen menggunakan nama Mie.

Seorang lagi netizen, Khairul Nizam menulis, “KWSP 10K ku tenang menanti.”

“Semoga Allah permudahkan segala urusan dan luluskan permohonan KWSP one off. Kami merayu sangat-sangat,” kata seorang lagi warganet Facebook.



Bagaimanapun pada pembentangan tersebut, pengumuman Tengku Zafrul mengenai KWSP hanyalah tentang tempoh pengurangan kadar caruman minimum KWSP daripada 11 peratus kepada sembilan peratus yang akan dilanjutkan sehingga Jun 2022.

Namun begitu, ramai juga netizen yang faham bahawa pengeluaran KWSP adalah di luar bidang belanjawan kerana ia merupakan simpanan sendiri dan bukan satu bentuk bantuan daripada kerajaan.

“Nampaknya masih ramai lagi yang tak faham. Ini bajet kerajaan, tidak ada kaitan dengan i-Citra one-off. Sebab itu duit kita, tidak ada kaitan dengan bajet kerajaan,” kata Nur Azirah.

Pada Julai lalu, kerajaan mengumumkan kebenaran pengeluaran simpanan KWSP menerusi i-Citra yang membolehkan ahli membuat pengeluaran sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam Akaun 1 dan 2.



Sebelum itu, kerajaan turut membenarkan pengeluaran simpanan KWSP menerusi i-Sinar.

Di bawah i-Sinar, bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000.

Sementara, bagi ahli yang mempunyai lebih daripada RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka.

Penantian netizen untuk RM10,000 KWSP tak kesampaian




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bajet2022: Rokok elektronik, minuman bergula dicukai untuk kesihatan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker