Badan peguam dibenar jadi ‘amicus curiae’ dalam rayuan Najib, Nazifuddin

Kes tunggakan cukai: Badan peguam dibenar jadi ‘amicus curiae’ dalam rayuan Najib, Nazifuddin

Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Badan Peguam untuk menjadi “amicus curiae” atau sahabat mahkamah dalam prosiding kebenaran merayu yang difailkan Najib Razak dan anaknya Mohd Nazifuddin berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib dan Mohd Nazifuddin ketika dihubungi pemberita hari ini berkata, permohonan Badan Peguam Malaysia itu dibenarkan pada 21 Okt lepas.

Berdasarkan surat bertarikh 13 Okt yang dihantar kepada Mahkamah Persekutuan, Badan Peguam memohon untuk diterima masuk sebagai “amicus curiae” bagi mendengar rayuan itu.

Badan Peguam antara lain menyatakan kes itu melibatkan isu perlembagaan yang penting, iaitu sama ada Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 bercanggah atau bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan memohon peguamnya diterima sebagai “amicus curiae” untuk membentangkan hujahan serta pandangan bagi membantu mahkamah mencapai keputusan sewajarnya.

Sementara itu, Wee berkata, pada prosiding pengurusan kes di Mahkamah Persekutuan secara dalam talian hari ini, Timbalan Pendaftar Rasidah Roslee menetapkan 16 Feb 2022 bagi pendengaran permohonan kebenaran merayu oleh bekas Perdana Menteri dan anaknya.

Najib dan Mohd Nazifuddin memfailkan notis usul ke Mahkamah Persekutuan bagi memperoleh kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pembayaran cukai berkenaan.

Pada 9 Sept lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus bagi menuntut tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Perintah terhadap Najib dan Mohd Nazifuddin dikeluarkan masing-masing pada 22 dan 6 Julai tahun lepas oleh hakim Ahmad Bache dan Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah 5% setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

LHDN turut memfailkan saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai 2019 yang didakwa masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019. FMT

Badan peguam dibenar jadi ‘amicus curiae’ dalam rayuan Najib, Nazifuddin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Mee rebus gerai Kak Dah RM2

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker