Saman RM300 penunggang basikal langgar lampu merah

ANGGOTA JPJ Perlis memberi penerangan mengenai kesedaran mematuhi lampu isyarat merah dalam kalangan penunggang basikal di Kangar, Perlis, baru-baru ini.

KANGAR: Kompaun RM300 akan dikenakan terhadap penunggang basikal yang mela­kukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

Denda bagi kesalahan itu mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JPJ ne­geri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pihaknya menerima adu­an termasuk dalam bentuk video menunjukkan penunggang basikal melanggar lampu isyarat merah sekali gus me­ngundang risiko kemalangan.

Katanya, kesalahan di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 itu boleh dikenakan kepada semua pemandu yang gagal mematuhi peraturan lampu isyarat merah termasuk penunggang basikal.



“Advokasi awal dibuat bagi memberi amaran dan sebagai pemberitahuan kepada penunggang basikal mengenai undang-undang di jalan raya serta kompaun yang boleh dikenakan kepada mereka jika gagal mematuhinya.

“Buat masa ini, tiada kompaun yang dikeluarkan, namun kami tidak teragak-agak untuk berbuat demikian jika mereka gagal mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Baru-baru ini, tular video di media sosial mengenai beberapa penunggang basikal sekitar negeri ini yang melanggar lampu isyarat merah dan dibimba­ngi membahayakan bukan sahaja nyawa mereka malah pengguna jalan raya yang lain.

Tindakan tidak bertanggungjawab penunggang basikal itu mengundang reaksi marah orang ramai yang menggesa tindakan dikenakan kepada mereka yang melanggar kesalahan jalan raya itu.



Jelas Fatimah, aktiviti berbasikal di negeri ini semakin rancak apabila rentas negeri dibenarkan baru-baru ini.

Menurutnya, antara laluan yang banyak digunakan oleh penunggang basikal adalah dari Sungai Batu Pahat hingga ke Bukit Ayer serta laluan dari Ka­ngar ke Arau yang mempunyai beberapa buah lampu isyarat.

“Baru-baru ini, Bahagian Pe­rancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis juga ada mendapatkan pandangan JPJ dan polis untuk menyediakan laluan khas penunggang basikal.

“Pihak JPJ menyambut baik cadangan ini supaya penunggang basikal mempunyai laluannya sendiri. Laluan yang dicadangkan tersebut mungkin mengikut laluan di dalam kampung dengan pemandangan yang lebih menarik,” katanya.



Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, penunggang basikal juga perlu mematuhi peraturan serta isyarat jalan raya dan basikal tersebut mesti lengkap dengan brek, lampu depan, belakang dan loceng.

Malah katanya, penunggang basikal juga perlu lengkap memakai topi, kasut dan pakaian sesuai untuk aktiviti tersebut.

“Mereka dinasihatkan mengelak memilih laluan yang sibuk dan fokus semasa kayuhan.

“Mereka yang tidak mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan yang termaktub dalam kaedah-kaedah lalu lintas 1959. Jika peraturan gagal dipatuhi boleh dikenakan kompaun maksimum RM300 atau denda tidak lebih RM2,000 atau penjara enam bulan.



“Basikal yang ditahan boleh disita,” katanya.

Saman RM300 penunggang basikal langgar lampu merah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Penolakan Terhadap PPBM Keputusan Akar Umbi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker